Total Pageviews

Friday, 3 August 2018

Bahan api paling hijau


Bahan api hidrokarbon paling hijau




BioNG adalah gas asli yang dihasilkan daripada sisa bio seperti sisa buangan kelapa sawit, makanan atau perindustrian.
Ia adalah gas dan bukan berbentuk cecair. BioNG adalah biogas yang ditulenkan, gas ini juga bersifat versatil dan cekap seperti gas asli petroleum.
BioNG yang dihasilkan daripada sisa sawit adalah teknologi tenaga boleh diperbaharui dan mampu dijadikan alternatif kepada bahan bakar yang selama ini hanya bertumpu kepada kegunaan penjanaan tenaga elektrik.
Seperti gas asli konvensional, BioNG boleh digunakan sebagai bahan api pengangkutan dalam bentuk gas asli termampat (CNG) atau gas asli cecair (LNG).
Oleh itu, SIRIM Berhad (SIRIM) melalui sokongan kerajaan dan kerjasama Sime Darby Plantation mewujudkan projek perintis untuk menghasilkan BioNG bagi minyak automotif di Pulau Carey, Banting, Selangor.
Kini projek berkenaan dilaksanakan di Tapak Demonstrasi BioNG di Merotai, Tawau sekali gus dapat meningkatkan dan mempromosikan penggunaan BioNG.
Malah, penduduk setempat seperti pekerja ladang atau orang awam kini mempunyai pilihan untuk menggunakan bahan bakar yang mempunyai pelepasan karbon yang rendah.
Pengarah Pusat Perindustrian Inovasi BioNG SIRIM Azhar Abdul Raof berkata, BioNG adalah biofuel yang maju mengandungi jejak karbon rendah.
“Kami menggunakan bahan mentah untuk menghasilkan BioNG. Dalam perkara ini, biogas adalah sumber bahan mentah utama. Terdapat banyak biogas di loji rawatan efluen kilang minyak sawit dan ia tidak digunakan sepenuhnya.
“SIRIM mencari kaedah untuk mendapatkan, menyimpan, menulen dan menyalurkan semua biogas dari kilang minyak kelapa sawit supaya ia boleh digunakan sebagai alternatif kepada gas asli dalam loji jana kuasa gas atau diesel atau kenderaan gas asli (NG).
“Proses untuk menukarkan efluen minyak kelapa sawit kepada BioNG adalah mudah, tidak seperti gas asli petroleum yang diambil dari bawah tanah atau dasar laut.
“BioNG tidak memerlukan perpaipan mahal dan teknologi yang rumit untuk menyedut keluar gas ke permukaan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat SIRIM di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.


Azhar berkata, langkah pertama, efluen dimasukkan ke dalam sistem tangki tertutup untuk menghasilkan biogas, kemudian biogas yang terhasil akan disalurkan ke beberapa siri kebuk penulenan.
“Kebuk penulenan ini akan menapis kekotoran seperti hidrogen sulfida, karbon dioksida dan kelembapan. BioNG yang dihasilkan mempunyai kandungan metana yang lebih tinggi daripada biogas mentah iaitu sekurang-kurangnya 93 peratus metana yang menjadikan ia setanding dengan gas asli konvensional.
“Pada penghujung proses, gas yang ditulenkan akan dimampatkan ke dalam silinder penyimpanan tekanan tinggi dan sedia untuk dihantar kepada pengguna.
“Tidak seperti tenaga angin atau sumber tenaga suria, BioNG boleh disimpan dengan selamat dan diangkut dalam silinder CNG,” katanya.
Menurutnya, BioNG mempunyai banyak faedah kepada alam sekitar kerana biogas dimanfaatkan daripada efluen kilang minyak sawit (POME) untuk digunakan di tapak penggunaan dan pengeluaran dapat meningkatkan kelestarian pengeluaran minyak sawit serta alam sekitar.


“Antara ciri yang menarik mengenai BioNG ialah ia bukan saja dapat merendahkan pengeluaran gas rumah hijau malah mampu mengurangkan penggunaan bahan api berasaskan petroleum dalam sektor tenaga dan pengangkutan.
“Tidak seperti gas asli petroleum, BioNG adalah salah satu bahan api hidrokarbon paling hijau di pasaran dan mempunyai jejak karbon terendah.
“Sebagai contoh, dalam industri pengangkutan, pelepasan karbon dioksida daripada BioNG adalah kurang 90 peratus berbanding diesel konvensional atau petrol.
“Penggunaan BioNG dan gas asli adalah hampir sama. Bezanya, BioNG adalah karbon neutral manakala gas asli tidak,” katanya.
Selain itu, katanya, pembakaran BioNG adalah lebih bersih dan kurang berbahaya daripada bahan api petroleum kerana pembakaran BioNG menghasilkan jumlah sulfur dan zarah yang lebih rendah serta bebas asap berbahaya.


“Pembakaran gas asli BioNG akan menghasilkan nitrogen oksida, tetapi pada tahap yang lebih rendah daripada petrol dan diesel yang digunakan untuk kenderaan bermotor.
“Pengurangan pelepasan ini dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar dan menghindarkan penyakit seperti asma, bronkitis, barah paru-paru dan lain-lain,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai projek BioNG di Sabah, Azhar berkata, SIRIM akan memberi fokus ke arah mendemonstrasi rantaian nilai menyeluruh untuk menyokong ekosistem perniagaan dalam BioNG.
“Ia meliputi daripada bahan mentah, pengeluaran, pemprosesan, penyimpanan, pengedaran dan penggunaan BioNG. Tapak projek ini terletak di sepanjang Lebuhraya Merotai-Kalabakan atau Lebuhraya Pan-Borneo yang menghubungkan Tawau ke Kuching.
“SIRIM juga sudah memasang stesen pengisian gas untuk pengguna lebuh raya dan juga kenderaan perladangan yang menggunakan sumber tenaga gas asli,” katanya.


Kebaikan projek kepada masyarakat setempat:

• Penduduk setempat seperti pekerja ladang atau orang awam kini mempunyai pilihan untuk menggunakan bahan bakar yang mempunyai pelepasan karbon yang rendah.
• Mereka boleh memandu kenderaan mereka ke stesen yang disediakan pada harga yang mampu dimiliki.
• Pemilik kilang kelapa sawit dapat meraih keuntungan daripada penghasilan BioNG.
• Selain mengurangkan jejak karbon, BioNG juga boleh dijual kepada pengguna perindustrian untuk menggantikan diesel.
• Antara objektif projek ini adalah untuk meningkatkan dan mempromosikan penggunaan BioNG.
• BioNG akan dimampatkan dan disalurkan kepada pengguna melalui sistem talian paip maya atau sistem saluran mudah alih yang mampu dibekalkan kepada pengguna dalam radius 50 kilometer (km).



Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 2:28 PM




No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.