Total Pageviews

Monday, 28 October 2019

Tuan Guru Ahmad al-Kalantani

 

Tuan Guru Ahmad al-Kalantani

 

 

http://www.albakriah.nas.my/index.php?route=product/category&path=166

 

Tuan Guru Ahmad al-Kalantani pengarang kitab Darul Hasan

 

Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah

 

 

Ulama Nusantara


SEJAK artikel mengenai ulama dikeluarkan dalam Utusan Malaysia mulai tahun 2004 hingga kini telah ramai ulama negeri Kelantan yang penulis perkenalkan. Di antara mereka ada yang terkenal di peringkat alam Melayu bahkan antarabangsa seperti Sheikh Wan Ali Kutan Al-Kalantani yang terkenal dengan kitab karangannya, Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub (Mengenai Hadis) juga mengajar di Masjidil Haram Mekah.

 

Yang terkenal hanya di peringkat negeri alam Melayu/Nusantara sahaja seperti Sheikh Abdus Shamad (Tuan Tabal) yang mana beliau merupakan penyebar Tarekat Ahmadiyah yang pertama di Nusantara.

 

Ulama yang diperkenalkan pada kali ini ialah sahabat kepada Sheikh Wan Ali Kutan Al-Kalantani yang sama-sama belajar, baik di Kelantan mahupun di Mekah namun peranan dan pengaruhnya hanya sekitar negeri Kelantan sahaja.

 

Ulama yang diriwayatkan ini ialah Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Muhammad Yusuf bin Sheikh Abdul Halim Al-Kalantani.

 

Asal-usulnyaDiriwayatkan bahawa datuk kepada tokoh ulama yang akan dibicarakan di atas iaitu, Sheikh Abdul Halim tersebut adalah anak angkat kepada Long Yunus (Sultan Kelantan). Long Yunus memperoleh anak angkat tersebut daripada salah seorang sahabatnya seorang peniaga Cina sebagai hadiah dan tanda persahabatan dengan sultan.

 

Long Yunus menghantar Abdul Halim bersama-sama putera baginda belajar ke Mekah. Ada yang menceritakan kejadian tersebut semasa dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani belajar di Mekah.

 

Tetapi ada yang meriwayatkan bahawa Abdul Halim dan putera Long Yunus menjadi murid kepada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Setelah mendapat gelaran ulama, Sheikh Abdul Halim pulang ke Kelantan. Beliau adalah orang pertama mengajar menggunakan sistem pondok dengan kaedah Patani di Kelantan.

 

Beliau mempunyai dua anak iaitu Haji Muhammad Yusuf dan Haji Yaaqob. Haji Muhammad Yusuf ialah ahli dalam bidang seni bina dan seni suara manakala Haji Yaaqob pula adalah seorang ulama yang mengajar sebagai pengganti ayahnya. Haji Muhammad Yusuf memperoleh anak bernama Tuan Guru Haji Ahmad atau tokoh yang akan dibicarakan ini.

 

PendidikannyaTuan Guru Haji Ahmad dilahirkan di Kelantan, namun tempat dan tarikh lahirnya yang tepat tidak dapat dipastikan. Pun begitu, pada masa kehidupan beliau terdapat catatan yang mengatakan ia adalah sezaman dengan Sheikh Wan Ali Kutan (lahir 1253 H/1837 M atau 1235 H/1820 M). Pendidikan asasnya diperoleh daripada bapa saudaranya sendiri, iaitu Haji Yaaqob bin Sheikh Abdul Halim al-Kalantani.

 

Diriwayatkan pula pengetahuan yang diperoleh daripada bapa saudaranya itu bukan sahaja ilmu pengetahuan yang bersifat asas, tetapi hingga beliau diakui sebagai seorang ulama di Kelantan, dan ilmu-ilmunya tersebut diperoleh dari Haji Yaaqob sendiri. Walaupun beliau telah diakui sebagai seorang ulama di Kelantan, namun beliau masih juga meneruskan pelajarannya ke Mekah sebagai pengesahan daripada ulama-ulama Mekah pada zamannya.

