Total Pageviews

Saturday, 3 December 2016

Ribuan ikan terapung di tasik



ALOR SETAR:  Ribuan ikan di tasik di Taman Jubli Emas, di sini, terapung sebelum mati, dipercayai berpunca daripada masalah kekurangan oksigen. Keadaan itu menyebabkan ramai pengunjung mengambil kesempatan mengutip ikan yang masih hidup, kebanyakan jenis lampam, jelawat, cangkap, kelubi dan haruan.

Difahamkan, keadaan itu berlaku sejak semalam berpunca daripada masalah dihadapi empat pam di Taman Jubli Emas itu yang dikatakan rosak. Pekerja am di Taman Jubli Emas, Ezhar Yahya, 54, berkata sejak semalam dia bersama 10 pekerja lain mengutip bangkai ikan yang timbul di permukaan air kerana bimbang tasik yang menjadi kunjungan orang ramai itu berbau hanyir.

"Ada pengunjung mengutip ikan yang masih hidup setiap pagi untuk dibawa pulang ke rumah, namun ikan yang mati dibiarkan bergelimpangan di tepi tasik kerana ada yang sudah busuk. "Sebelum ini ketika fenomena El Nino, banyak juga ikan mati tetapi tak ketara seperti yang berlaku sekarang...ikan yang mati di sini bukannya diracun, tetapi hanya akibat kekurangan oksigen apabila pam yang menyalurkan oksigen ke dalam air rosak," katanya ketika ditemui di sini.

Seorang pengunjung, Siti Asiah Ahmad, 50, berkata dia mengutip ikan lampam di situ sejak semalam untuk dibuat pekasam, malah menganggap kejadian itu memberi rezeki kepadanya yang juga peniaga kedai makan. Katanya, ikan talapia yang dikutip di tepi tasik itu biasanya berharga antara RM12 hingga RM14 sekilogram dan ikan yang dikutip di Taman Jubli Emas itu boleh dimakan kerana masih hidup.

"Saya dan keluarga sudah makan ikan yang dikutip di sini sejak pagi semalam dan setakat ini tak berlaku sebarang masalah atau sakit perut...ikan yang mati lebih banyak hari ini berbanding sebelumnya menyebabkan ramai pengunjung datang mengutipnya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kedah, Datuk Bakar Din, ketika dihubungi berharap orang ramai tidak mengutip ikan di Taman Jubli Emas itu untuk makan kerana bimbang sesuatu tidak diingini berlaku.

ALOR SETAR - Tasik di Taman Jubli Emas, Suka Menanti di sini tidak putus-putus dikunjungi ramai orang yang tidak melepaskan peluang menyauk ribuan ikan yang terapung dipercayai akibat kekura­ngan oksigen sejak Isnin lalu. Peniaga air, Rohana Abdullah, 52, berkata, ikan-ikan tersebut didapati terapung sejak petang Isnin lalu ketika dia berniaga di taman tersebut. “Ribuan ikan terapung kerana kekurangan oksigen dan banyak juga yang sudah mati,” katanya ketika ditemui di tasik tersebut di sini hari ini. Katanya, dia telah membawa balik kira-kira 40 kilogram (kg) ikan sejak kelmarin untuk dibuat pekasam. “Kebanyakkan ikan yang terapung akan mati begitu sahaja jika tidak diambil, jadi saya ambil keputusan untuk mengambilnya,” ujarnya. Menurut Rohana, antara ikan yang dibawa pulang adalah ikan tilapia, lampam, rohu dan ubi.




No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.