Total Pageviews

Tuesday 3 September 2019

Seludup benih spesies endemik


Melancong sambil seludup benih spesies endemik







KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melindungi benih buah-buahan yang tergolong dalam spesies endemik kerana tinjauan BH mendapati ia diseludup dengan mudah dan dijual di pasaran gelap.

Langkah itu perlu kerana dikhuatiri ada negara luar akan mendahului negara ini dari segi kajian potensi spesies berkenaan dan mengaut untung daripadanya.

Pokok buah-buahan daripada spesies endemik dan liar itu adalah aset negara kerana ia hanya tumbuh di kawasan hutan negara ini.

Bekas pegawai penyelidik sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Mohd Shamsudin Osman, berkata kegagalan kerajaan melindungi spesies berkenaan hanya akan bakal mengundang kerugian.






“Negara kita banyak sumber. Sememangnya rugi kalau kita masih tak sedar. Spesies berkenaan ada potensi dan rugi jika kita tak bangunkan R&D (kajian dan penyelidikan).


“Kalau orang luar ada apa kita ada, maksudnya kita pun tak ada kelebihan. Sebab, kita ada mereka pun ada,” katanya kepada BH.


Tinjauan BH mendapati sekumpulan warga asing, dipercayai dari Amerika Syarikat (AS) disyaki dalang penyeludupan dan penjualan biji benih itu ke luar negara.


Sambil melancong, warga asing itu mengumpul benih buah-buahan berasal dari Sabah dan Sarawak secara sembunyi sebelum menjualnya secara haram.


Di Malaysia, dua negeri kepulauan Borneo itu dianggap ‘hab’ buah-buahan istimewa kerana hanya boleh dijumpai di hutan di kawasan itu.


Kumpulan itu bergerak sebagai penggemar durian. Mereka sanggup melancong ke seluruh negeri dari Pulau Pinang hingga pedalaman Sabah dan Sarawak hanya untuk menikmati pelbagai jenis durian di negara ini sambil mengumpul biji benih untuk dijual bagi memenuhi permintaan pelanggan dalam dan luar negara.


Antara biji benih menjadi sasaran kumpulan terbabit untuk dijual ialah durian kura-kura, durian isi merah, durian kulit merah, durian pakan dan durian isu.


Selain durian, kumpulan ini juga mengumpul biji benih isau iaitu longan liar dan buah dabai untuk dijual secara haram ke luar negara.


Buah-buahan liar dan nadir itu dianggap warisan negara kerana tergolong dalam spesies endemik, iaitu yang tumbuh dan hidup di kawasan tertentu sahaja.


Biji benih disorok dan dikumpulkan selepas selesai menikmati buah-buahan berkenaan. Ia dibersihkan sebelum dibungkus dalam plastik kedap udara bagi mengelakkan ia cepat kering dan rosak.


Setiap biji benih dijual pada harga RM10 hingga RM50. Caj penghantaran pula dikenakan pada harga RM10 ke luar negara menggunakan perkhidmatan kurier tempatan dan dijangka tiba kepada pelanggan dalam tempoh dua minggu.


Untuk urusan jual beli biji benih, kumpulan itu menggunakan platform media sosial seperti Instagram, Facebook dan e-mel bagi memudahkan untuk berinteraksi dengan pelanggan.


Ada juga laman web yang diwujudkan khas untuk urusan jual beli biji benih berkenaan yang dikenali sebagai SeedPirates. Ia dipercayai dikendalikan seorang daripada kumpulan pelancong warga itu.


SeedPirates bukan sahaja menjual biji benih dari Malaysia, malah seluruh dunia.


Semakan dengan Jabatan Pertanian Malaysia (DoA) mendapati, semua jenis benih tanaman yang hendak dieksport ke luar negara perlu mendapat kebenaran dan lesen daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).


Urusan import juga perlu melalui prosedur ditetapkan DoA apabila mengkehendaki permit untuk berbuat demikian.


Pengeksportan apa-apa jenis benih tanpa kelulusan dan lesen daripada MAQIS adalah salah dan boleh didakwa mengikut Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).


Mohd Shamsudin berkata, kumpulan pelancong warga asing itu yang menyeludup keluar dan menjual biji benih muncul sejak lima tahun lalu.


Berpengalaman hampir 38 tahun sebagai penyelidik, beliau berkata, kumpulan itu bijak kerana mereka ‘menyelam sambil minum air’.


Katanya, mereka adalah peminat durian dan apabila berkunjung ke suatu tempat untuk menikmati buah-buahan berkenaan, sambil mengutip biji benih untuk dijual.


“Mereka mula sejak lima tahun lalu dengan kumpulan yang kecil. Seorang wanita dari AS yang mengetuai kumpulan berkenaan.


“Bermula di Pulau Pinang, mereka ‘menyelam sambil minum air’. Sambil makan durian, sambil kutip biji durian untuk jual dan dapat wang bagi menampung hidup di Malaysia,” katanya yang juga pakar durian.


Sementara itu, Presiden Persatuan Benih Kebangsaan Malaysia (NSAM), Prof S Uma Rani, berkata sudah tiba masa Malaysia mengumpul spesies endemik untuk disenaraikan sebagai warisan kebangsaan.


Katanya, langkah itu bagi memastikan tidak ada pihak luar menuntut dan mengakui bahawa spesies berkenaan milik mereka.


“Isu ini timbul apabila ada orang jual dan ada pihak mahu membeli. Pihak yang menjual semestinya orang yang memiliki benda itu.


“Jadi, dia kena sedar dan peka biji benih ini tidak boleh dijual atau dibawa keluar sewenang-wenangnya,” katanya yang juga pensyarah teknologi biji benih Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM).





.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.