Total Pageviews

Friday 3 August 2018

Hasil Kayu Terawat Selamat








Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) memperkenalkan teknologi suhu tinggi pengeringan (HTD) bagi mempercepatkan proses mengeringkan kayu getah dalam tempoh singkat tanpa menggunakan bahan kimia. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel berkata, sistem itu adalah satu inisiatif teknologi mesra alam yang dapat memberi manfaat kepada semua.  Beliau berkata, sistem itu menjadi penyelesai kepada masalah yang dihadapi oleh industri kayu negara terutamanya pengeluar perabot berasaskan kayu getah.

“Untuk memastikan kayu tidak diserang serangga mahupun agen perosak seperti kumbang pengorek kayu mahupun kulat, peng­gunaan bahan kimia yang kuat diperlukan, namun bahan pengawet didakwa mampu menjejaskan kesihatan manusia. “Justeru, alternatif ra­watan kayu diperlukan bagi memastikan industri perabot dapat berkembang dan tidak terjejas de­ngan larangan penggunaan bahan kimia,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalannya, Datuk Seri Dr James Dawos Mamit pada majlis Forum HTD di FRIM, baru-baru ini. Hadir sama Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mohmod, Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) Dr Jalaluddin Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perkayuan Malaysia (MTC) Datuk Yeo Heng Hau. Sementara itu, Dr Abd Latif berkata, HTD antara teknologi hijau yang dibangunkan menggunakan konsep mesra alam.

“Teknologi ini berpotensi menjadikan Malaysia antara negara pertama di dunia yang menawarkan kayu terawat yang selamat dan mesra alam. 

“Pihak FRIM turut menerima maklum balas yang baik dari negara-negara pengeluar kayu terutama­nya kayu getah utama yang lain seperti China, Thailand dan India yang berminat dengan teknologi ini,” katanya. 

Mengulas lanjut katanya, HTD menggunakan kaedah pemanasan stim sehingga 150 darjah Celsius. “Kayu dimasukkan ke tanur pengering untuk merawat serta mengeringkan kayu dan masa kitaran pemprosesan dikurangkan sehingga 70 peratus,” kata­nya.

Katanya, kualiti kayu getah yang dirawat menggunakan sistem HTD ­didapati lebih baik secara umumnya dan kestabilan dimensi kayunya terbukti lebih tinggi berbanding kaedah konvensional. “HTD tidak memerlukan rawatan bahan kimia, malah kaedah ini mening­katkan kestabilan kayu, selain mengurang­kan masa pemprosesan. “Jika sebelum ini proses rawatan kayu memerlukan masa dua minggu, HTD boleh disingkatkan kepada dua hari saja,” katanya. Selain daripada kayu getah, FRIM turut menjalankan penyelidikan lanjut untuk menguji penggunaan sistem itu terhadap spesies kayu lain seperti spesies Akasia. Pada majlis forum itu juga menyaksikan ­per­tukaran Perjanjian Pelesenan antara FRIM dan Advanced Low Pressure System (ALPS) Sdn Bhd bagi mengkomersialkan ­teknologi HTD dan ­syarikat itu membuka dua unit ­pelaksanaan HDT di Telok Gong, Pelabuhan Klang.






PELBAGAI isu dibangkitkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di luar negara terutamanya berkaitan penggunaan bahan kimia yang menjejaskan kesihatan manusia, kemusnahan hutan, pencemaran alam sekitar dan pelbagai lagi. Kesatuan Eropah turut menambah rencah dengan menimbulkan isu penggunaan beberapa jenis bahan kimia dalam proses rawatan kayu dari Malaysia terutamanya Borates yang dikategorikan sebagai bahan repro bertoksik di bawah Arahan Bahan Berbahaya 67/548.

Berikutan itu, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), membangunkan teknologi rawatan kayu bebas bahan kimia yang dikenali Sistem Pengeringan Suhu Tinggi (HTD). Menurut Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod, HTD merupakan antara teknologi hijau yang dibangunkan menggunakan konsep mesra alam.

''Teknologi ini berpotensi menjadikan Malaysia antara negara pertama di dunia yang menawarkan kayu terawat yang selamat dan mesra alam. ''Pihak FRIM turut menerima maklum balas yang baik dari negara-negara pengeluar kayu terutamanya kayu getah utama yang lain seperti China, Thailand, dan India yang berminat dengan teknologi ini," katanya.

