Plastik bawa bencana kepada alam sekitar
Seorang pembaca Utusan Malaysia,
menulis kepada akhbar ini pada Disember tahun lepas yang kandungannya antara
lain mencadangkan supaya pengguna mengubah tradisi penggunaan beg plastik
kepada beg kertas. Beliau yang menggunakan nama samaran Surat Khabar
Lama memberi alasan, bahan plastik lambat untuk hancur.
''Saya
mencadangkan supaya kerajaan mengkaji dengan teliti bagi menggunakan beg kertas
dalam usaha menghapuskan penggunaan beg plastik. Langkah ini juga akan membantu
kita mengawal pencemaran alam sekitar akibat buangan plastik yang tidak
hancur."
Demikian
saranan pembaca dari Teluk Intan Perak itu. Kata-kata beliau disokong oleh
ramai antaranya penyelidik berkaitan daripada institusi pengajian tinggi
tempatan (IPT) serta seorang personaliti yang telah lama membantu dalam kempen
penjagaan alam sekitar. Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Perlis (UniMap),
Dr. Tengku Nuraiti Tengku Izhar yang menumpukan kajian dalam Pengurusan Sisa
Pepejal (SWM) berkata:
''Pada
pendapat saya, masalah pencemaran plastik di Malaysia adalah agak serius. ''Bagaimanapun
sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kesedaran awam terhadap masalah
pencemaran plastik semakin meningkat. ''Banyak kempen yang dijalankan telah
menarik perhatian orang ramai berbanding lima tahun dahulu yang mana orang
ramai mempunyai pengetahuan yang rendah tentang pencemaran plastik.''
Beliau
yang juga Pengerusi Rancangan Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar UniMap
berkata, plastik adalah satu bahan yang tidak terurai sekiranya dihantar ke
tapak pelupusan sampah. Ia akan kekal di situ sehingga beratus-ratus tahun dan
dengan situasi tapak pelupusan sampah di Malaysia yang masih perlu
penambahbaikan, perlu ada langkah alternatif untuk menguruskan sisa pepejal
terutamanya plastik. Dalam pada itu, mengulas mengenai kenapa plastik sering
dikaitkan dengan isu pencemaran, beliau berkata, penggunaan polisterin dan beg
plastik boleh mengancam kualiti alam sekitar dan boleh menjejaskan kesihatan
manusia.
''Penghapusan
penggunaan polisterin dan beg plastik dijangka dapat mengurangkan kadar
pencemaran yang memberi kesan terhadap alam sekitar secara jangka pendek
seperti meninggalkan pemandangan kurang enak jika dibuang merata-rata tempat. ''Kesan
jangka panjang pula merujuk kepada isu-isu memusnahkan hidupan akuatik jika
dibuang ke dalam laut," ujarnya.
Polisterin
dan beg plastik diperbuat daripada bahan yang berasaskan petroleum seperti styrene dan
benzin yang merupakan bahan yang tidak dapat hancur dan reput tanpa dikenakan
tindakan kimia terhadapnya. Oleh itu kata Tengku Nuraiti, jika polisterin
dilupuskan di kawasan pelupusan sampah, ia akan kekal berada dalam bentuk asal
sehingga beratus-ratus tahun. Polisterin dan beg plastik juga mengandungi bahan
kimia yang boleh menyebabkan kanser dan ia mengambil masa beratus tahun untuk
reput dan kemudiannya akan bertukar menjadi toksik. Ia juga membawa kesan buruk
kepada alam sekitar melalui penipisan lapisan ozon. Sementara itu bagi pelakon
popular, Maya Karin dia sebenarnya tidak dapat menerima hakikat bahawa
sebahagian besar masyarakat kita mempunyai tabiat yang buruk membuang sampah
merata-merata. Berkongsi perasaan kecewa dengan tabiat tersebut, dia
berpendapat, ia memburukkan keadaan apabila sampah yang dibuang merata-merata
itu merupakan cebisan atau pun botol plastik.
''Saya
memang dari dulu anti plastik,'' ujarnya ringkas. ''Kenapa kita memerlukan beg
plastik untuk membawa barang pulang ke rumah sedangkan perjalanan dari kedai
hanya lima minit. ''Malah membeli sekotak rokok pun kadangkala dibungkus dalam
plastik? ujar aktres tersebut. Dalam pada itu menurut Tengku Nuraiti persoalan
sama ada plastik boleh digantikan dengan produk lain bergantung kepada
kesedaran orang ramai sebagai pengguna. ''Penggunaan plastik sangat popular
kerana kelebihan yang ada padanya iaitu tahan lama, teguh dan mudah digunakan.
''Tidak
hairanlah jika kita banyak bergantung kepada polisterin dan beg plastik sebagai
satu bahan wajib dalam proses pembungkusan dan sebagainya walaupun kaedah
tradisional menggunakan sumber alam lebih murah harganya ''Sehingga kita tidak
menyedari bahaya polisterin dan beg plastik serta komponen-komponen kimia yang
terkandung di dalamnya," kata beliau. Untuk menarik minat pengguna dari
pelbagai umur, rekaan beg berwarna-warni, boleh dilipat untuk dimasukkan ke
dalam beg tangan, material yang tahan lama pasti dapat menarik perhatian orang
ramai. Siapakah yang bertanggungjawab dalam mengurus buangan seperti ini?
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.