Total Pageviews

Friday 3 August 2018

Melaka haramkan bekas makanan polisterin



Melaka haramkan bekas makanan polisterin



MELAKA: Kerajaan Melaka akan mengharamkan penggunaan bekas makanan diperbuat daripada polisterin di semua kafe di bangunan kerajaan, premis makanan pihak berkuasa tempatan dan sekolah di negeri ini, mulai 15 Mei .
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Kamarudin Md Shah, berkata langkah itu adalah fasa pertama program 'Melaka Tanpa Polisterin' bertujuan mengurangkan penggunaan bahan polisterin yang sukar diurai dan menjejaskan alam sekitar.
Beliau berkata, fasa berkenaan akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula September tahun ini sebelum diperluaskan ke semua premis makanan di seluruh Melaka termasuk di bangunan swasta.
"Tindakan tegas akan diambil antaranya lesen perniagaan tidak akan diperbaharui sekiranya peniaga ingkar untuk mematuhi arahan ini," katanya kepada pemberita selepas program 'Go Green Together' di sini hari ini.
Program yang bertujuan memupuk semangat cintakan kehijauan dalam kalangan rakyat itu dirasmikan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka, Datuk Md Yunos Husin.
Kamarudin berkata, usaha itu perlu dilaksanakan secara efektif dan menyeluruh bagi memastikan rakyat negeri itu terselamat daripada penyakit berbahaya kerana penggunaan bekas makanan polisterin itu boleh meracuni makanan.
Sehubungan itu, beliau berkata peniaga dan orang ramai digalak menggunakan bekas makanan jenis biodegradasi atau mudah diurai seperti yang diperbuat daripada hampas tebu dan jagung.
Pihaknya juga akan mengeluarkan senarai nama pengeluar bekas makanan biodegradasi yang boleh didapati di sekitar negeri ini melalui media massa bagi memastikan peniaga mendapat bekalan produk berkenaan dengan mudah.
"Kerajaan negeri amat serius untuk melaksanakan program ini secara menyeluruh dan berharap inisiatif ini mendapat kerjasama daripada semua pihak di negeri ini agar ia dapat dilaksanakan secara berkesan," katanya.
Selain itu, katanya usaha itu juga selaras dengan misi kerajaan negeri untuk menjadikan Melaka sebagai Bandar Teknologi Hijau dan mendidik rakyat menjaga alam sekitar.
- BERNAMA


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.