Kurangkan
risiko barah prostat
Beberapa kajian mendapati berat badan berlebihan atau
obesiti, meningkatkan risiko kanser prostat terutama jenis agresif. Bagi setiap
peningkatan berat badan lima kilogram berbanding ketinggian, risiko kanser
didapati meningkat lima peratus.
Malah risiko kanser prostat boleh melonjak sehingga 30
peratus sekiranya seseorang itu bukan saja memiliki berat badan berlebihan
tetapi turut mengalami penyakit sindrom metabolik seperti kencing manis dan
darah tinggi.
Diet dengan kandungan tinggi lemak meningkatkan risiko
kanser prostat, kemungkinan kerana ia memberi impak kepada hormon testosteron
yang bertanggungjawab mengawal tumbesaran dan fungsi prostat.
Kajian di Malaysia turut mendapati masyarakat Cina
merekodkan bilangan paling ramai menghidap kanser prostat berbanding kaum lain
dan ini membuka laluan kepada kajian lain bagi mengenal pasti genetik yang
meningkatkan risiko penyakit itu.
Kanser berkenaan bermula di bahagian prostat iaitu
kelenjar berbentuk walnut kecil dengan fungsi merembeskan cecair seminal yang
bertindak memberi zat dan mengangkut sperma.
Ia adalah kanser paling biasa menyerang lelaki dan
biasanya berkembang secara perlahan-lahan dan kekal di bahagian dalam kelenjar
prostat serta tidak menyebabkan ancaman besar.
Bagaimanapun, terdapat kanser prostat jenis agresif
yang boleh merebak dengan pantas. Kanser prostat yang dikesan pada peringkat
awal dan masih berada di bahagian kelenjar prostat, mempunyai peluang lebih
cerah untuk dirawat.
Pakar Perunding Urologi Hospital Beacon Dr Christopher
Ho berkata, kebanyakan kanser prostat tidak agresif dan tumbuh atau merebak
secara lambat.
Katanya, kira-kira 90 peratus kanser prostat adalah
jenis kanser yang berasal daripada kelenjar dalam prostat.
“Jenis kanser ini dinamakan adenocarcinoma. Namun
antara 10 hingga 15 peratus kanser prostat adalah jenis agresif. Kanser ini
biasanya mempunyai gred tinggi dan bukan jenis adenocarcinoma.
“Contohnya, kanser yang berasal daripada sel
neuroendocrine, dinamakan ‘small cell’, adalah agresif. Kanser prostat ‘small
cell’ biasanya akan merebak keluar dari prostat ke tulang, paru-paru atau
kelenjar limfa dengan cepat. Kanser prostat juga diberi gred berdasarkan ciri
sel yang boleh dilihat dengan mikroskop,” katanya.
Menurut Dr Ho, jika bentuk sel kanser jauh berbeza
daripada sel biasa, ia diklasifikasi gred tinggi dan bersifat agresif.
Katanya, bagi kanser yang disifatkan sebagai agresif,
tumbesarannya sangat pantas dan merebak dengan cepat ke bahagian tubuh lain.
“Oleh itu, prognosis atau kadar penyembuhan adalah
lebih rendah berbanding kanser biasa. Makanan yang boleh meningkatkan risiko
kanser prostat ialah produk tenusu seperti keju, susu, yogurt dan makanan yang
diproses serta daging merah termasuk sosej, burger, bakon dan ham,” katanya
yang pernah memenangi anugerah Man of the Year in Medicine and Healthcare dari
Institut Biografikal Amerika.
Selain itu katanya, faktor lain yang meningkatkan
risiko kanser prostat ialah umur yang lanjut iaitu lebih 50 tahun, ada ahli
keluarga yang menghidap kanser sama dan bagi lelaki negara Barat, mereka yang
berasal daripada keturunan kulit hitam.
Katanya, jika seseorang lelaki itu mempunyai abang,
adik, ayah atau anak yang menghidap kanser prostat, risiko kanser pada dirinya
adalah dua ke tiga kali lebih tinggi berbanding orang biasa. Mutasi gen
tertentu seperti BRCA 1 dan BRCA2 juga faktor risiko.
Ubah cara hidup
“Cara untuk mengurangkan risiko kanser prostat adalah
melalui cara hidup sihat. Pertama, diet dengan mengurangkan makanan yang
mengandungi lemak tinggi terutama lemak haiwan.
“Sebaliknya, makanan yang berserat tinggi seperti
sayur, buah-buahan dan kekacang perlu dipertingkatkan. Aktiviti fizikal seperti
bersenam juga dapat mengurangkan risiko kanser prostat sebanyak 19 peratus,”
katanya.