 

Sebagaimana yang dapat dicatat, teman-teman beliau ketika kecil yang sama-sama belajar kepada Tuan Guru Haji Yaaqob adalah seperti berikut; saudara beliau sendiri iaitu Haji Uthman bin Haji Muhammad Yusuf, Sheikh Wan Ali bin Abdul Rahman Kutan, Sheikh Abdul Mutalib Kuta, Haji Wan Abdul Rahman bin Wan Sulaiman dan lain-lain. Semua sahabat beliau yang tersebut adalah ulama-ulama besar Kelantan yang sangat berperanan dan berpengaruh di zaman mereka.

 

Adapun ilmu-ilmu yang telah dikaji, yang dapat diketahui adalah ilmu tauhid, fikah, tasauf, nahu, saraf, bayan, ma’ani, badi’, arut, qawafi, mantiq, tafsir, tajwid dan lain-lain. Ilmu-ilmu tersebut telah dikuasai sejak di Kelantan lagi. Belajar di Mekah hanya untuk mendalami lagi pengetahuan beliau terhadap ilmu-ilmu tersebut.

 

Para guru Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan di Mekah yang dapat dicatat antara lain ialah, Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Adapun guru beliau selain yang tersebut tidak dapat diketahui dengan pasti. Ada kemungkinan semua guru kepada Sheikh Wan Ali Kutan adalah juga guru kepada Tuan Haji Ahmad Kelantan ini.

Karya-karyanyaKarya penulisan Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan yang diketahui hanya dua sahaja. Karya yang merupakan manuskrip asli tulisan tangan beliau itu tersimpan di Pusat Islam Malaysia di Bahagian Balai Pameran. Judul kitab tersebut adalah Darul Hasan.

 

Kitab Darul Hasan yang ditulis oleh Tuan Guru Haji Ahmad tersebut adalah atas permintaan Raja Kelantan. Tahun yang tercatat adalah pada 30 Ramadan 1282 H (1865 M). Manuskrip yang tersimpan di Pusat Islam Malaysia tersebut diberi nombor kelas iaitu MI 725. Belum diketahui apakah kitab Darul Hasan tersebut pernah diterbitkan oleh mana-mana penerbit di Timur Tengah mahupun di Asia Tenggara.

 

Namun jelas bahawa kitab Darul Hasan tidak pernah ditemui di mana-mana kedai buku di seluruh Asia Tenggara. Adapun yang berupa manuskrip berkemungkinan hanya sebuah itu sahaja naskhah mengenainya yang ditulis dengan huruf yang sangat indah. Terdiri dari tulisan hitam dan merah yang memancar terang. Keadaan manuskrip masih baik, di samping halaman dari awal hingga akhir juga dalam keadaan lengkap.

 

Kandungan ringkas kitab Darul Hasan adalah sebagai berikut: Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan memulakan karangan beliau dengan puji-pujian dan selawat sebagaimana karangan-karangan tradisi Islam lainnya. Setelah itu menyebut dengan kalimat bahasa Arab bahawa ‘Sultan Kelantan’ meminta beliau menulis kitab ini. Tetapi pada terjemahan bahasa Melayu dari lafaz bahasa Arab itu tidak menyebut ‘Sultan Kelantan’ melainkan ‘Raja Kelantan’. Tentang nama kitab pula terjadi salah titik sama ada lafaz Arab mahupun lafaz Melayu iaitu tertulis Darul Hasaat dengan huruf ta sebenarnya adalah Darul Hasan iaitu dengan huruf nun. Hal ini tertulis di halaman terakhir.

 

Sesudah itu dimulai dengan menceritakan pohon kayu yang bernama ‘Syajaratul Yaqin’ yang mempunyai empat cabang. Dari cerita itu diteruskan dengan kejadian ‘Nur Muhammad’ sehingga dijadikan sekalian kejadian sesudahnya. Kejadian sekelian manusia pula diceritakan berdasarkan kepada mereka yang pertama memandang kepada Nur Muhammad. Maka ada yang menjadi Sultan, menjadi alim, yang mati syahid dan lain-lain.

 

 

http://www.albakriah.nas.my/index.php?route=product/category&path=166

 

http://www.albakriah.nas.my/index.php?route=product/category&path=187

 

 

 

.

 

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.