Total Pageviews

Sunday 15 September 2019

Pencuci mesra alam

 

Pencuci mesra alam

 

https://www.iproperty.com.my/lifestyle/produk-pencuci-mesra-alam-untuk-rumah-anda-ms/

 

Panduan bagi yang ingin bertukar kepada produk pencuci yang lebih mesra alam untuk kegunaan rumah.

Tahniah! Anda telah memulakan langkah kehidupan baru – pembaziran sifar! Menahan daripada menggunakan penyedut air plastik dan membeli barang menggunakan beg kitar semula hanyalah langkah permulaan. Selain menggunakan penyedut air keluli, ada banyak lagi cara yang boleh anda praktikkan untuk hidup yang lebih lestari termasuk menggunakan produk pencuci mesra alam.

Zaman sekarang tidaklah terlalu sukar untuk mencari produk pencuci mesra alam. Semakin banyak jenama yang dihasilkan oleh pengeluar yang prihatin demi membantu menyelamatkan alam sekitar. Anda juga boleh menjadi sebahagian daripada gerakan ini!

Artikel ini diterjemah dari 5 eco-friendly cleaning products for the sustainable home oleh Ridzwan A.Rahim.

Tetapi apa sebenarnya definisi produk pencuci mesra alam ini? Secara umumnya, produk jenis ini tidak mengandungi bahan kimia yang bukan sahaja berbahaya kepada manusia jika termakan, tetapi juga menyumbang kepada pencemaran udara di dalam rumah.

Kebanyakan produk pencuci mesra alam diperbuat daripada bahan semulajadi atau berasaskan tumbuhan yang efektif untuk membersihkan rumah anda. Tetapi bukan sekadar bahan yang mesra alam, produk jenis ini juga menitik beratkan reka bentuk pembungkusan seperti botol yang diperbuat menggunakan plastik yang boleh diguna semula, kaca dan pembungkus plastik yang dikecilkan.

Tak sabar nak mulakan langkah menggunakan produk pencuci seperti ini? Berikut ialah beberapa produk kegemaran kami:


1. Sodium bikarbonat (soda penaik)

Jika anda membuat carian petua mencuci menggunakan bahan di rumah, soda penaik pasti muncul dalam senarai. Sebagai alkali lembut, soda penaik merupakan agen pencuci yang amat berkesan kerana ia membolehkan minyak dan kekotoran larut di dalam air dan mudah ditanggalkan. Tanpa dilarutkan pula, soda penaik bertindak seperti serbuk sental dan mampu menanggalkan kotoran dengan mudah.

Soda penaik merupakan agen pencuci yang lembut. Ini membuatkannya sesuai untuk permukaan seperti kaca, krom, keluli, plastik dan enamel. Di samping itu, oleh kerana ia merupakan bahan yang wujud secara semulajadi, ia selamat digunakan di rumah yang ada kanak-kanak dan haiwan peliharaan.

Ada yang berpendapat penggunaan soda penaik sahaja tidak mencukupi kerana terlalu lembut untuk sesetengah kesan kotor. Untuk tujuan ini, anda boleh gunakan jenama seperti Meliora Cleaning Products, khususnya Meliora Cleaning Products Gentle Home Cleaning Scrub. Ia mengandungi haruman tea tree dan pudina yang menyegarkan di samping memberi kekuatan tambahan kepada kerja pencucian anda.


2. Sabun castile tulen

Satu lagi bahan yang kerap dijumpai dalam senarai petua pencuci mesra alam ialah sabun castile tulen. Bagi yang gemar membuat sabun sendiri mungkin mengenalinya sebagai bahan asas membuat sabun. Sabun castile tulen merupakan sejenis sabun berasaskan sayuran yang semulajadi, tidak bertoksin dan terbiodegradasikan. Antara bahan tumbuhan yang digunakan untuk membuat sabun castile tulen ialah kelapa, biji jarak, avokado, kacang walnut dan minyak badam. Sabun castile tulen boleh digunakan untuk pencuci serba guna. Ia boleh membersihkan pinggan mangkuk, tingkap, pakaian dan banyak lagi.

Dr. Bronner’s, satu jenama popular produk pencuci mesra alam, menawarkan pelbagai pilihan haruman Pure Castile Soap. Semuanya dihasilkan daripada bahan organik dan diiktiraf perdagangan wajar (fair trade) serta dibungkus di dalam botol yang 100% boleh dikitar semula.


3. Asid sitrik

Asid sitric atau kulit limau kerap digunakan dalam pencucian mesra alam kerana keberkesanannya menghapuskan minyak. Ia juga pelarut semulajadi. Selain daripada menghapuskan minyak, asid sitrik juga membunuh bakteria dan kulapuk.

Bagi yang tinggal di kawasan yang sumber airnya ialah air liat, asid sitrik berkesan menghapuskan kesan air liat, limescale dan karat. Di samping itu, asid sitrik juga bertindak sebagai bahan awet dalam kebanyakan produk pencuci.

Satu jenama tempatan Malaysia, Ecominim, menghasilkan beberapa produk pencuci mesra alam termasuk Concentrated Powder Detergent dengan haruman pudina. Sabun yang kurang berbuih ini amat pekat, jadi satu penceduk kecil sudah memadai untuk satu cucian.


4. Cuka

Baunya mungkin agak meloyakan, tetapi cuka sebenarnya merupakan satu lagi agen pencuci mesra alam yang amat berguna. Sebenarnya sifatnya yang meloyakan dan masam itulah yang menjadikannya agen pencuci yang berkesan. Terdapat beberapa jenis cuka tetapi cuka putih dikatakan paling mujarab dalam membasmi kekotoran. Jika terlalu kuat untuk sesetengah kerja pencucian, anda hanya perlu cairkannya di dalam air sebelum digunakan.

Dengan sifatnya yang berasid, cuka amat berkesan mengurangkan longgokan seperti lapisan kotor sabun, kesan air liat dan kesan perekat. Apabila dicairkan di dalam air, ia menjadi larutan yang baik untuk membersihkan dan mengilatkan tingkap, cermin dan panel kayu.

White House Foods Cleaning Vinegar merupakan pilihan baik bagi anda yang mencari pencuci lantai yang mesra alam. Bau haruman lavendernya menjadikannya sesuai untuk semua, terutama sekali bagi mereka yang kurang menggemari bau masam cuka.


5. Span Luffa

 


 

Berapa kerapkah anda menukar span yang digunakan untuk membasuh pinggan mangkuk dan bilik mandi? Sudah tentu kerap, bukan? Span buatan manusia cepat terurai dan tidak dibuat daripada bahan yang mesra alam. Sebagai alternatif, anda boleh beralih kepada span petola (loofah) semulajadi.

Mungkin anda biasa melihat petola yang digunakan untuk mandi, tetapi tahukah anda ia juga boleh digunakan untuk membasuh pinggan mangkuk dan bilik mandi? Petola 100% semulajadi, jadi selepas digunakan, hanya tanam di dalam tanah dan ia akan terurai secara semulajadi dalam tempoh beberapa bulan.

  

https://www.iproperty.com.my/lifestyle/produk-pencuci-mesra-alam-untuk-rumah-anda-ms/

 

..

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.