Total Pageviews

Friday 3 August 2018

Perlis bebas beg plastik polistirena


Perlis bebas beg plastik polistirena





PADANG BESAR: Kerajaan Negeri Perlis menyasarkan negeri itu bebas dari penggunaan beg plastik dan polistirena dalam tempoh dua tahun lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Asli dan Alam Sekitar negeri, Datuk Mat Rawi Kassim, berkata pelaksanaan itu akan dijalankan dalam tempoh terdekat dimulai dengan mendidik peniaga dan pembekal makanan.
Katanya, kerajaan negeri menggalakkan peniaga untuk menukarkan plastik dan pembungkus makanan mereka kepada produk yang lebih mesra alam.
"Buat permulaan, kita dalam proses mendidik peniaga, dengan kerajaan negeri melalui badan berautoriti seperti Majlis Perbandaran Kangar akan turun padang menemui peniaga mengenai kempen bebas plastik ini.
"Selain itu, kita juga akan giat mempromosi program daripada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara yang memperkenalkan produk bebas polistirena dan bahan kimia pada program komuniti," katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kawasan Perindustrian Bersepadu Kenaf dan Program Pusat Mobile Transformasi Komuniti Perlis 2017 di Perkampungan Desa Asnaf Batu Bertangkup di Batu Bertangkup, di sini.
Mat Rawi berkata, galakan penggunaan produk yang berasaskan bahan semula jadi ini untuk memastikan rakyat negeri mengamalkan cara hidup yang sihat.
"Tujuan penggantian beg plastik dan polistirena yang berasaskan daripada bahan kimia untuk memastikan rakyat negeri ini bebas daripada sebarang penyakit jangka masa panjang seperti barah.
"Penggunaan produk yang berasaskan bahan semula jadi dilihat lebih selamat dan tidak berisiko tinggi khususnya pembungkusan makanan yang panas dan berhaba," katanya.
Beliau berkata, Perlis mungkin akan mengikuti jejak langkah beberapa kerajaan negeri lain yang sudah mula mengharamkan penggunaan beg plastik dan polistirena secara berperingkat-peringkat.



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.