Keresahan
alam Cameron Highlands
06 Oktober 2017 4:00
PM
Cameron Highlands yang berbukit di Banjaran
Titiwangsa seluas 71,218 hektar (ha) digunakan untuk ladang teh sejak zaman
British dan tanaman sayur-sayuran secara kecil-kecilan sebelum tahun 1970-an.
Sekarang Cameron Highlands sudah menjadi sebagai pusat pelancongan dan
penanaman sayur-sayuran tanah tinggi yang popular di negara ini.
Berdasarkan laporan Journal of Sustainable
Agriculture 2010, aktiviti pembalakan dan pembersihan hutan untuk tanaman sayur
menjadi aktif pada tahun 1980-an dan mula menghadapi masalah kesuburan tanah
dan pemuliharaan sumber air.
Tekanan ke atas kesuburan tanah, sumber air
dan perosak tanaman menjadi penting apabila hutan di tebang dan permintaan
sayur-sayuran negara melebihi 60 peratus adalah dari Cameron Highlands. Maka
racun perosak dan baja banyak digunakan, penerokaan kawasan cerun meningkat dan
akhirnya memberikan kesan kepada alam sekitar dan manusia.
Hampir setiap tahun isu banjir lumpur di
Cameron Highlands dilaporkan dalam media tempatan iaitu banjir lumpur, tanah
runtuh dan hakisan tanah teruk berlaku yang melibatkan kematian, pencemaran
kuman pembawa penyakit dan bahan kimia berbahaya.
Kejadian ini telah mendapat perhatian serius
semua pihak daripada pihak istana, ahli politik, pegawai kerajaan terlibat,
badan bukan kerajaan dan orang awam.
Lanjutan daripada kejadian ini satu
jawatankuasa telah diaktifkan. Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Tindakan
Pemulihan Cameron Highlands yang diperngerusikan sendiri oleh Timbalan Perdana
Menteri dan dianggotai kementerian serta jabatan berkaitan. Jawatankuasa telah
mengambil beberapa langkah proaktif bagi menangani isu bencana alam yang
berulang, di samping mengambil kira kepentingan pengusaha kebun sayur tanah
tinggi dan penduduk Cameron Highlands.
Kerjasama pintar antara semua pihak pada
peringkat kerajaan persekutuan dan negeri sangat diperlukan bagi memantau dan
mengambil tindakan sewajarnya.
Dalam hal pemantauan dan tindakan perkara
asas tentang alam semula jadi tanah tinggi dan aktiviti yang dijalankan
mestilah difahami dengan jelas.
Walaupun banyak perbincangan umum dan secara
saintifik telah dijalankan, namun siri bencana terus berlaku. Adalah sangat
diharapkan keputusan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Tindakan Pemulihan
Cameron Highlands diberikan perhatian, dilaksanakan, dipantau dan dipatuhi
semua pihak terlibat.
Antara perkara penting yang menyebabkan
kejadian banjir lumpur ialah apabila kawasan tanah terdedah, curahan air hujan
yang banyak, aliran air permukaan dan hakisan tanah permukaan.
Aktiviti pertanian tanah tinggi di Cameron
Highlands memberikan pededahan kawasan tanah kepada hujan dan keadaan tanah
cerun, 20-60 darjah, yang terdedah menambahkan lagi peluang untuk berlakunya
hakisan permukaan. Struktur yang dibina seperti bumbung plastik untuk aktiviti
pertanian membantu mengumpul air hujan dan menyebabkan kelimpahan air permukaan
yang berlebihan.
Keadaan permukaan tanah yang tiada tumbuhan
menggalakkan hakisan dan menyebabkan banjir lumpur. Kejadian pencerobohan haram
menggalakkan lagi hakisan dan banjir yang luar biasa dan memusnahkan alam
sekitar di luar kawalan.
Kajian dari segi kemampuan kawasan menampung
kelimpahan air permukaan, laluan air menuruni cerun dan pengurusan tebing
sungai atau parit perlu dilakukan dan dipantau. Dari segi geologi, kawasan
Cameron Highlands mempunyai tanah luluhawa granit yang sangat sensitif terhadap
pembangunan dan penerokaan hutan. Apabila diganggu kawasan akan terdedah kepada
risiko yang tinggi dari segi hakisan permukaan dan tebing sungai.
Lambakan kelodak boleh menyempitkan saliran
dan sungai menjadi cetek, tambahan lagi struktur yang dibina tidak mengambil
kira zon penampan sungai turut menambah masalah bencana.
Satu reka bentuk landskap kawasan pertanian
tanah tinggi kawasan tropika yang lembab mestilah diadakan lengkap dengan
maklumat dan peraturan yang jelas bagi pengurusan air di Cameron Highlands.
