Alahan adalah tindak balas terlebih sensitif atau hipersensitif oleh sel
immunisasi badan kepada sesuatu bahan atau alergen. Alahan ini menyebabkan
respons berbeza, bergantung kepada organ badan mana berlakunya alahan itu.
Jika berlaku pada kulit, ia boleh menyebabkan ruam alahan kulit atau
ekzema. Alahan pada hidung pula boleh menyebabkan hidung berair, bersin, mata
dan hidung menjadi gatal.
Tindak balas hipersensitif ini juga boleh mengancam nyawa jika berlaku
pada organ paru-paru dan saluran pernafasan. Ia boleh menyebabkan seseorang
pesakit seolah-olah mengalami serangan asma.
Tindak balas alahan yang berlaku secara cepat dan tiba-tiba boleh
menyebabkan seseorang pesakit koma atau kematian kerana serangan pernafasan
yang akut. Ini disebabkan gangguan terhadap bekalan oksigen ketika serangan
berlaku.
Alergen yang menyebabkan alahan boleh berpunca dari pelbagai sumber.
Alergen akan memasuki badan pesakit dan merangsang sistem imunisasi,
menjadikannya terlalu aktif. Keadaan ini menimbulkan simptom alahan.
Satu sumber alahan ialah pemakanan. Setiap pesakit mempunyai alahan
berbeza. Antara makanan yang boleh menyebabkan alahan ialah soya, kekacang,
makanan laut, ayam, telur, gandum dan susu lembu.
Reaksi alahan ini biasanya hanya berlaku pada kulit pesakit dan jarang
mengakibatkan serangan pernafasan. Pesakit mengalami kegatalan dan ruam bintat
pada hampir keseluruhan badan.
Bahan kimia seperti sabun basuh pinggan dan sabun mandi pula menyebabkan
ruam berlaku pada tapak tangan dan bahagian pelipat baju.
Udara berhabuk dan berdebu, minyak wangi serta penyembur haruman bilik
juga boleh menyebabkan berlaku alahan. Namun, biasanya ia hanya membabitkan
reaksi di mana hidung dan mata menjadi gatal dan berair.
Ubat seperti antibiotik dan penahan sakit boleh menyebabkan alahan
berlaku. Selain itu, gigitan serangga seperti lebah, tebuan, penyengat
menyebabkan badan pesakit menghasilkan reaksi imunisasi yang terlalu cepat.
Alahan ini boleh menyebabkan serangan pada saluran pernafasan dan
kegagalan beberapa organ badan yang boleh mengancam nyawa dan kematian.
Alahan ialah sesuatu yang pesakit tidak pernah tahu kecuali sesudah
terdedah kepada alergen dan pesakit mengalami alahan terhadapnya.
Antara cara mengenal pasti alahan ialah dengan menjalankan ujian darah
atau ujian kulit untuk menentukan jenis allergen. Beberapa sampel alergen akan
disuntik di bawah kulit, dan pemerhatian dilakukan untuk mengenal pasti jenis
alahan.
Namun, hanya beberapa jenis alergen dapat dikesan, bergantung kepada
kemampuan makmal atau hospital yang melakukannya.
Biasanya, ujian dilakukan pada jenis alergen yang biasa menyebabkan
alahan berlaku. Faktor utama menyebabkan berlaku alahan ialah keturunan.
Jika seseorang itu mempunyai alahan, kemungkinan besar generasi
berikutnya mengalami alahan tetapi tidak semua simptom alahan sama.
Reaksi simptom alahan itu berbeza.
Selain itu, tidak semua alergen juga sama dalam keturunannya. Namun, penting
untuk mengenal pasti jenis allergen bagi mengelak komplikasi yang tidak
diingini.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.