Total Pageviews

Sunday, 2 June 2019

Yahudi, Nasrani sembunyi kenabian Rasulullah



Yahudi, Nasrani sembunyi kenabian Rasulullah


PENDETA Yahudi yang menganut Islam, Abdullah Ibn Salam berkata, "Aku lebih lama mengenali Baginda Nabi SAW daripada mengenali anakku sendiri. Lalu Umar bertanya kepadanya: Mengapa Abdullah menjawab: Aku tidak ragu Nabi Muhammad SAW seorang nabi, tetapi anakku, boleh menyebabkan ibunya menyeleweng." Secara spontan Umar menciumnya.
Demikianlah pengakuan seorang pendeta Yahudi yang mendapat hidayah Allah SWT dan pengakuan sama daripada Tamim Al-Darriy, bekas pendeta Kristian.
Sebenarnya orang Yahudi dan Nasrani mengenali Rasulullah SAW dan kebenaran dibawa Baginda seperti mana tertulis dalam kitab Taurat dan Injil. Mereka sengaja menyembunyikan kebenaran ayat yang menceritakan mengenai kemunculan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil maka sampaikanlah berita yang menggembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah Ali-Imran, ayat 21)

Perbuatan melampau
Abu Al-Abbas bin Al-Mubarrad berkata, ayat ini mengisahkan mengenai sekumpulan Bani Israel yang membunuh nabi mereka yang menyeru supaya beriman kepada Allah SWT. Begitu juga apabila datang sekumpulan orang beriman yang membela kebenaran, mereka turut dibunuh.
Ilmu yang diketahui perlu disebarkan kepada masyarakat umum apatah lagi ilmu berkaitan kebenaran, tidak boleh disembunyikan. Sikap Yahudi dan Nasrani menyembunyikan kebenaran berita kemunculan Nabi Muhammad SAW dan perkara lain yang mereka tahu kebenarannya adalah perbuatan melampaui batas.
Sebenarnya golongan Yahudi dan Nasrani mengenali Nabi Muhammad SAW sebelum kehadiran baginda lagi. Allah SWT telah mengkhabarkan berita kemunculan Nabi Muhammad SAW menerusi wahyu yang disampaikan kepada Nabi Musa dan Nabi Isa.


Nafikan kebenaran
Golongan itu sengaja menyembunyikan kebenaran dan akan menafikan kemunculan Nabi Muhammad SAW. Jika ditanya, mereka mengakui nabi disebutkan dalam kitab mereka, tetapi menyembunyikan hakikat kebenarannya malah orang Nasrani mengatakan nabi dijanjikan adalah Isa al-Masih bukan Nabi Muhammad SAW.
Mereka turut membunuh golongan yang membimbing manusia ke arah kebaikan dan berlaku adil seperti diajarkan nabi. Orang yang berusaha melaksanakan petunjuk nabi berada di bawah pengaruh nabi dan mereka turut dibenci golongan Yahudi serta Nasrani.
Kedua-dua golongan itu juga melancarkan serangan terhadap Nabi Muhammad SAW dan keinginan membunuh Baginda turut dirasakan kaum musyrik Arab. Perbincangan membunuh Baginda dilakukan golongan Yahudi yang hidup ketika ayat ini diturunkan.
Berpaling kepada kebenaran dalam hakikat kehidupan hari ini mungkin berbeza dengan keadaan berlaku pada zaman nabi tetapi memang ada dalam kalangan umat Islam yang sudah mengetahui kebenaran dan tetap ingin menyembunyikannya.
Mereka sedar terhadap tuntutan agama dan hukum ditetapkan syarak namun disebabkan enggan melaksanakan tanggungjawab sebagai umat Islam atas sebab tertentu, mereka cuba menafikan kebenaran yang diketahui.

Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources


..

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.