Penggunaan racun serangga sangat penting bagi
menjamin hasil sayuran dan semestinya mendapat perhatian ramai dari segi pencemaran
bahan kimia dalam sayuran dan alam sekitar.
Racun perosak mungkin diserap dan mengumpul
di dalam sayuran, meruap ke atmosfera, dibawa oleh air permukaan, dimakan
serangga, cacing dan mikroorganisma.
Racun perosak juga melekat pada partikel
tanah atau larut dalam air. Empat faktor utama berkaitan racun perosak dalam
alam sekitar yang perlu dilihat iaitu jenis racun perosak, jenis tanah sama ada
berpasir, tanah liat atau sebagainya, keadaan tempat seperti hujan dan
kedalaman air bawah tanah dan amalan penggunaan racun perosak seperti kaedah
dan kadar penggunaan serta sistem saliran.
Kajian pencemaran racun perosak di
sungai-sungai Cameron Highlands menunjukkan adanya unsur-unsur penggunaan racun
perosak yang tidak dibenarkan seperti endosulfan, aldrin and DDE
(Dichlorodiphenyl dichloroethylene) iaitu terbitan daripada DDT (Dichloro
diphenyltrichloroethane) yang berbahaya. Semua bahan kimia berkenaan adalah
racun perosak yang telah diharamkan di seluruh dunia dan di Malaysia sejak 2005
bawah akta racun perosak 1974.
Bahan-bahan tersebut boleh mengganggu sistem
endokrina manusia dan ada yang larut dalam lemak dan mengumpul di dalam susu
ibu. Pencemaran susu ibu boleh memberikan kesan kepada kesihatan kanak-kanak.
Penemuan pencemaran bahan kimia berbahaya ini sudah tentu menakutkan semua
pihak sekiranya ia mencemari air minuman. Aldrin misalnya dilaporkan terdapat
dalam air paip pada kepekatan 0.071mg/L. iaitu di atas paras normal
antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) , 0.03 mg/L.
Bahan pencemar ancam
sungai
Berdasarkan laporan media, Jabatan Alam
sekitar (JAS) dan Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) melaporkan hanya 10
peratus sungai di Cameron Highlands masih berada dalam kelas I dan II iaitu
sungai yang masih mempunyai air bersih dan boleh digunakan. Yang lainnya adalah
dalam kelas III dan Kelas IV.
Sungai Tringkap, Sungai Icat yang terletak
berhampiran Kampung Kuala Terla and Sungai Terla telah dilaporkan mati dari
segi biologinya dan dikelaskan dalam kelas V.
Penggunaan baja dan racun juga menyumbang
kepada pencemaran logam berat. Kajian menunjukkan kepekatan zink (Zn) dan
kuprum (Cu) dalam tanah masing-masing 219.8 miligram (mg)/kg dan 65 mg/kg.
Nilai ini dianggarkan melebihi dari paras
normal. Kajian yang dilaporkan oleh Malaysian Journal of Analytical Sciences,
pada tahun lalu menunjukkan pencemaran sayur bayam, brokoli kubis bunga, kubis,
saderi, salad, sawi tidak mempunyai risiko terhadap kesihatan manusia.
Selain pencemaran kelodak, bahan kimia, sisa
pepejal juga menjadi masalah utama pencemaran sungai yang boleh menyumbang
kepada limpahan air sungai. Cameron Highlands menguruskan lebih 40 tan sisa
pepejal sehari.
Sudah tentu ada lagi sisa pepejal terutama
plastik yang tidak dapat diuruskan dengan baik memandangkan keadaan muka bumi,
taburan penduduk, aktiviti manusia dan sikap penduduk serta pengunjung di
Cameron Highlands.
Kejadian banjir lumpur pada Ogos 2013 dan
November 2014 telah memberikan kesan kepada penduduk dan alam sekitar di
kawasan tersebut. Banjir lumpur dikatakan berkait rapat dengan aktiviti manusia
yang dibincangkan di atas. Kehadiran badan bukan kerajaan turut sama mendidik
masyarakat dan pihak berkuasa tempatan boleh membantu pihak berkaitan seperti
Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Tindakan Pemulihan Cameron Highlands dalam
menangani isu bencana berulang ini.
Maklumat sedia ada seperti data hujan,
bilangan cerun kritikal, keadaan sungai yang menerima limpahan air membolehkan
semua pihak bersedia menghadapi bencana tahunan ini. Memandangkan Cameron
Highlands merupakan penyumbang besar kepada ekonomi negara dari segi
pelancongan dan bekalan sayur- sayuran mungkin satu pusat penyelidikan tanah
tinggi yang lengkap perlu diadakan.
.
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.