Total Pageviews

Sunday 2 June 2019

air botol dikesan ada bakteria






Lagi air botol pengilang Malaysia dikesan mengandungi bakteria





SINGAPURA: Satu lagi kiriman air minuman botol ke sini dari sebuah syarikat pengeluar Malaysia dikesan mengandungi Pseudomonas aeruginosa iaitu bakteria alam sekitar yang biasa.



Dalam pekeliling yang dialamatkan kepada pengimport air botol, Singapore Food Agency (SFA) memaklumkan bahawa melalui pengawasan baru-baru ini, penghantaran air minuman botol dari Malee Mineral Water Sdn Bhd dikesan mengandungi bakteria itu.



Ekoran pengesanan itu , SFA menyatakan bahawa pengimportan semua botol minuman dan air mineral dari pengilang terbabit tidak dibenarkan dengan serta-merta.



Terdahulu pada 12 Jun, SFA memberitahu bahawa ia mengesan bakteria yang serupa dalam air minuman botol “Starfresh” ketika persampelan rutin produk berkenaan.



Produk itu diimport dari Malaysia oleh Radha Exports Pte Ltd.



Menurut SFA, Pseudomonas aeruginosa boleh didapati dalam najis, tanah, air dan kumbahan dan ia boleh membiak dalam persekitaran air dan juga permukaan bahan organik yang bersesuaian dengan air.



Penggunaan atau pengambilan produk yang tercemar dengan Pseudomonas aeruginosa boleh menyebabkan pelbagai jangkitan tetapi jarang menyebabkan penyakit serius pada individu yang sihat, menurut SFA. – BERNAMA











Minuman tercemar bukan untuk pasaran tempatan

 https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/06/574438/minuman-tercemar-bukan-untuk-pasaran-tempatan


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesahkan produk air minuman jenama Starfresh yang ditarik dari pasaran oleh Agensi Makanan Singapura (SFA) kerana didakwa tercemar dengan bakteria hanya dijual di negara berkenaan, bukan untuk pasaran Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kementerian itu menjalankan siasatan lanjut berhubung punca pencemaran seperti yang dilaporkan sebelum mengambil tindakan lanjut.

Katanya, kementerian mengambil maklum mengenai isu penarikan balik produk Starfresh keluaran Malaysia daripada pasaran Singapura sebagaimana yang dilaporkan SFA bertarikh 12 Jun 2019.

“Laporan itu menyatakan pihak SFA mengarahkan produk itu ditarik balik kerana dikesan tercemar dengan bakteria Pseudomonas aeruginosa.

“Produk terbabit berisipadu 1500 ml dan 500 ml dengan tarikh akhir masing-masing pada 13 Mei 2021 dan 11 Mei 2021,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan semalam.

Bakteria Pseudomonas aeruginosa ialah sejenis bakteria yang ada di persekitaran dan boleh ditemui di dalam air, najis, sisa kumbahan dan tanah.

Bakteria itu boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan penyakit kepada manusia, khususnya kepada golongan yang mempunyai sistem ketahanan badan yang rendah.

Dr Noor Hisham berkata, produk makanan yang dicemari bakteria Pseudomonas aeruginosa jarang memberikan kesan kesihatan kepada individu yang sihat.

Katanya, hasil verifikasi oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan mendapati kilang yang menghasilkan produk itu melaksanakan program jaminan keselamatan makanan dan mematuhi keperluan pelesenan punca air minuman yang ditetapkan oleh kementerian.

“Kementerian ingin menegaskan produk untuk jualan perlu mematuhi Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983.

“Seksyen 13, Akta Makanan 1983 menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan, melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau menegaskan kementerian sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

“Kementerian Kesihatan juga sentiasa menjalankan pemantauan ke atas produk makanan di pasaran tempatan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.



.





.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.