Total Pageviews

Tuesday, 3 September 2019

Residu Racun Perosak pada cili



Kenyataan Akhbar KPK 22 Disember 2018 – Isu Cili yang Diimport dari Negara Vietnam yang Didakwa Dikesan Mengandungi Residu Racun Perosak



Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan bertajuk “Import Secara Haram” yang disiarkan pada 21 Disember 2018 dalam akhbar Utusan Malaysia. Laporan tersebut menyatakan cili merah import dari Vietnam masih terdapat di pasaran tempatan walaupun kerajaan telah menggantung import permit (IP) hasil pertanian tersebut sejak 14 September 2018 yang lalu.


KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan pemantauan terhadap cili import di pintu masuk negara dan pasaran tempatan. Hasil pemantauan KKM dari Januari 2018 sehingga kini, sebanyak 503 sampel cili termasuk cili dari Vietnam telah dianalisis dan didapati sebanyak 21 sampel cili (4.2%) tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 berkaitan residu racun perosak dan tindakan penguatkuasaan telah pun dijalankan.

KKM akan meneruskan pemantauan ke atas sayur-sayuran termasuk cili di pintu masuk negara dan di pasaran tempatan bagi memastikan pematuhan ke atas Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Semua makanan yang diimport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Adalah menjadi tanggungjawab pihak terlibat seperti pengimport, agen, penjual dan sebagainya untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan. Kegagalan mematuhi peraturan tersebut adalah satu kesalahan dan jika disabit kesalahan, boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga (3) tahun atau denda atau kedua-duanya.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

22 DISEMBER 2018




.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.