Kahwin adalah ibadah
https://jheains.sabah.gov.my/index.php/perkhidmatan/khutbah-jumaat?layout=edit&id=418
Tingkatkanlah keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh mengerjakan perkara-perkara yang disuruh-Nya
dan menjauhi perkara-perkara yang dilarang-Nya. Ketahuilah bahawa sesungguhnya orang yang bertaqwa kepada Allah SWT akan beroleh
petunjuk selain beroleh keampunan dan limpahan kurnia yang besar. Inilah janji Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang
membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa)
kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.” (S. Al-Anfal: 29).
SAUDARA MUSLIMIN YANG DIHORMATI,
Berleluasanya perbuatan maksiat seperti zina merupakan antara tanda semakin dekatnya hari kiamat. Ini berdasarkan kepada sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ketika dunia berada hampir di penghujungnya, kamu dapati maksiat dilakukan secara terang terangan.
Zina dilakukan dengan sewenang-wenangnya persis seperti perilaku haiwan. Yang tinggal hanyalah manusia yang keji dan buruk
perangainya. Ketika itulah berlakunya kiamat.” (HR Muslim).
PARA JEMAAH YANG MULIA,
Sesungguhnya zina merosakkan keturunan, membawa bermacam penyakit, merosakkan kesihatan rohani dan jasmani, menghilangkan
ketenangan dan mencemarkan kesucian Islam. Malahan, zina boleh menyebabkan masyarakat menjadi porak-peranda dan berpecah belah
selain menjadi penyebab turunnya bala.
Oleh sebab itu, perbuatan zina adalah haram dan satu jenayah dalam Islam kerana ia banyak menimbulkan masalah sama ada kepada
pelaku zina itu sendiri mahupun kepada keluarga, masyarakat dan negara. Jadi, segala perkara yang boleh menggoda nafsu kea arah
melakukan zina wajib dijauhi. Ini sejajar dengan perintah Allah SWT sebagaimana firman-Nya:
Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang sangat
buruk.” (S. Al-Isra’: 32).
Melalui firman-Nya ini, Allah SWT bukan sahaja mengharamkan perbuatan zina, bahkan melarang keras daripada melakukan sesuatu yang
berpotensi mengundang terjadinya perbuatan zina. Ini termasuk membaca atau menonton bahan lucah yang memberahikan, melihat aurat
yang diharamkan, berdua-duan (lelaki dan perempuan yang bukan mahram), saling menghantar pesanan (SMS) atau gambar yang boleh
merangsang nafsu jahat dan sebagainya.
JEMAAH MUSLIMIN YANG BERIMAN,
Bagi mengelak manusia daripada terjebak dengan maksiat zina, Islam mensyariatkan perkahwinan sebagai wasilah memelihara diri daripada
melakukan perkara yang haram dan menghubungkan silaturrahim. Perkahwinan membolehkan seorang lelaki dan wanita yang bukan
mahram dapat menjalin hubungan yang sah melahirkan zuriat yang baik-baik membina keluarga dan masyarakat. Lantaran itu, Allah SWT
menyarankan para ibu bapa atau penjaga supaya menikahkan anak-anak mereka yang masih bujang sejajar dengan firman-Nya:
Maksudnya: “Dan kahwinkanlah orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang yang soleh dari hamba-hamba kamu
yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana Allah Maha
Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.” (S. An-Nur: 32).
Rasional di sebalik perintah serta anjuran Allah SWT ini adalah sebagai memenuhi tuntutan psikologi dan fitrah manusia yang mahu hidup
berpasang-pasangan. Tanpa adanya perkahwinan, manusia berkemunginan besar akan terjerumus ke lembah perzinaan dan maksiat.
Pendek kata, perkahwinan adalah wasilah memperolehi pahala, membina keluarga bahagia dan mengelak diri daripada terjebak dengan
maksiat.
