Mahkamah
tolak permohonan 7 perokok cabar larangan merokok di premis makan
KUALA
LUMPUR: Tujuh perokok gagal dalam permohonan mereka untuk mencabar larangan
merokok di semua premis makan yang dikuat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia
(KKM) pada 1 Januari 2019.
Mereka
ialah Mohd Hanizam Yunus, 52; Zulkifli Mohamad, 56; Mohd Laisani Dollah, 46;
Mohd Sufian Awaludin, 35; Ridzuan Muhammad Noor, 52; Mohd Yazid Mohd Yunus, 48
dan Yuri Azhar Abdollah, 39 selaku pemohon.
Hakim
Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya yang menolak permohonan semakan
kehakiman dikemukakan tujuh individu itu terhadap KKM selaku responden,
berpendapat bahawa kesemua pemohon telah terkhilaf apabila menyatakan hak untuk
mereka merokok akan terhakis sama sekali dengan adanya peraturan larangan
merokok berkenaan.
Hakim
Mariana berkata, responden telah mengambil kira faktor kepentingan awam apabila
menetapkan jarak tiga meter bagi membolehkan perokok untuk merokok di premis
makan.
"Pemohon-pemohon
atau perokok masih boleh merokok di luar pada jarak tiga meter daripada tempat
makan dan menjadi tanggungjawab perokok bagi memastikan puntong rokok dibuang
di tempat yang disediakan. Oleh itu, untuk kesemua pemohon menyatakan bahawa
hak mereka telah terhakis dan dicemari dengan larangan merokok di premis makan
adalah tidak berasas," katanya.
Hakim
itu menegaskan bahawa ketidakpuasan pemohon-pemohon yang mewakili perokok ialah
mereka ingin melepaskan hajat atau keinginan merokok di premis-premis makanan
seberapa lama yang mereka inginkan.
"Perbuatan
merokok di premis makan menjadikan udara persekitaran tidak bersih dan asap
rokok juga mengganggu orang yang tidak merokok di premis makan. Pemohon-pemohon
tidak dihalang untuk menikmati makanan hingga larut malam selagi mana mereka
merokok pada jarak tiga meter dari premis makanan," katanya.
Mengenai
isu bahawa pemohon tidak diberi hak untuk berunding dengan responden sebelum
larangan rokok dikuat kuasa, Hakim Mariana berkata, rundingan awam yang
dilaksanakan dengan sesuatu agensi atau pihak-pihak dibuat atas budi bicara
responden dan ia bukan suatu hak kepada pemohon-pemohon.
"Oleh
yang demikian, ia terpulang kepada responden untuk mengadakan rundingan awam
atau tidak bersesuaian dengan perkara yang hendak diputuskan,” katanya.
Hakim
Mariana berkata menurut responden, usaha untuk melaksanakan larangan merokok di
premis makan telah bermula sejak 2004 sehingga 2019 iaitu mengambil masa selama
15 tahun dan beberapa siri perbincangan bersama-sama pihak-pihak berkenaan
telah dilaksanakan pada 2009, 2015 dan 2018.
"Responden
dalam afidavitnya menyatakan orang awam dipelawa untuk memberi maklum balas
kepada pihak responden berhubung pelaksanaan larangan merokok di premis makan
dan tempoh maklum balas daripada orang awam ini telah diberi sehingga 18 Mei
2018.
"Bagaimanapun,
tiada mana-mana pemohon menyatakan maklum balas atau bantahan mereka mengenai
pelaksanaan larangan merokok sejak tahun 2015 atau sejak ia mula dicadangkan 15
tahun lalu," kata hakim itu yang turut memaklumkan bahawa tawaran
responden untuk orang ramai memberi maklum balas sehingga 18 Mei 2018 melalui
laman web KKM adalah memadai dan yang pasti tiada sebarang aduan atau bantahan
daripada kesemua pemohon berhubung larangan merokok itu sejak ia dicadangkan.
Selepas
mempertimbangkan permohonan semua pemohon dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah
berpendapat pihak responden telah bertindak dalam bidang kuasanya dan keputusan
larangan merokok di premis makan tidak bertentangan dengan Artikel 5 dan
Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.
"Ia
juga tidak dicemari dengan ketidaksahan, tidak rasional atau salah prosedur
yang membolehkan mahkamah ini memberikan suatu perintah certiorari bagi
membatalkan keputusan responden untuk menguatkuasakan larangan merokok di
premis-premis makan yang dicadangkan dikuat kuasa pada 1 Jan 2019.
"Mahkamah
dengan ini menolak permohonan semakan kehakiman pemohon-pemohon dan tiada
perintah untuk kos," katanya.
Dalam
permohonan yang difailkan pada 18 Februari tahun ini, semua pemohon yang
menyokong usaha Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok, antara lain, mendakwa bahawa
larangan merokok tersebut bertentangan Perlembagaan Persekutuan kerana ia bukan
aktiviti jenayah dan aktiviti terbabit sah dari segi undang-undang yang dijamin
perlembagaan.
Menurut
mereka, perokok mempunyai hak sama rata dengan golongan tidak merokok untuk
mengunjungi dan meluangkan masa di premis makan.
Mereka
mendakwa rakyat Malaysia yang merokok secara konstruktifnya diketepi dan
didiskriminasi daripada mengunjungi serta menikmati kemudahan di premis makan
melalui larangan merokok dan ia bertentangan dengan peruntukan dan prinsip
undang-undang dan salah prosedur kerana responden tidak pernah berjumpa perokok
atau pihak berkepentingan bagi membincangkan penguatkuasaan larangan.
Ketika
ditemui pemberita selepas prosiding, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang
mewakili kesemua pemohon berkata beliau akan memfailkan rayuan terhadap
keputusan itu dalam masa terdekat.
Selain
Mohamed Haniff, semua pemohon turut diwakili peguam Datuk M Reza Hassan
manakala KKM diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan.
Turut
hadir dalam prosiding itu, beberapa badan bukan kerajaan termasuk Presiden
Pertubuhan Wanita Malaysia Untuk Aktiviti Kawalan tembakau dan Kesihatan
(MyWATCH) Roslizawati Md Ali. - BERNAMA
..
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.