Saintis Palestin dibunuh
BANGI, 5 Syaaban 1439H, Sabtu –
Ejen perisikan rejim pengganas Israel, Mossad, dipercayai menggerakkan operasi
melakukan pembunuhan ke atas seorang saintis Palestin, Dr Fadi al-Batsh di
Kuala Lumpur, hari ini, lapor media Palestin.
Sebelum ini, Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menuduh
Mossad terbabit dalam pembunuhan beberapa pejuang Palestin dan ahli sainsnya.
Mossad juga dituduh terbabit dalam pembunuhan pakar dron rakyat
Palestin, Mohamed Zouri, di Tunisia pada 2016, serta pegawai kanan Hamas,
Mahmud al-Mabhuh di sebuah hotel di Dubai pada 2010.
Ramai pihak di Malaysia turut mendakwa ejen Mossad sudah masuk ke
Malaysia dan menggesa pihak berkuasa lebih prihatin mengenainya.
Sebelum ini, Malaysia membenarkan beberapa diplomat rejim
pengganas itu yang diketuai Timbalan Duta negara itu ke Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), David Roet, memasuki Malaysia selama seminggu,
bagi menghadiri persidangan World Urban Forum Ke-9 (WUF9) anjuran PBB, di mana
Malaysia menjadi tuan rumah, bermula 7 Februari lalu.
Rangkaian televisyen Palestin, Al Mayadeen, melaporkan seorang
pemimpin kanan kumpulan pejuang jihad, Khaled al-Batsh berkata, sebagai anggota
keluarganya mereka menuduh Mossad berada di belakang pembunuhan itu.
“Kami menggesa pihak berkuasa Malaysia melakukan siasatan yang
komprehensif dan rapi bagi mengelak pembunuh itu sempat melarikan diri.
“Fadi al-Batash, 35, diserang dan dibunuh ketika meninggalkan
masjid awal pagi tadi selepas diserang dua penunggang motosikal,” katanya.
Fadi ditembak ketika dalam perjalanan ke surau untuk menunaikan
solat Subuh, berhampiran sebuah kondominium di Jalan Meranti, Setapak awal pagi
tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata,
siasatan awal mendapati mangsa berusia 35 tahun itu ditembak dua lelaki yang
menaiki sebuah motosikal berkuasa tinggi di tempat pejalan kaki kira-kira jam 6
pagi tadi.
“Suspek melepaskan lebih 10 das tembakan dan pemeriksaan mendapati
terdapat empat kesan tembakan pada kepala dan badan mangsa, yang disahkan
meninggal dunia di tempat kejadian.
“Polis turut menemui dua kelongsong peluru di tempat kejadian,”
katanya.
Dr Fadi yang bekerja sebagai pensyarah di sebuah universiti swasta
di ibu negara dan merupakan imam kedua di masjid berhampiran tinggal di
kondominium berkenaan bersama isteri dan tiga anaknya.
Sementara itu, Hamas dalam satu kenyataan melahirkan rasa sedih
dan berkabung atas pembunuhan itu.
Hamas berkata, mangsa berasal dari kem pelarian Jabalia di utara
Semenanjung Gaza dikenali sebagai saintis yang inovatif dan menyertai banyak
persidangan antarabangsa, termasuk di Jepun, Britain dan Finland dan merancang
mempengerusikan satu lagi persidangan mengenai tenaga di Turki.
Beliau menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang
kejuruteraan elektrik dari Universiti Malaya dan sejak melanjutkan pelajarannya
telah meneribitkan 18 kertas kajian yang disiarkan dalam beberapa jurnal.
GAZA:
Jenazah Dr Fadi M R Albatsh selamat dikebumikan di utara Jalur Gaza, semalam,
dihadiri keluarga dan ahli pelbagai latar belakang politik di Palestin.
Menurut
laporan Reuters, jenazahnya diterbangkan dari Kuala Lumpur ke Kaherah, Mesir
ditemani isteri dan anak-anaknya kemudian dibawa dengan menggunakan jalan darat
ke Gaza.
"Keranda
Fadi yang dilitupi bendera Palestin diusung oleh anggota polis ketika upacara
penghormatan terakhirnya.
"Pemimpin
Hamas, Ismail Haniyeh, ketika menghadiri upacara pengebumian Fadi memberitahu
pihak yang bertanggungjawab akan dihukum.
"Tangan
berdosa yang membunuh Fadi Albatsh akan terputus," katanya.
Hamas
sebelum ini mengesahkan Fadi adalah salah seorang anggotanya tanpa menjelaskan
peranannya di dalam pergerakan itu.
Seorang
lagi wakil Hamas, Khalil Al-Hayya, berkata Israel bertanggungjawab ke atas
pembunuhan itu.
"Israel
yang bertanggungjawab di atas pembunuhan dan syahidnya Fadi, pembunuh saintis
kami tidak akan dapat terlepas daripada hukuman," katanya.
Fadi
seorang imam dan juga pensyarah di Kuala Lumpur British Malaysia Institut
(UniKL BMI), ditembak mati di luar kondominium di Jalan Gombak, Setapak pada 21
April lalu ketika beliau sedang berjalan ke surau untuk menunaikan solat Subuh.
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.