Total Pageviews

Saturday, 15 July 2017

kesediaan Malaysia hadapi gempa


Sejauhmana kesediaan Malaysia hadapi gempa bumi




15 JUN — Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang melanda Sabah pada tanggal 5 Jun yang lalu, telah meninggalkan kesan cukup mendalam bukan sahaja terhadap psikologi rakyat Sabah secara khusus bahkan juga rakyat Malaysia secara amnya.

Ini kerana, buat pertama kali dalam sejarah negara, gempa bumi yang kita fikirkan selama ini tidak akan berlaku di Malaysia, akhirnya berlaku jua. Selain itu, inilah juga kali pertama dicatatkan korban gempa di Malaysia memandangkan selama ini, gegaran-gegaran lemah yang pernah direkodkan tidak meragut nyawa penduduk.

Gempa bumi terkuat yang melanda Sabah kali ini ternyata telah merobek "sense of invicibility" dalam kalangan penduduk Malaysia kononnya Malaysia tidak akan dilanda gempa bumi. Bagaimanapun, semuanya itu kini tinggal dalam lipatan sejarah.

Malah, seorang tokoh akademik dari Jabatan Geologi Universiti Malaya, Profesor Mustaffa Kamal Shuib dalam satu temuramah dengan portal The Malaysian Insider baru-baru ini mendedahkan, kemungkinan Kuala Lumpur dilanda gempa bumi suatu hari nanti bukanlah sesuatu yang mustahil.

Biarpun Malaysia tidak terletak dalam Lingkaran Api Pasifik, tetapi itu tidak bermakna bahawa pihak berkuasa di negara ini wajar mengambil mudah terhadap ancaman tersebut yang mungkin boleh berlaku pada bila-bila masa.

Sama ada KL akan dilanda gempa bumi suatu hari nanti, sukar dipastikan tetapi apa yang pasti, gempa bumi dan gegaran susulan yang berlaku di Sabah sepanjang dua minggu ini sudah cukup untuk mengingatkan pihak berkuasa terhadap kesiapsiagaan mereka menghadapi bencana yang berskala besar seperti ini.

Ada yang menyifatkan gempa bumi Sabah kali ini hanyalah permulaan dan peringatan kepada kita semua untuk berwaspada dalam menghadapi sebarang kemungkinan yang lebih besar selepas ini. Hanyalah Tuhan yang maha mengetahui.

Persoalannya, apakah Malaysia benar-benar bersedia untuk berhadapan dengan gegaran yang lebih kuat, yang tidak dijangka? Bagaimana pula dengan struktur kebanyakan bangunan pencakar langit di negara ini, adakah bangunan-bangunan yang dibina ini tahan gegaran? Sejauhmanakah kukuhnya kebanyakan bangunan di Malaysia daripada ancaman gempa bumi?

Baru-baru ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyatakan kesediaan mereka untuk mengkaji kemungkinan bangunan-bangunan di ibu kota perlu dilengkapi dengan teknologi yang berupaya menahan gegaran ketika berlaku gempa bumi.

Akan tetapi, apakah perlu lagi pihak berkenaan membuat kajian demi kajian tatkala ancaman gempa bumi terhadap negara ini sememangnya wujud selama ini? Bukankah lebih baik jika pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengambil langkah proaktif dan memastikan impaknya nanti tidaklah seteruk mana.

Jika kos dijadikan alasan, apalah nilai kos tersebut jika ia boleh menyelamatkan ratusan ataupun ribuan nyawa yang tidak berdosa? Dalam gempa bumi yang berlaku di Sabah, mujurlah operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan dengan baik bagi menyelamatkan mereka yang terperangkap.

Justeru, tohmahan-tohmahan pihak tertentu yang menyelar kelembapan pihak berkuasa dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa adalah tidak wajar kerana pihak berkuasa telah berusaha sedaya-upaya untuk membantu.
Turut dikesali juga ialah gelagat segelintir pelancong asing yang bertindak menanggalkan pakaian ketika berada di puncak Gunung Kinabalu. Kedegilan mereka untuk membogelkan diri biarpun dinasihat untuk tidak berbuat demikian hanya membuktikan kejahilan dan kedangkalan warga-warga asing yang tidak memahami adat resam dan sensitiviti masyarakat tempatan.

Mungkin pada hemat mereka, menanggalkan pakaian dan berbogel merupakan sesuatu yang diterima dalam budaya mereka, namun budaya berkenaan adalah sesuatu yang dianggap biadap dan liar di negara ini. Maka seharusnya mana-mana pelancong asing yang berkunjung ke negara orang, pandai-pandailah membawa diri dan menjaga tutur kata.

Jangan sesekali bersikap biadap dan alpa dengan sensitiviti masyarakat setempat.
Ada baiknya episod hukuman terhadap sekumpulan pelancong asing yang berbogel di puncak Gunung Kinabalu menjadi iktibar dan peringatan kepada semua bahawa setiap negara ada peraturan yang perlu dipatuhi. Masyarakat Sabah menerima permohonan maaf salah seorang pelancong asing yang dibuatnya baru-baru ini namun adalah diharapkan permohonan maaf itu dibuat dengan hati yang ikhlas dan bukannya didorong atas liputan media yang hebat.
Paling penting juga, permohonan maaf yang dibuat itu haruslah disertakan dengan tindakan susulan yang konkrit.
Bagi mereka yang telah terkorban dalam gempa bumi ini, semoga roh mereka dicucuri rahmat dan bersemadi dengan aman. Bagi mereka yang terselamat pula, inilah masanya untuk mereka membantu rakan-rakan lain yang masih trauma dengan bencana tersebut.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.