Tanaman
sayuran jadi hiasan, beri pulangan
KOTA TINGGI 3 Julai - Penduduk Felda Semenchu, di sini beranggapan
konsep Edible Garden atau Taman Dapur yang diusahakan
merupakan aktiviti yang menarik dan memberi manfaat kepada mereka.
Meski pun hanya
diusahakan secara kecil-kecilan, ia dapat membantu para peneroka di sini untuk
menjimatkan perbelanjaan di samping menjadikan pertanian sebagai aktiviti
harian.
Seorang penduduk, Jamak
Rahmat, 57, berkata, projek berkenaan merupakan satu aktiviti yang menarik
kerana ia bukan sahaja dapat memberi hasil tetapi membantu mencantikkan
landskap kediaman masing-masing.
Menurutnya,
sayur-sayuran yang ditanam juga mampu menjadi sebahagian daripada perhiasan
halaman kerana ia memiliki kecantikan tersendiri dan setanding dengan pokok
bunga hiasan.
"Sudah hampir lima tahun saya mengusahakan Taman Dapur ini
dan halaman rumah saya nampak lebih ceria ketika kesemua tanaman yang
diusahakan sedang masak ranum," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya, di Felda Semenchu di sini
baru-baru ini.
Seorang lagi penduduk, Subari
Radio, 60, berkata, projek itu secara tidak langsung dapat menggalakkan para
peneroka mengusahakan tanah-tanah terbiar di sekeliling kawasan rumah.
"Daripada kita
biarkan kawasan tanah kosong dipenuhi semak samun, baik kita usahakannya, dapat
juga kita menikmati hasilnya pada masa akan datang," katanya.
Katanya, terdapat
pelancong yang datang, melahirkan rasa kagum kerana mereka tidak pernah melihat
pokok sayur-sayuran dijadikan pokok hiasan.
Justeru, Subari
berharap, penduduk di kawasan itu menyahut seruan Felda untuk mewujudkan Taman
Dapur di kediaman masing-masing bagi menjadikan landskapnya lebih menarik.
"Jika setiap
rumah di sini memiliki taman itu, tidak mustahil Felda Semenchu mampu menjadi
sebahagian daripada tarikan pelancong di negeri ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.