Total Pageviews

Sunday, 2 June 2019

Masjid Cili



Masjid Cili





Masjid Jamek Pengkalan Hulu, Perak menanam 1,000 pokok cili di kawasan masjid itu bagi menjana pendapatan masjid dan jemaahnya.

HENDAK seribu daya, tak hendak seribu dalih. Peribahasa tersebut bermaksud tiada apa yang mustahil bagi orang yang mempunyai tekad atau semangat untuk berjaya.

Itulah yang boleh digambarkan kepada usaha ahli jawatankuasa Masjid Jamek Pengkalan Hulu, Perak yang mengorak langkah baharu dalam usaha menjana pendapatan kepada masjid.

Kawasan masjid yang siap dibina sepenuhnya pada tahun 2011 dengan keluasan kira-kira 1.5 hektar itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh ahli jawatankuasa apabila mereka sepakat untuk menanam kira-kira 1,000 pokok cili besar di sekeliling pagar masjid.

Setiausaha Masjid Jamek, Sirat Abdullah berkata, idea itu pada asalnya dicetuskan dalam mesyuarat jawatankuasa masjid hanya bertujuan menghijaukan lagi persekitaran rumah ibadah itu.

Bagaimanapun katanya, salah seorang ahli jawatankuasa mencadangkan agar idea tersebut dikembangkan lagi.

“Idea tersebut dipersetujui semua dan mulalah muncul cadangan agar ditanam sayur-sayuran yang boleh mendatangkan hasil sekali gus boleh menjana pendapatan untuk dimanfaatkan masjid dan jemaahnya.

“Kebetulan ketika itu, salah seorang jemaah masjid juga ada mengusahakan tanaman cili besar secara komersial di ladangnya dan dia menyatakan kesanggupan untuk membantu pihak masjid,” katanya.

Tambah Sirat yang juga bilal di masjid berkenaan, maka bermulalah kerjasama dengan syarikat tempatan, Siti Kraf Enterprise yang mempunyai pengalaman dalam penanaman dan penjualan cili besar sejak empat tahun lalu.

“Selepas kertas kerja dibentangkan dan persetujuan dengan syarikat tersebut dimeterai, pihak masjid mengeluarkan kira-kira RM5,000 untuk projek penanaman 1,000 pokok cili besar di dalam beg secara fertigasi.

“Projek yang bermula pada Mac lalu itu kini mula mengeluarkan hasil pertamanya. Sejak seminggu lalu kita telah menuai sebanyak 70 kilogram (kg) cili besar,” katanya.



Penjagaan

Menurut Sirat, penjagaan tanaman cili besar secara fertigasi tersebut tidaklah sukar memandangkan ia menggunakan sistem penyiraman automatik.

“Air yang disiram terus kepada pokok itu juga telah terdapat baja di dalamnya.

“Jadi, apa yang boleh mengganggu pengeluaran hasil cili besar ini ialah lalat buah dan serangga tersebut merupakan ancaman yang biasa dihadapi oleh para petani,” katanya.

Bagaimanapun katanya, perkara tersebut boleh diatasi melalui kaedah tertentu yang dilaksanakan oleh wakil daripada Siti Kraf Enterprise.

Menurut Pengurus Siti Kraf Enterprise, Salehudin Sabberan, dia akan meluangkan masa sekurang-kurang sejam setiap hari memantau perkembangan anak pokok cili tersebut selepas benih ditanam di dalam beg.

“Kita memulakan projek penanaman cili besar secara fertigasi ini dengan menyediakan bahan-bahan asas termasuk media tanaman, beg, paip, baja dan benih.

“Benih yang kita gunakan adalah yang terbaik kerana kita mahukan hasil yang terbaik,” katanya.

Katanya, pada bulan pertama sehingga bulan ketiga, pemantauan berterusan anak pokok akan dilakukan dengan teliti agar ia dapat tumbuh dan membesar dengan baik.

“Saya sendiri akan meluangkan masa sekurang-kurangnya sejam setiap hari untuk memantau perkembangan anak-anak pokok ini sehingga ia mengeluarkan hasil.

“Memasuki bulan keempat, pokok cili tersebut akan mula mengeluarkan hasilnya. Setiap pokok boleh mengeluarkan hasil lebih daripada 2kg cili besar dalam tempoh masa tiga bulan selepas pokok mengeluarkan hasil,” katanya.




Dipetik setiap dua hari

Tambahnya, selepas pokok-pokok cili mengeluarkan hasilnya, dia akan menyerahkan penjagaan dan penuaian hasil itu kepada pihak masjid.

“Selepas tamat tempoh enam bulan jangka hayat pokok cili tersebut, kita akan menggantikannya dengan anak pokok cili yang baharu.

“Ini kerana pokok cili yang telah melebihi tempoh enam bulan tidak akan mengeluarkan hasil yang banyak lagi dan ia perlu digantikan dengan anak pokok baharu,” katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya sebagai peladang selepas bersara, Salehudin yang kini menanam kira-kira 5,000 beg cili besar di ladang miliknya berkata, pihaknya sangat gembira apabila ahli jawatankuasa masjid berminat mengusahakan tanaman tersebut dalam skala yang besar di dalam kawasan masjid.

“Usaha ini sangat baik memandangkan cili besar mempunyai permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat sekali gus boleh mendatangkan hasil dalam jangka masa pendek.

“Saya berharap, usaha seperti ini dapat dilaksanakan masjid-masjid lain pada masa akan datang,” katanya.

Menyambung perbualannya, Sirat yang juga Penolong Kanan Pentadbiran di Sekolah Kebangsaan Kuak Luar, Pengkalan Hulu itu berkata, hasil yang dipetik setiap dua hari itu kini telah pun dijual dengan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran.

“Cili besar yang matang itu kita petik sendiri dan jualnya kepada jemaah masjid dengan harga yang murah berbanding harga pasaran sekarang iaitu kira-kira RM26 hingga RM30 sekilogram.

“Hasil yang dipetik juga dijual di pasaran tempatan oleh syarikat Siti Kraf Enterprise,” katanya.


Respons

Kata Sirat lagi, orang ramai yang berkunjung ke masjid tersebut meluahkan perasaan kagum dan teruja apabila pihak masjid mampu menguruskan tanaman fertigasi itu untuk menjana pendapatan.

“Kita banyak mendapat pujian daripada orang ramai terutamanya pengunjung dari luar daerah ini selepas pokok-pokok cili tersebut mengeluarkan hasilnya.

“Ramai yang bertanya mengenai kaedah penanaman dan penjagaan cili tersebut, selain mahu membelinya. Jadi, kita juga boleh berkongsi ilmu dengan mereka secara tidak langsung,” katanya.

Tambahnya, ada juga yang mencadangkan pihak masjid mempelbagaikan lagi tanaman yang boleh mendatangkan hasil selain cili besar.

“Kita terima cadangan mereka namun buat masa ini kita fokus kepada tanaman cili terlebih dahulu.

“Pada masa akan datang mungkin kita boleh tambah lagi tanaman-tanaman lain yang boleh dimanfaatkan kepada jemaah dan masjid sendiri,” katanya.










..

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.