Jangan risau, anda Tak Jadi Melayu
apabila anda peluk Islam
Cina Muslim Malaysia Tak Perlu Dilema
“Apabila seseorang memeluk Islam, mereka yang bukan Islam
beranggapan bahawa anda sudah menjadi Melayu. Oleh kerana menjadi Muslim sangat
dikaitkan dengan menjadi Melayu, jadi kawan-kawan saya berasa kehairanan,
mereka fikir saya akan menjadi Melayu, mengikuti budaya Melayu.”
Begitulah pengakuan seorang tokoh korporat wanita, Saralyn Hor
yang menerima Islam. Apakah benar apabila seseorang akan menjadi Melayu apabila
menerima Islam sebagai agamanya?
Disebabkan majoriti beragama Islam di Malaysia adalah orang
Melayu, maka masyarakat bukan Islam melihat kaitan dan hubungan Islam itu
dengan Melayu.
Islam dipraktikkan mengikut acuan tempatan iaitu budaya Melayu.
Bagaimana pula bangsa lain yang menerima Islam?
Apakah mereka juga perlu mengikut budaya sama seperti orang
Melayu Islam? Salah satu halangan utama dalam menyampaikan kefahaman Islam kepada
masyarakat Cina bukan Islam adalah memberitahu mereka bahawa seseorang Cina
Muslim tidak mengubah budaya mereka dan menjadi orang Melayu (Mhd Omar
& Syed Ismail al-Qudsy, 2016)
Oleh yang demikian, mengekalkan budaya Cina penting bagi
masyarakat Cina Muslim dalam menyampaikan mesej Islam.
Pada umumnya, masyarakat Cina di Malaysia melihat budaya Islam
sebagai budaya orang Melayu. Mereka menganggap Islam itu asing dan menjadi
ancaman kepada budaya mereka.
Seseorang yang menerima Islam dalam kalangan orang Cina
dikatakan secara langsung akan mengubah budayanya menjadi orang Melayu.
Bangsa dan agama adalah dua perkara berbeza. Bangsa akan kekal
bagi seseorang dan tidak boleh diubah walaupun ada yang tidak mahu kepada
bangsanya sendiri.
Budaya sesuatu bangsa juga adalah lambang identiti
masing-masing. Agama pula adalah kepercayaan dan keimanan seseorang merujuk
kepada ketuhanan.
Orang Cina amat bangga dengan budaya mereka. Budaya adalah
identiti mereka. Konsep bangsa dan etnik adalah berdasarkan kepada identiti. (Brubaker
& Cooper, 2000)
Bagi masyarakat Cina Muslim di Malaysia, selepas memeluk Islam,
pada kebiasaannya mereka akan menghadapi dilema identiti sama ada ingin
mengekalkan identiti Cina atau identiti Islam.
Identiti Islam selalu digambarkan sebagai Melayu. Ia membentuk
persepsi dan pemahaman bahawa untuk menjadi seorang Muslim di Malaysia mereka
perlu menjadi orang Melayu dan begitulah sebaliknya.
Bagi sesetengah orang, persepsi itu terus berkembang dalam erti
kata mereka yang menjadi Muslim bukan saja perlu menjadi Melayu tetapi turut
melepaskan identiti bangsanya.
Ada yang beranggapan dia bukan lagi berbangsa Cina selepas
menjadi seorang Muslim. Oleh sebab itu, masyarakat Cina Muslim perlu faham
serta dapat membezakan antara adat budaya dengan ajaran agama seperti yang
diamalkan masyarakat Melayu Islam.
Maka, akan lahir satu identiti Cina Muslim unik yang mengekalkan
budaya bangsa yang tidak bertentangan dengan syariat Islam, seterusnya beramal
dengan ajaran Islam sebenar.
Cina Muslim juga tergolong dalam komuniti Cina dan Melayu kerana
mereka berkongsi atau mempunyai beberapa persamaan.
Mereka tergolong dalam komuniti Cina tetapi menganut agama
komuniti Melayu. Dalam konteks Malaysia, Cina Muslim dianggap minoriti berganda
iaitu minoriti Muslim dalam kalangan majoriti Cina bukan Islam dan minoriti
Cina dalam kalangan masyarakat Melayu Islam.
Sebagai umat Islam, tanpa mengira bangsa atau suku kaum mereka
harus merasakan semua umat Islam itu bersaudara.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Orang-orang
beriman itu sesungguhnya bersaudara. Damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara
kedua-dua saudaramu itu dan bertakwalah terhadap Allah supaya kamu mendapat
rahmat.” (Surah Al-Hujurat, ayat 10)
Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim
Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 12:53
PM
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.