Total Pageviews

Saturday 3 December 2016

Telefon bimbit jejas kesihatan

Telefon bimbit jejas kesihatan?



MASYARAKAT moden kini banyak bergantung kepada bermacam jenis teknologi untuk memudahkan pengangkutan, pekerjaan dan perhubungan. Namun, di sebalik semua perkembangan teknologi itu, ramai yang mengambil mudah terhadap kesan sampingan yang perlu dihadapi.
Apabila diuar-uarkan sesuatu teknologi mungkin mengancam kesihatan atau keselesaan hidup, ada pula yang mengambil tindakan melulu dengan membuat pelbagai andaian tanpa maklumat yang cukup.
Dari segi perkembangan sistem telekomunikasi, teknologi telefon bimbit telah maju dengan pesat sejak awal 1990-an. Kini hampir semua individu, tidak kira tua atau muda, memiliki satu atau lebih telefon bimbit.
Bagaimanapun, dengan kesedaran kesihatan diri yang semakin meningkat, orang ramai mula menilai tentang kemungkinan wujud ancaman penyakit seperti kanser terhadap diri mereka akibat pendedahan terlalu lama terhadap gelombang frekuensi radio (RF) telefon bimbit dan menara pemancar telekomunikasi yang dipasang berhampiran kediaman penduduk setempat.
Kajian yang dijalankan di beberapa negara Eropah mengaitkan risiko ketumbuhan telinga dan otak dengan gelombang telefon bimbit.
Satu kajian yang dijalankan oleh sebuah institut penyelidikan perubatan di Sweden dua tahun lalu mendapati wujud kemungkinan risiko tumor telinga empat kali ganda di kalangan orang yang menggunakan telefon selular lebih daripada sepuluh tahun.
Bagaimanapun, kajian ke atas 750 orang itu tidak konklusif. Begitu juga dengan satu lagi kajian lain mengenai RF yang dijalankan di Jerman.
Namun, ramai saintis di Eropah menyarankan kanak- kanak perlu dielakkan daripada menggunakan telefon bimbit kerana kesannya kepada kesihatan.
Gelombang RF
Para penyelidik sebelum ini mendapati gelombang daripada telefon bimbit dapat mengganggu sistem operasi peralatan elektronik terutama peralatan di hospital.
Ekoran penemuan itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengambil inisiatif menyelidik kesan gelombang RF terhadap kesihatan manusia.
Selain telefon bimbit, gelombang RF turut hadir daripada penggunaan peralatan elektronik lain seperti televisyen, radio, komputer, komunikasi radar dan satelit.
Ini bermakna, setiap hari manusia bukan sahaja terdedah kepada gelombang tersebut daripada telefon bimbit tetapi juga daripada pelbagai jenis peralatan elektronik lain.
Ketua Jabatan Fizik Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr. Ng Kwan-Hoong menjelaskan, saintis dunia prihatin terhadap kebimbangan yang timbul daripada peningkatan mendadak penggunaanRF, khususnya di kalangan pengguna telefon bimbit.
Kanak-kanak
‘‘Kajian jangka panjang telah dimulakan sejak lebih 10 tahun lalu dan ia akan berterusan sebelum dapat diputuskan tahap ancaman gelombang tersebut dalam jangka masa 10 hingga 20 tahun lagi.
‘‘Orang ramai perlu mendapatkan maklumat yang tepat daripada badan bertauliah seperti WHO atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebelum membuat sebarang andaian mengenai kesan gelombang RF, katanya.
Menurut beliau, pendedahan yang terlalu lama terhadap apa-apa unsur sekalipun akan mendatangkan kesan kepada tubuh manusia tetapi setakat ini tiada bukti kukuh yang mengaitkan sebarang penyakit dengan gelombang RF.
Tambahnya, kajian jangka pendek mendapati tiada kaitan antara penyakit dengan penggunaan telefon bimbit.
Tetapi ini tidak bermakna ia boleh digunakan selama mana dikehendaki pengguna.
WHO juga telah menasihatkan supaya penggunaan telefon bimbit dikurangkan kecuali apabila ia amat diperlukan. Ini sangat penting terutama bagi kanak-kanak yang mempunyai tindak balas yang berbeza dengan golongan dewasa.
‘‘Kajian terhadap kesan gelombang RF terhadap kanak-kanak akan mengambil masa memandangkan fokus lebih ditumpukan kepada kesan gelombang tersebut terhadap golongan dewasa, ujarnya.
Kanak-kanak, kata Profesor Kwan-Hoong, mungkin lebih terancam terhadap sesuatu unsur berikutan ketahanan badan mereka lebih lemah berbanding golongan dewasa di samping tempoh pendedahan yang lebih lama jika mereka mula menggunakan telefon bimbit pada usia muda.
Beliau berkata, buat masa ini tiada bukti menunjukkan pemancar gelombang telefon yang dipasang oleh syarikat telekomunikasi membahayakan penduduk setempat selagi tahap pendedahan terhadap gelombang RF berada di bawah piawaian yang ditetapkan.
Persidangan EMF
Bagi menyebarkan maklumat mengenai gelombang RF, Persidangan Gelombang Elektro Magnetik (EMF) Antarabangsa 2007 akan diadakan di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur selama tiga hari bermula esok untuk membincangkan kajian-kajian semasa mengenai kesan gelombang tersebut.
Persidangan itu dianjurkan oleh Universiti Malaya dan mendapat sokongan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Antara penyelidik yang akan membentangkan kajian terkini mengenai gelombang RF termasuk wakil dari New Zealand, Australia, Jepun dan Makmal Penyelidikan Tentera Udara Amerika Syarikat.
Lebih 150 peserta dari 44 negara telah mendaftar untuk menghadiri persidangan tersebut di samping wakil-wakil tempatan yang terdiri daripada pakar gelombang elektro magnetik dan wakil beberapa kementerian berkaitan.
Penyertaan terbuka kepada pekerja dan ahli organisasi komunikasi serta orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang gelombang RF, kajian terkini dan kesannya. Pendaftaran boleh dibuat secara online di laman web www.radiology.um.edu.my/emf 2007
Walaupun tahap ancaman gelombang RF masih dikaji, persidangan itu dijangka dapat merumuskan satu piawaian tetap untuk Malaysia dan seluruh dunia di samping berkongsi pengalaman dan penemuan terbaru serta menyampaikan maklumat terkini kepada orang ramai.
Maklumat lanjut mengenai gelombang RF dalam bentuk fail PDF boleh dimuat turun dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin daripada laman web Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di www.rfrad.gov.my
Kursus jangka pendek mengenai pengurusan gelombang elektro magnetik pula akan adakan pada 7 dan 8 Jun.




No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.