Kenyataan Akhbar KPK 17 Disember 2019 – Penguatkuasaan oleh KKM secara Intensif dan Berterusan ke atas Premis Farmasi, Premis Klinik Perubatan Swasta dan lain-lain Premis di seluruh Negara
Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan-laporan media mutakhir ini
berkaitan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan ke atas premis farmasi,
premis klinik perubatan swasta dan lain-lain premis di seluruh negara.
Tindakan penguatkuasaan yang dilakukan oleh KKM melalui Bahagian
Penguatkuasaan Farmasi (BPF) adalah bagi kes-kes yang disyaki melanggar
peruntukan undang-undang di bawah Akta Racun 1952, Peraturan-peraturan Racun
(Bahan-bahan Psikotropik) 1989, Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Ubat
(Iklan dan Penjualan) 1956.
Sepanjang
tempoh 2018 hingga 2019, sejumlah 3,162 bilangan aduan telah diambil
tindakan oleh KKM melalui BPF yang melibatkan aduan produk, pelanggaran amalan
profesional dan lain-lain.
Sebanyak
4,169
serbuan
turut dijalankan ke atas premis farmasi berlesen, klinik perubatan swasta dan
lain-lain premis yang melanggar peruntukan undang-undang dalam tahun 2017
hingga 2019 (Jadual 1). Serbuan ini melibatkan anggaran keseluruhan nilai
rampasan mencecah RM 142 juta (Jadual 2).
KKM
juga menjalankan tindakan pemantauan ke atas premis farmasi berlesen, klinik
swasta dan lain-lain premis melalui aktiviti pemeriksaan yang dilakukan.
Dari tahun 2017 hingga 2019, sejumlah 37,418 bilangan pemeriksaan dilakukan ke atas
premis farmasi berlesen, premis klinik dan lain-lain premis (Jadual 3).
Operasi
khas ke atas bahan-bahan terkawal bahan psikotropik turut dilakukan bagi
mengelakkan ia dipesong untuk tujuan yang tidak sah. Dalam tempoh tersebut juga
sebanyak 675
operasi khas dilakukan
ke atas klinik perubatan swasta dan premis farmasi.
KKM
juga menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap laman sesawang dan media
sosial yang mengiklankan dan menjual produk-produk kesihatan dilarang secara
dalam talian di mana sejumlah 3,737 tindakan sekatan telah diambil dalam tempoh 3 tahun
tersebut.
Aktiviti
pemantauan iklan-iklan perubatan di semua media cetak, media elektronik dan
internet turut dipertingkat bagi memastikan pengguna tidak terpengaruh dengan
tuntutan-tuntutan yang tidak munasabah dibuat ke atas iklan tersebut.
Notifikasi iklan dihantar kepada pengendali platform e–dagang. Lanjutan
daripada notifikasi itu, 8,562 bilangan iklan oleh pengendali
platform e-dagang telah diturunkan.
BPF
juga mengambil tindakan pendakwaan ke atas kes-kes yang disiasat dan mempunyai
bukti yang kukuh. Dari tahun 2017 hingga 2019 juga sebanyak 4,157 kes pendakwaan telah dijalankan
untuk pelbagai jenis kesalahan (Jadual 4).
KKM
sentiasa komited, proaktif dan telus dalam mengambil
tindakan berlandaskan peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa.
Tindakan yang diambil juga adalah menyeluruh ke atas pelbagai jenis
kesalahan
yang melibatkan pelbagai
jenis premis.
KKM juga sentiasa memastikan dan mendahulukan kesejahteraan rakyat dalam segala
tindakan yang diambil.
Pihak
KKM mengalu-alukan sebarang aduan daripada orang awam bagi membanteras
penjualan ubat-ubat terkawal tanpa preskripsi, pelanggaran melibatkan penjualan
dan pembekalan bahan-bahan psikotropik dan aktiviti pengiklanan yang melanggar
peruntukan undang-undang sedia ada. Aduan boleh disalurkan melalui laman
sesawang http://www.pharmacy.gov.my
ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my ATAU mana-mana
Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian
03-78413200.
DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
17 DISEMBER 2019
..
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.