Total Pageviews

Friday, 3 August 2018

Penggunaan polisterin diharamkan di WP



Penggunaan polisterin diharamkan di WP




PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan akan melaksanakan larangan penggunaan polisterin di semua premis makanan dan kafe mulai tahun depan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata larangan itu adalah sebahagian usaha mengurangkan penggunaan bahan yang memberi kesan kepada alam sekitar kerana sukar diurai atau dikitar semula.
Tambah beliau, larangan yang akan diperluaskan secara menyeluruh ke semua premis makanan di tiga kawasan berkenaan termasuk bangunan swasta itu adalah antara inisiatif Pembangunan Teknologi Hijau selaras dengan usaha kerajaan untuk menumpukan kepada peralihan pembangunan sosio ekonomi yang lebih mesra alam.
"Peniaga dan orang ramai digalak menggunakan bekas makanan boleh dikitar semula dan mudah urai, yang diperbuat daripada serat hampas tebu dan jagung kerana ia lebih selamat berbanding polisterin yang boleh mengakibatkan kesan sampingan kepada kesihatan pengguna.
"Kita akan memastikan pelaksanaan ini dijalankan secara menyeluruh dan berharap mendapat kerjasama semua pihak supaya ia berkesan," katanya pada sidang media sempena Majlis Perasmian Kios Jualan Makanan dan Minuman di Presint 9, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Seri Hasim Ismail.
Projek naik taraf bagi menggantikan kegiatan perniagaan di bawah khemah berpayung yang beroperasi sejak 2008 itu menyaksikan 10 unit Kios jualan Makanan dan Minuman dibina PPj, yang beroperasi sepenuhnya sejak awal Ogos lalu.
Projek perintis itu akan menjadi contoh dan sekiranya berjaya, akan diperluaskan ke kawasan lain bagi meningkatkan ekonomi peniaga Bumiputera dan golongan berpendapatan rendah yang menetap di Putrajaya.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.