HADIRIN MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,
Diriwayatkan daripada Abu Dzar, Nabi Muhammad SAW bertanya Ukkaf Basir At Tamimi Al Hilali:“Wahai Ukkaf!Apakah engkau mempunyai isteri?"
Ukaff menjawab: "Tidak.” Baginda SAW bertanya lagi: “Adakah engkau orang yang mampu dalam keadaan baik dirimu?” Jawab Ukaff: “Ya,
aku orang yang mampu.”
Mendengar jawapan itu, Nabi SAW pun bersabda seperti memberi keputusan.
Sabda Nabi SAW: “Jika begitu engkau daripada saudara syaitan. Jika engkau daripada kaum Nasrani, nescaya engkau termasuk pasturnya.
Sesungguhnya sunah kami ialah nikah (kahwin). Sejahat-jahat kamu ialah yang tidak kahwin. Serendah-rendah orang yang mati daripada
kamu ialah yang tidak mahu kahwin. Apakah dengan syaitan kamu akan berhubungan? Tidak ada senjata bagi syaitan yang lebih ampuh
buat menggoda orang soleh, lebih daripada meninggalkan perempuan (tidak kahwin).”
Memandangkan cabaran serta godaan terhadap orang yang belum berkahwin itu amat getir dan hebat, maka Rasulullah SAW sangat
menganjurkan umatnya yang berkemampuan dari segi fizikal, mental dan sebagainya supaya berkahwin. Ia sebagai benteng kepada godaan
nafsu dan syaitan sekali gus memelihara hati dan anggota badan daripada terjebak denganmaksiatdan nodaseperti perbuatan seksbebas
atauzina. Sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud: "Wahai anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih
memelihara mata dan menjaga kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah
penahan (daripada gejolak nafsu). (HR Bukhari).
JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,
Sebelum terjerumus ke lembah maksiat, sebaiknya kaum muda yang dewasa, berkemampuan dari segi kewangan, berkeupayaan dan sihat
tubuh badan segera menyempurnakan sunah Rasulullah SAW. Berkahwin mewujudkan ketenangan, kasih sayang, kebahagiaan dan
kedamaian bagi manusia selain berperanan mengembangbiakkan zuriat yang akan membanggakan Rasulullah SAW di depan umat lain pada
hari kiamat kelak.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai
kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara
kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang
menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.” (S. Ar-Rum: 21).
Melalui firman-Nya ini, Allah SWT menyenaraikan tiga nikmat yang akan dikecapi oleh pasangan yang berkahwin.
Pertama, As-Sakinah, iaitu ketenangan jiwa dan kedamaian perasaan;
Kedua, Al-Mawaddah, yakni perasaan saling sayang menyayangi; dan
Ketiga, Al-Tarahum yang bererti kasihan belas suami isteri yang lahir dari hati yang tulus ikhlas.
HADIRIN MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,
Dalam kerangka mengelak gejala zina dan membina keluarga bahagia, maka adalah diharapkan agar urusan perkahwinan tidak dipersulitkan
dengan hantaran yang terlalu tinggi dan majlis keraian secara besar-besaran kerana ia bukanlah rukun nikah yang akan mencacatkan
perkahwinan. Perkahwinan adalah ibadah, maka perkara paling penting adalah ikatan dua hati bercantum dengan lafaz akad nikah oleh
pengantin lelaki. Justeru, berkahwinlah mengikut syariat, jangan dibelenggu adat agar bahagia dan selamat di dunia dan akhirat.
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanku (agama Islam) yang betul lurus, maka janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang
lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) menceraiberaikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan
kamu, supaya kamu bertaqwa.” (S. Al-An’aam: 153).
*****
Disediakan dan diedar oleh:
Bahagian Penyelidikan dan Informasi
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah
Untuk sebarang maklum balas, sila berhubung dengan:
Unit Penerbitan, Bahagian Penyelidikan & Informasi,
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah
088-522 142/ 088 522141
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.