Dr Ho berkata, rawatan kanser prostat bergantung
kepada tahap atau peringkat kanser itu. Secara amnya ia boleh dibahagikan
kepada kanser yang sudah merebak (metastasis) atau belum merebak (setempat) ke
tempat lain.
Menurutnya, jika kanser prostat belum merebak, rawatan
yang boleh diberi termasuk pembedahan, radioterapi ataupun tidak memerlukan
rawatan langsung. Pada masa sama, kanser yang bergred rendah, tumbesaran dan
risiko ia merebak sangat rendah.
“Oleh itu, rawatan mungkin boleh ditunda untuk
mengelakkan kesan sampingan rawatan. Kanser ini boleh dipantau dengan ujian
darah ‘antigen spesifik prostat’ (PSA) dan pemeriksaan fizikal prostat.
“Jika ada perubahan mendadak, rawatan pembedahan atau
radioterapi diperlukan. Selain itu, usia pesakit yang sudah lanjut lebih 70
atau 80 tahun, rawatan agresif bagi kanser prostat jenis gred dan risiko rendah
tidak diperlukan kerana kajian menunjukkan rawatan agresif hanya berbaloi untuk
mereka yang mempunyai jangka hayat melebihi 10 tahun,” katanya.
Dr Ho berkata, pembedahan untuk kanser prostat
membabitkan pembuangan prostat secara keseluruhan. Ia boleh dilakukan sama ada
secara robot, laparoskopi atau pembedahan biasa.
Katanya, rawatan secara radioterapi pula membabitkan
memberi fokus kepada sinaran-x kuasa tinggi untuk cuba membunuh sel
kanser.Terdapat pelbagai cara untuk memberi radioterapi. Cara lama adalah
dengan menganggarkan secara kasar lokasi prostat dan fokus kepada sinaran
radioterapi ke arah kawasan itu.
Kesan sampingan cara itu lebih tinggi kerana organ dan
kawasan lain seperti pundi kencing dan usus mungkin terkena kesan sinaran
radioterapi.
“Cara terbaru seperti 3D conformal, intensity
modulated (IMRT) dan image guided (IGRT) dapat mengesan dengan lebih tepat
kawasan prostat untuk sinaran.
“Cyberknife ialah rawatan radioterapi yang canggih.
Penanda kecil akan dimasukkan ke dalam prostat dan ini membantu doktor dengan
bantuan imbasan CT untuk fokus secara terperinci kawasan lokasi prostat.
“Ini membolehkan sinaran kuasa sangat tinggi
diberikan. Jika radioterapi biasa memerlukan rawatan lima hari seminggu selama
dua bulan, Cyberknife hanya memerlukan lima hari rawatan kerana sinarannya
lebih tepat dengan kesan sampingan juga sangat rendah berbanding radioterapi
biasa,” katanya.
Bagaimanapun, kata Dr Ho, jika kanser sudah merebak,
kanser tidak boleh disembuhkan dan rawatan yang diberi adalah untuk mengawal
kanser dan cuba memanjangkan jangka hayat pesakit. Rawatan itu termasuk hormon
dan kemoterapi.
Menurutnya, jika kanser prostat tidak merebak dan
rawatan yang berpatutan diterima, prognosis adalah baik dengan lebih 90 peratus
akan hidup lebih 10 tahun.
Sebaliknya, jika kanser sudah merebak, jangka hayat
lima tahun turun kepada 28 peratus saja. Oleh itu, dia menyarankan orang ramai
untuk membuat pemeriksaan supaya kanser dapat dikesan pada peringkat awal dan
mendapatkan rawatan yang sepatutnya secepat mungkin.
“Kepada lelaki yang mempunyai risiko tinggi kanser
prostat atau risau mungkin menghidap kanser prostat, disarankan untuk berjumpa
dengan doktor bagi menjalani pemeriksaan lanjut.
“Doktor akan membuat pemeriksaan fizikal terhadap
prostat. Jika terdapat kelainan yang boleh dirasai seperti ketulan, permukaan
tidak rata atau prostat sangat keras, biopsi diperlukan.
“Darah PSA juga akan diambil dan jika paras tinggi,
biopsi diperlukan untuk mengesan kanser. Jangan berlengah, jumpa doktor untuk mendapatkan
kepastian. Kanser peringkat awal boleh sembuh jika rawatan awal diberikan,”
katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 11:29 AM
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.