Bahan api hidrokarbon paling hijau
BioNG adalah gas asli yang dihasilkan daripada
sisa bio seperti sisa buangan kelapa sawit, makanan atau perindustrian.
Ia adalah gas dan bukan berbentuk
cecair. BioNG adalah biogas yang ditulenkan, gas ini juga bersifat versatil dan
cekap seperti gas asli petroleum.
BioNG yang dihasilkan daripada sisa
sawit adalah teknologi tenaga boleh diperbaharui dan mampu dijadikan alternatif
kepada bahan bakar yang selama ini hanya bertumpu kepada kegunaan penjanaan
tenaga elektrik.
Seperti gas asli konvensional, BioNG
boleh digunakan sebagai bahan api pengangkutan dalam bentuk gas asli termampat
(CNG) atau gas asli cecair (LNG).
Oleh itu, SIRIM Berhad (SIRIM) melalui
sokongan kerajaan dan kerjasama Sime Darby Plantation mewujudkan projek
perintis untuk menghasilkan BioNG bagi minyak automotif di Pulau Carey,
Banting, Selangor.
Kini projek berkenaan dilaksanakan di
Tapak Demonstrasi BioNG di Merotai, Tawau sekali gus dapat meningkatkan dan
mempromosikan penggunaan BioNG.
Malah,
penduduk setempat seperti pekerja ladang atau orang awam kini mempunyai pilihan
untuk menggunakan bahan bakar yang mempunyai pelepasan karbon yang rendah.
Pengarah
Pusat Perindustrian Inovasi BioNG SIRIM Azhar Abdul Raof berkata, BioNG adalah
biofuel yang maju mengandungi jejak karbon rendah.
“Kami
menggunakan bahan mentah untuk menghasilkan BioNG. Dalam perkara ini, biogas
adalah sumber bahan mentah utama. Terdapat banyak biogas di loji rawatan efluen
kilang minyak sawit dan ia tidak digunakan sepenuhnya.
“SIRIM
mencari kaedah untuk mendapatkan, menyimpan, menulen dan menyalurkan semua
biogas dari kilang minyak kelapa sawit supaya ia boleh digunakan sebagai
alternatif kepada gas asli dalam loji jana kuasa gas atau diesel atau kenderaan
gas asli (NG).
“Proses
untuk menukarkan efluen minyak kelapa sawit kepada BioNG adalah mudah, tidak seperti
gas asli petroleum yang diambil dari bawah tanah atau dasar laut.
“BioNG
tidak memerlukan perpaipan mahal dan teknologi yang rumit untuk menyedut keluar
gas ke permukaan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat SIRIM di Shah Alam,
Selangor, baru-baru ini.
Azhar
berkata, langkah pertama, efluen dimasukkan ke dalam sistem tangki tertutup
untuk menghasilkan biogas, kemudian biogas yang terhasil akan disalurkan ke
beberapa siri kebuk penulenan.
“Kebuk
penulenan ini akan menapis kekotoran seperti hidrogen sulfida, karbon dioksida
dan kelembapan. BioNG yang dihasilkan mempunyai kandungan metana yang lebih
tinggi daripada biogas mentah iaitu sekurang-kurangnya 93 peratus metana yang
menjadikan ia setanding dengan gas asli konvensional.
“Pada
penghujung proses, gas yang ditulenkan akan dimampatkan ke dalam silinder
penyimpanan tekanan tinggi dan sedia untuk dihantar kepada pengguna.
“Tidak
seperti tenaga angin atau sumber tenaga suria, BioNG boleh disimpan dengan
selamat dan diangkut dalam silinder CNG,” katanya.
Menurutnya,
BioNG mempunyai banyak faedah kepada alam sekitar kerana biogas dimanfaatkan
daripada efluen kilang minyak sawit (POME) untuk digunakan di tapak penggunaan
dan pengeluaran dapat meningkatkan kelestarian pengeluaran minyak sawit serta
alam sekitar.
“Antara ciri yang menarik mengenai
BioNG ialah ia bukan saja dapat merendahkan pengeluaran gas rumah hijau malah
mampu mengurangkan penggunaan bahan api berasaskan petroleum dalam sektor
tenaga dan pengangkutan.
“Tidak seperti gas asli petroleum,
BioNG adalah salah satu bahan api hidrokarbon paling hijau di pasaran dan
mempunyai jejak karbon terendah.
“Sebagai contoh, dalam industri
pengangkutan, pelepasan karbon dioksida daripada BioNG adalah kurang 90 peratus
berbanding diesel konvensional atau petrol.
“Penggunaan BioNG dan gas asli adalah
hampir sama. Bezanya, BioNG adalah karbon neutral manakala gas asli tidak,”
katanya.
Selain itu, katanya, pembakaran BioNG
adalah lebih bersih dan kurang berbahaya daripada bahan api petroleum kerana
pembakaran BioNG menghasilkan jumlah sulfur dan zarah yang lebih rendah serta
bebas asap berbahaya.
“Pembakaran gas asli BioNG akan
menghasilkan nitrogen oksida, tetapi pada tahap yang lebih rendah daripada
petrol dan diesel yang digunakan untuk kenderaan bermotor.
“Pengurangan pelepasan ini dapat
mengurangkan pencemaran alam sekitar dan menghindarkan penyakit seperti asma,
bronkitis, barah paru-paru dan lain-lain,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai projek BioNG
di Sabah, Azhar berkata, SIRIM akan memberi fokus ke arah mendemonstrasi
rantaian nilai menyeluruh untuk menyokong ekosistem perniagaan dalam BioNG.
“Ia meliputi daripada bahan mentah,
pengeluaran, pemprosesan, penyimpanan, pengedaran dan penggunaan BioNG. Tapak
projek ini terletak di sepanjang Lebuhraya Merotai-Kalabakan atau Lebuhraya
Pan-Borneo yang menghubungkan Tawau ke Kuching.
“SIRIM juga sudah memasang stesen
pengisian gas untuk pengguna lebuh raya dan juga kenderaan perladangan yang
menggunakan sumber tenaga gas asli,” katanya.
Kebaikan projek kepada
masyarakat setempat:
• Penduduk setempat seperti pekerja
ladang atau orang awam kini mempunyai pilihan untuk menggunakan bahan bakar
yang mempunyai pelepasan karbon yang rendah.
• Mereka boleh memandu kenderaan mereka
ke stesen yang disediakan pada harga yang mampu dimiliki.
• Pemilik kilang kelapa sawit dapat
meraih keuntungan daripada penghasilan BioNG.
• Selain mengurangkan jejak karbon,
BioNG juga boleh dijual kepada pengguna perindustrian untuk menggantikan
diesel.
• Antara objektif projek ini adalah
untuk meningkatkan dan mempromosikan penggunaan BioNG.
•
BioNG akan dimampatkan dan disalurkan kepada pengguna melalui sistem talian
paip maya atau sistem saluran mudah alih yang mampu dibekalkan kepada pengguna
dalam radius 50 kilometer (km).
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 2:28 PM