Guna bahan api alternatif
Di bawah Pelan Induk Teknologi Hijau
Malaysia 2017-2030, komitmen kerajaan terhadap Perjanjian Paris 2015 adalah
untuk mencapai pengurangan hingga 45 peratus intensiti pelepasan gas rumah
hijau (GHG) berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030
berbanding paras pada 2005.
Bagi memenuhi permintaan sedemikian,
rangkaian restoran makanan segera McDonald’s Malaysia membulatkan komitmennya
terhadap usaha kelestarian jangka panjang dengan melancarkan beberapa inisiatif
untuk mengurangkan jejak karbon sebagai sebahagian daripada strategi global
Skala Demi Kebaikan syarikat berkenaan.
Di Malaysia, 124 restoran makanan
segera berkenaan sudah melaksanakan sekurang-kurangnya satu inisiatif hijau
yang diperuntukkan syarikat dalam usaha memenuhi komitmen untuk mengurangkan
GHG negara ini.
Restoran di Setia Alam (Shah Alam,
Selangor) adalah yang terbaru yang dilengkapi dengan penyelesaian teknologi
hijau seperti bumbung fotovolta suria, lampu diod pemancar cahaya (LED)
dalaman, pemanas air haba suria, sistem pengumpulan air hujan, termostat pintar
dan sistem penyaman udara hibrid.
Restoran makanan segera itu juga
mengambil langkah penting penggunaan bahan api biodiesel sebagai bahan api
alternatif dalam rangkaian trak penghantaran yang dikendalikan penyedia
perkhidmatan logistik dilantik iaitu Martin Brower.
Bagi tujuan ini, Tangki Pintar dipasang
di restoran untuk mengumpulkan minyak masak terpakai yang kemudian akan
diproses menjadi biodiesel oleh FatHopes Energy.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi
Tempatan McDonald’s Malaysia Azmir Jaafar berkata, pihaknya juga komited kepada
usaha kelestarian lain sebagai sebahagian daripada strategi Skala Demi Kebaikan
termasuk pengurusan sisa, pengurusan bekalan dan penggunaan air, inisiatif
pembungkusan dan kitar semula, di samping proses pemerolehan bertanggungjawab.
Umpamanya di bawah inisiatif
pembungkusan dan kitar semula, pihaknya berjaya menghapuskan penggunaan
pembungkusan yang diperbuat daripada busa di semua restoran sejak tiga tahun
lalu.
“Malah, semua restoran juga
mengurangkan dengan ketara penggunaan beg plastik dan penutup plastik kira-kira
43 juta keping setahun yang bersamaan 50,000 kilogram (kg) bahan plastik.
“Tambah lagi, semua pembungkusan kertas
pelanggan yang sedia ada digunakan di restoran dibuat 100 peratus daripada
bahan serat boleh kitar semula,” katanya, baru-baru ini.
Katanya, dari segi kaedah pemerolehan
bertanggungjawab pula pihaknya komited menggunakan minyak sawit disahkan Meja
Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO).
Bekalan makanan lain seperti biji kopi
juga dibeli mengikut garis panduan ketat dan prinsip yang setanding dengan
kriteria RSPO. Selain itu, ikan yang digunakan dalam burger Filet-o-Fish
diperoleh dari sumber yang disahkan Marine Stewardship Council.
“Sebagai syarikat dan jenama dengan
jejak global yang luas, kami bertanggungjawab untuk menambah baik kehidupan
insan sejagat dan alam sekitar. Kami mahu menggunakan strategi Skala Demi
Kebaikan kami untuk mencapai objektif ini dan akan terus menggiatkan usaha
menzahirkan maksud menjadi sebuah syarikat bertanggungjawab yang komited kepada
insan dan planet.
“Bagi membuktikan komitmen kami,
restoran pandu lalu di Setia Alam berjaya mengurangkan penggunaan bekalan kuasa
keseluruhan sebanyak 25 peratus yang bersamaan pengurangan pelepasan 12,699
kilogram karbon dioksida sebulan,” katanya.
Azmir berkata, inisiatif berterusan di
Malaysia sejajar dengan wawasan global syarikat ini untuk membawa kesan positif
kepada komuniti, masyarakat dan bumi dengan menggunakan strategi Skala Demi
Kebaikan yang juga pendekatan global McDonald’s terhadap kelestarian.
Inisiatif dan ciri kelestarian hijau diketengahkan
1. Sistem Bumbung Bersepadu dengan Fotovolta Suria
2. Pemanas air haba suria
3. Sistem pengumpulan air hujan
4. Pemancur jenis sembur
5. Lampu LED
6. Capture Jet dan Pengimbangan Udara Restoran
7. Sistem ‘Heating, Ventilation & Air Conditioning’ (HVAC)
8. Sistem Penyaman Udara Hibrid
9. Pertukaran Minyak Masak Terpakai
Kepada Bio-diesel
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu,
21 April 2018 @ 7:27 AM
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.