Beliau ditemui ketika melawat kilang pemprosesan kayu pertama yang menggunakan teknologi HTD di Klang, Selangor baru-baru ini. Jelasnya, sistem HTD merupakan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh industri kayu-kayan negara terutamanya pengeluar perabot berasaskan kayu getah.

"Masalah tersebut berkaitan dengan halangan serta syarat-syarat perdagangan yang semakin ketat ditetapkan oleh negara-negara maju bagi memastikan penggunaan produk-produk yang lebih mesra alam dipertingkatkan," katanya.

Kayu getah atau kayu sederhana lembut yang sering digunakan dalam pembuatan perabot sebelum ini perlu dirawat terlebih dahulu untuk memastikannya bertahan lama. Untuk memastikan kayu tidak diserang serangga mahupun agen perosak seperti kumbang pengorek kayu mahupun kulat, penggunaan bahan kimia yang kuat diperlukan. Bagaimanapun, penggunaan bahan kimia sebagai bahan pengawet didakwa mampu menjejaskan kesihatan manusia. Justeru, alternatif rawatan kayu diperlukan bagi memastikan industri perabot dapat terus berkembang dan tidak terjejas dengan larangan penggunaan bahan kimia.

Sistem teknologi HTD telah dibangunkan sejak 10 tahun lalu dan ditambah baik oleh penyelidik FRIM, Choo Kheng Ten dan Dr. Sik Huei Shing. Jelas Huei Shing, HTD menggunakan kaedah pemanasan stim untuk merawat serta mengeringkan kayu.

"HTD tidak memerlukan rawatan bahan kimia, malah kaedah ini dapat meningkatkan kestabilan kayu di samping mengurangkan masa pemprosesan. "Jika sebelum ini, proses rawatan kayu memerlukan masa dua minggu, namun menerusi HTD masa boleh disingkatkan kepada dua hingga tiga hari sahaja," katanya.

Tambahnya, kayu getah contohnya perlu melalui proses kering-tanur sebelum digunakan dalam pembuatan atau komponen perabot. Proses tersebut bertujuan memastikan dimensi kayunya stabil sebelum digunakan dalam pembuatan produk hiliran. Lebih 90 peratus kilang pengeringan kayu di rantau Asia menggunakan kaedah konvensional iaitu pemanas stim pada suhu di bawah 80 darjah Celius. Kayu pula perlu dirawat semula dengan bahan pengawet seperti Borates untuk mencegah serangan kulat dan serangga perosak.

Bagaimanapun, menerusi sistem HTD pihak industri perkayuan bukan sahaja dapat menghapuskan penggunaan bahan pengawet, malah masa kitaran pemprosesan juga dapat dikurangkan sehingga 75 peratus. Di samping itu, kualiti kayu getah dirawat menggunakan sistem HTD didapati lebih baik secara umumnya dan kestabilan dimensi kayunya terbukti lebih tinggi berbanding yang dirawat menerusi kaedah konvensional.

Penggunaan kayu getah sebagai bahan utama pembuatan perabot amat tinggi di Malaysia. Hampir 80 peratus eksport perabot negara berasaskan daripada kayu tersebut. Kayu getah yang juga dikenali sebagai Asian Oak di Eropah turut merangkumi hampir separuh daripada kayu-kayan yang digunakan dalam pembuatan perabot di Asia. Teknologi HTD yang dibangunkan FRIM tersebut telah dipatenkan oleh Pejabat Paten dan Cap Dagang Amerika Syarikat (USPTO) pada Mac lalu dan telah memfailkan paten di Malaysia serta enam buah negara lain iaitu Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia, China dan India.

Malah, satu jalinan kerjasama dengan syarikat Advanced Low Pressure System Sdn. Bhd. (ALPS) telah dimeterai bagi mengkomersialkan teknologi HTD dan telah menubuhkan dua unit sistem HTD di Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor. FRIM juga akan bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) untuk menganjurkan sebuah forum berkenaan bagi mempromosi serta melancarkan tanda pensijilan sistem HTD.

Selain daripada kayu getah, FRIM turut menjalankan penyelidikan lanjut untuk menguji penggunaan sistem tersebut terhadap spesies kayu lain seperti spesies Acacia spp. dan kayu kelapa sawit. Teknologi sistem HTD juga didapati sesuai digunakan bagi merawat kayu yang berketumpatan rendah ke sederhana tumpat seperti kayu sesenduk, jelutong, yemane, spesies pine dan pelbagai lagi. - ASHRIQ FAHMY AHMAD




No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.