Kenyataan Akhbar KPK 15 Disember 2019 – Situasi Terkini Wabak Polio Di Sabah
Pada 8 Disember 2019, Kementerian Kesihatan Malaysia
(KKM) telah memaklumkan kejadian satu kes yang disahkan dijangkiti virus polio
di Sabah. Kes melibatkan seorang bayi lelaki warganegara Malaysia berumur tiga
bulan dari Tuaran, Sabah. Bayi tersebut masih dirawat di Bilik Isolasi hospital
dan berada dalam keadaan stabil serta masih diberi bantuan pernafasan.
Sejak kes polio tersebut dikesan, sehingga kini, tiada
kes baru polio dilaporkan. Sehingga 14 Disember 2019, langkah-langkah
pencegahan dan kawalan yang telah dilakukan dan sedang diteruskan adalah
seperti berikut:
1. Aktiviti pengesanan kes-kes Acute
Flaccid Paralysis (AFP) yang menunjukkan gejala seakan-akan poliomyelitis
(iaitu proksi kepada penyakit poliomyelitis) di kawasan sekitar tempat tinggal
kes sedang diperluaskan ke kawasan berhampiran dan kawasan berisiko. Seramai
1,553 orang telah diperiksa, dan tiada yang bergejala AFP dikesan;
2. Pengambilan sampel najis daripada 20
orang kontak rapat bayi tersebut telah dijalankan untuk ujian makmal dan sedang
menunggu keputusan;
3. Enam (6) sampel persekitaran dari
kawasan terlibat dan kawasan berisiko telah diambil bagi pengesanan kehadiran
virus polio dan sedang menunggu keputusan makmal;
4. Pemantauan kehadiran virus polio
dalam persekitaran melalui persampelan air kumbahan juga diteruskan di enam (6)
loji rawatan air kumbahan terpilih di Sabah. Sehingga kini, tiada virus polio
liar (wild) atau vaccine-derived poliovirus (VDPV) dikesan dalam
sampel persekitaran;
5. Aktiviti pemberian imunisasi untuk
kanak-kanak yang tercicir imunisasi di kawasan tempat tinggal kes dan kawasan
berhampiran dilaksanakan bagi memastikan liputan imunisasi polio ditingkatkan.
Sehingga 14 Disember 2019, seramai 59 orang kanak-kanak berumur 2 bulan hingga
15 tahun di kawasan tersebut yang tercicir imunisasi telah diberikan vaksin
polio. Kesemua mereka ini merupakan kanak-kanak bukan warganegara;
6. Bagi memastikan penularan virus
polio dapat dihentikan, aktiviti imunisasi tambahan akan diberikan kepada semua
kanak-kanak berumur bawah lima tahun di Sabah secara berperingkat. Perancangan
rapi sedang dibuat dan pemberian imunisasi tambahan ini akan dijalankan secepat
mungkin;
7. Pendidikan kesihatan mengenai
penyakit polio dan langkah-langkah pencegahan sedang giat dijalankan di kawasan
terlibat dan kepada umum melalui pelbagai pendekatan seperti melalui media
sosial, pendidikan individu, edaran bahan pendidikan kesihatan, ceramah dan
lain-lain; dan
8. Semua fasiliti kesihatan telah
diarahkan untuk memastikan semua kes AFP dipantau dan dijalankan ujian pengesanan
virus polio.
KKM
juga terus berhubung dengan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi
mendapatkan maklumat terkini situasi polio secara global. Satu kerjasama
bersama pihak Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United
Nations Children’s Fund, UNICEF) sedang diperhalusi bagi mendapatkan bekalan
vaksin pada kos yang rendah (disubsidi oleh UNICEF) untuk program imunisasi
kanak-kanak bukan warganegara di Sabah. Pemberian vaksinasi tersebut akan
dilaksanakan melalui kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan
(NGOs) yang terpilih. Selain itu, KKM juga akan memantapkan kerjasama dua hala
dengan kerajaan Filipina termasuk program imunisasi bagi kanak-kanak
warganegara negara tersebut yang berada di Sabah.
KKM
ingin menekankan bahawa cara terbaik untuk mencegah penyakit polio adalah
melalui imunisasi. Penyakit berjangkit seperti polio tidak mengenali sempadan.
Ibu bapa diseru untuk memastikan anak-anak yang telah tercicir imunisasi dibawa
ke Klinik Kesihatan yang berhampiran. Penjadualan semula imunisasi bagi
kanak-kanak cicir imunisasi akan dibuat mengikut kesesuaian.
Sekian,
terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
15 Disember 2019
..
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.