Isteri Derhaka 3
Kita jangan keliru, apabila wanita disebut sebagai isteri, bukanlah untuk merendahkan taraf wanita itu. Ia adalah sebagai suatu jaminan hak supaya mereka itu dipelihara, dilindungi dan dibela dengan baik oleh suami.
Seorang isteri tentulah mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suami. Tanggungjawab ini adalah suatu perkara yang serius dan tidak boleh diabai-abaikan. Isteri yang mengabaikannya senang mendapat laknat dan dikhuatiri termasuk ke dalam kategori isteri derhaka.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah Radhiallahu Anha bermaksud:
“Aku pernah bertanya kepada Baginda: “Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri ?” Baginda menjawab: “Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya”.
Kemudian aku bertanya lagi :
“Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?” Baginda menjawab:” Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya.”
(Riwayat Bazar dan al-Hakim)
Dalam sebuah hadis yang lain pula Baginda bersabda bermaksud:
“Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya.”
(Riwayat Tirmizi dab Ibnu Hibban)
Jika ada para isteri yang tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada suami dengan sebaik-baiknya, dan menganggap tanggungjawab terhadap suami itu hanya membebankan dan menyusahkan dirinya, maka isteri yang sedemikian itu dikhuatiri termasuk di dalam kategori isteri yang menderhaka atau nusyuz.
Apakah ciri atau tanda isteri yang derhaka itu? Ini perlu diketahui semata-mata untuk dijadikan langkah waspada agar para isteri terhindar daripadanya.
Berikut diketengahkan antara ciri atau tanda isteri derhaka:
1. Tidak mensyukuri kebaikan yang dilakukan suami
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bermaksud:
“Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita.
Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam ditanya: “Mengapa demikian ya Rasulullah?”
Baginda menjawab:
“Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup.”
(Riwayat al-Bukhari)
Dalam hadis yang lain Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda bermaksud:
“Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita.” Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: “Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?” Baginda menjawab : “Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya.”
(Riwayat Muslim)
Ibnu Asakir pula menyebut:
“Apabila seorang isteri berkata kepada suaminya, aku belum pun melihat atau merasa nikmat pemberian daripadamu, maka ketika itu gugurlah segala pahala amalan kebajikannya.”
2. Menyakiti hati suami
Isteri yang suka menyakiti hati suami akan menerima balasan buruk sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:
” Seorang wanita menyakiti suaminya, maka isterinya yang bidadari itu berkata: Janganlah kamu menyakitinya semoga Allah mengutukmu, kerana dia (suami) itu disampingmu hanyalah sebagai orang asing yang akan berpisah denganmu menuju kami.”
(Riwayat Ibnu Majah)
3. Puasa sunat tanpa keizinan suami
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:
“Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
4. Keluar rumah tanpa izin suami
“Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali.”
(Diriwayatkan oleh Thabarani di dalam al-Awsat)
5. Meminta cerai daripada suami
Sabda Rasulallah sallallahu Alaihi Wasallam bermaksud:
“Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syara haram baginya bau syurga.”
(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
6. Isteri yang tidak menunaikan hajat suami
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:
“Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Demikian sebahagian daripada ciri-ciri atau tanda isteri derhaka dan balasan buruk yang akan diterima di akhirat nanti. Semoga ianya akan memberikan manfaat dan kesedaran bagi kita semua, khususnya kaum isteri.
Jika dilihat berdasarkan hukum feqah terdapat 9 ciri-ciri isteri derhaka (nusyuz) :
Pertama : Keluar dari rumah tanpa keizinan suaminya.
Isteri wajib meminta kebenaran suami jika hendak keluar rumah terkecuali daripada keadaan ini apabila isteri keluar berjumpa qadi untuk menuntut hak, mencari nafkah apabila suami tidak berkemampuan memberi nafkah kepadanya, meminta fatwa atau hukum jika sekiranya suaminya bukan seorang faqih dalam bidang agama.
Isteri perlu meminta izin untuk keluar rumah menziarahi kedua ibu bapanya atau ingin melihat jenazah ibu atau bapanya atau anaknya (yang tidak tinggal bersamanya).
Kedua : Enggan mengikut suami berpindah ke negeri lain tanpa ada keuzuran yang dibenarkan syarak .
Jika diizinkan syarak seperti isteri sakit atau perjalanan menuju ke negeri tersebut tidak aman atau suami berpindah ke negeri yang ditimpa wabak atau taun maka barulah isteri boleh tidak mengikut kehendak suaminya.
Ketiga : Menyakiti hati suami .
Isteri yang suka menyakiti hati suaminya, suka berbantah-bantah atau tidak membukakan pintu untuk suami masuk ke rumah atau ke bilik dengan tujuan menyakiti hatinya adalah berdosa besar.
Ibnu ‘Asakir pula menyebut: “Apabila seorang isteri berkata kepada suaminya, aku belum pun melihat atau merasa nikmat pemberian daripadamu, maka ketika itu gugurlah segala pahala amalan kebajikannya.”
Keempat : Tidak menyerahkan diri pada suami ketika suami hajat bersama.
Ketika suami berhajat kepadanya dia engan melayan hajat suaminya tanpa ada keuzuran seperti sakit. Setakat malas atau tak ada keinginan bukan alasan yang menasabah.
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam maksudnya : “Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kelima : Tidak mengendahkan panggilan suami kerana sibuk dengan keperluannya.
Isteri tidak boleh mengutamakan pekerjaan lain walaupun sebuk macamana perlu melayan panggilan suami kerana memenuhi keperluan suami adalah wajib melainkan isteri sedang solat fardu maka ketika ini tak perlu menyahut panggolan suami.
Keenam : Isteri membuat fitnah kepada suaminya.
Isteri cuba memfitnah atau mendakwa suaminya telah mentalaknya sedangkan dakwaan tersebut adalah palsu. atau isteri menuduh tanpa bukti yang sahih bahawa suaminya ada perhubungan dengan wanita lain. Lebih besar dosanya jika fitnah tersebut di sebarkan di internet dan whatsapp kepada rakan-rakannya.
Ketujuh : Isteri minta cerai tanpa alasan yang dibenarkan syarak.
Jika isteri meminta cerai kerana alasan suami berhajat berpoligami.bukanlah alasan yang syrie.
Sabda Rasulallah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud : “Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syarak haram baginya bau syurga.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Kelapan : Isteri merahsiakan perhubungannya dengan lelaki lain.
Isteri selalu chatting, talipon , whatsapp dan hantar pesanan ringkas tanpa pengetahuan suami untuk berseronok-seronok dan menceritakan aib suaminya kepada lelaki yang bukan mahramnya.
Kesembilan: Puasa sunat tanpa keizinan suami dan memasukkan seorang lelaki tanpa izin suaminya.
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud :
“Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Walaupun lelaki yang datang kerumah isteri tersebut adalah terdiri daripada mahramnya. Tetapi jika suami tidak ada halangan di atas kehadiran mereka tidak menjadi masaalah .
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.