Total Pageviews

Tuesday, 17 December 2019

Anda masih Cina jika sudah peluk Islam



Jangan risau, anda masih Cina jika sudah peluk Islam


CHAN Ah Lee, atau Ah Lee, merupakan anak sulung daripada enam beradik. Kesemua adiknya perempuan. Dialah satu-satunya anak lelaki kebanggaan keluarga, anak yang akan membawa nama keluarga Chan ke generasi seterusnya. Apabila berita pengislaman Ah Lee sampai ke pengetahuan ibu bapanya, Ah Lee sudah bersedia dengan segala jenis kemungkinan. Kena marah memang pasti. Beliau bertawakal. Soalan pertama yang ditanya bapanya, “Kenapa lu masuk Melayu?”.
“Mana ada papa. Wa masih Cina. Hanya kepercayaan wa berubah. Tapi wa tetap Cina. Papa dan mama masih bapa dan ibu wa. Malahan, agama Islam mewajibkan wa taat kepada ibu bapa, walaupun berlainan agama”.
“Habis tu. Kenapa lu tukar nama?”, tanya bapanya lagi.
“Wa tak tukar nama la papa, hanya tambah nama Arab di depan supaya orang tahu wa ini Islam. Sebab wa mata sepet, cakap pun ada sikit pelat. Kalau tak ada nama Arab di depan, nanti lagi susah mau cerita”,  jawab Ah Lee.
Sekarang pun, setiap kali hendak menunaikan solat di masjid, disebabkan oleh paras rupanya yang tidak kemelayuan, Ah Lee sering ditanya adakah dia Islam. Siap disuruh bacakan Surah Al-Fatihah untuk membuktikan keislaman beliau.
Pada mulanya, memang sakit hati. Orang lain yang mata tidak sepet tidak pula disuruh buktikan mereka Islam. Tapi lama-kelamaan, bacaan Al-Fatihah beliau menjadi lebih lancar. Jadi, ada baiknya juga dia disuruh mengulang surah tersebut banyak kali.
“Kalau dulu nama wa Chan Ah Lee, sekarang nama Islam wa Mohammad Chan Ah Lee. Kalau wa tak tukar nama pun tak mengapa. Nama Islam adalah nama yang mempunyai maksud baik. Tapi wa ikut nasihat Jakim (Fatwa Kebangsaan tahun 1981), untuk letak nama Arab di depan nama Cina, supaya orang ramai tak keliru”, ujar Ah Lee lagi. Sejak kecil, Ah Lee digelar sebagai Ali oleh kalangan rakan Melayu. Tetapi nama Mohammad yang menjadi pilihan beliau. Nama seorang pemimpin Islam yang agung.
“Ingatkan anak bertuah ni dah tukar nama Bin Abdullah macam orang lain”, fikir bapa Ah Lee. “Aku masih hidup, kalau dia tukar nama bapa dia dengan Abdullah, memang aku kerjakan anak bertuah ni,” fikir bapanya lagi.
“Soalan kedua. Wa tengok lu ada pakai baju Melayu masa hari Jumaat. Apa pasal? Mahu jadi Melayu ka?”, tanya bapa Ah Lee lagi, dengan nada yang sedikit rendah.
“Pakai baju Melayu tak semestinya wa jadi Melayu papa. Hari lain wa pakai baju kemeja, tali leher dan jaket, tak ada pula orang kata wa masuk Inggeris. Kadang-kadang wa berjubah Arab. Lagipun, kawan-kawan Cina Peranakan Kelantan yang wa kenal, ramai yang pakai kain pelekat macam Melayu, tapi mereka tidak dikatakan masuk Melayu pula,” jawab Ah Lee dengan penuh lemah-lembut.
Walaupun Malaysia sudah 58 tahun merdeka, persepsi masuk Islam sebagai masuk Melayu masih tebal. Ramai kalangan masyarakat Cina masih beranggapan masuk Islam itu masuk Melayu. Hal ini berlaku kerana generasi Cina Muslim  terdahulu menukarkan nama mereka kepada bin dan binti Abdullah, berpakaian Melayu, berbahasa Melayu, dan mengamalkan adat Melayu.
Berbaju Cina tidak salah asalkan menutup aurat. Berbahasa Cina pun tidak salah. Malahan, menyambut Tahun Baharu Cina serta mengamalkan budaya Cina juga tidak salah asalkan tidak melanggar syariat. Untuk membuktikan beliau tidak masuk Melayu, Mohammad Chan memakai seluar jeans Levi’s dan baju T bertulisan Cina, bukannya baju Melayu dan bersamping ketika pertama kali mengucap dua kalimah syahadah.
Alangkah indahnya jika masyarakat Cina Muslim masih mengamalkan budaya Cina serta mengekalkan nama Cina. Ini akan memudahkan orang seperti Mohammad Chan untuk memeluk Islam dan mungkin tidak mendapat tentangan hebat ibu bapa sebagaimana yang dialaminya sekarang. Ini juga akan memudahkan usaha dakwah kepada masyarakat Cina lain yang belum Islam.
Bukan senang bagi seorang Cina itu memeluk Islam. Masih ramai yang merahsiakan keislaman mereka sekarang ini atas banyak faktor. Mereka juga perlu memberanikan diri bukan sahaja untuk berhadapan dengan keluarga dan rakan bukan Islam yang lain, malahan berhadapan dengan masyarakat Islam asal yang mungkin memandang sinis terhadap mereka. Ada yang berpendapat, mereka memeluk Islam kerana mempunyai motif tertentu (seperti berkahwin) atau ada kepentingan yang lain.
Sekarang sudah ada masjid-masjid berseni bina Cina di Rantau Panjang, Ipoh, dan Melaka. Ustaz dan pendakwah berketurunan Cina juga semakin ramai. Kita perlu lebih ramai pendakwah multikultural ini kerana mereka lebih memahami segala permasalahan muhajirin, mereka yang baharu memeluk Islam. Gerakan Cina Muslim terutamanya melalui Macma juga telah memberikan nafas baharu dalam dakwah bukan Islam dan kini bergerak aktif di seluruh Malaysia dalam menyebarkan kebenaran Islam.
Bukan mudah, untuk orang seperti Mohammad Chan, membuktikan kepada masyarakat Cina bahawasanya menjadi Islam tidak akan mengurangkan kecinaannya, manakala kepada masyarakat Islam pula, menjadi Cina tidak mengurangkan keIslaman beliau.
Bagi Mohammad Chan, walaupun dia sudah Islam, “Wa masih Cina”.


.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.