KEMPEN
KESEDARAN WASPADA PEMBELIAN UBAT DALAM TALIAN
Ledakan teknologi
moden telah memberikan impak yang amat besar kepada pengguna khususnya dalam
sektor kesihatan. Hasil perkembangan teknologi ini dapat dilihat melalui
pekembangan aktiviti-aktiviti dan iklan-iklan yang berkaitan kesihatan. Pada
masa yang sama, mekanisme perniagaan secara konvensional telah beralih kepada
perniagaan secara dalam talian termasuklah penjualan ubat-ubatan yang semakin
berleluasa.
Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) memandang serius penjualan ubat ubatan secara dalam talian dan
pengiklanan ubat-ubatan dengan pelbagai tuntutan yang diragui kesahihannya.
Pengguna didedahkan kepada risiko mendapat ubat tidak berdaftar, ubat tiruan
dan ubat dicampurpalsu Racun Berjadual yang boleh mengancam nyawa. Justeru
pengguna perlu berwaspada apabila membuat pembelian ubat dalam talian.
Atas dasar ini, KKM
melalui Program Perkhidmatan Farmasi terus mempergiatkan usaha dalam memberikan
kesedaran kepada pengguna melalui Kempen Kesedaran Waspada Pembelian Ubat Dalam
Talian sepanjang Oktober 2019. Kempen kesedaran dengan tag line #biarbetuliklanni!
akan turut dijalankan sewaktu Program Santuni Rakyat, Kenali Ubat Anda pada 5
Oktober 2019 di Dewan Dato’ Penggawa Permatang, Kuala Selangor.
Kempen ini diadakan
bertujuan memberi pendidikan kepada pengguna tentang risiko pembelian ubat
secara dalam talian dan membolehkan mereka membuat pertimbangan wajar dengan
menyemak terlebih dahulu semua maklumat yang terkandung dalam iklan ubat di
Internet.
Antara aktiviti yang
akan dijalankan sepanjang kempen ini adalah sebaran infografik di laman sosial
rasmi KKM, sebaran mesej melalui aplikasi Whatsapp, ceramah, pameran dan
wawancara di radio dan televisyen.
Hashtag #biarbetuliklanni!
merupakan tag line yang dipilih dalam kempen ini bertujuan untuk
menerapkan kewaspadaan di kalangan pengguna supaya tidak mudah percaya
iklan-iklan ubat dan pelbagai testimoni yang meragukan di internet. Pengguna
juga digalakkan untuk turut sama menularkan infografik waspada pembelian ubat
dalam talian serta tagline #biarbetuliklanni! Bagi tanda sokongan terhadap
kempen ini.
Melalui kempen ini
juga pelbagai tips yang berguna sebelum membuat pembelian ubat dalam talian
dapat diaplikasikan iaitu pengguna perlu menyemak terlebih dahulu status
pendaftaran ubat-ubatan dengan memastikan ubat-ubatan tersebut telah berdaftar
dengan KKM. Seterusnya membuat semakan pengiklanan ubat-ubatan tersebut dan
memastikan pengiklanannya telah diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat (LIU). Orang
awam boleh merujuk Ahli Farmasi iaitu ‘Rakan Ubat Anda’ sekiranya benar-benar
ingin membuat pembelian ubat-ubatan melalui dalam talian.
Orang awam dan pihak
media boleh mengemukakan aduan dan menyalurkan
maklumat mengenai
penjualan atau pengiklanan ubat dalam talian yang disyaki meragukan melalui
laman sesawang https://www.pharmacy.gov.my ATAU melalui portal
Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat https://moh.spab.gov.my ATAU mana-mana
Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200
agar tindakan sewajarnya dapat diambil oleh pihak KKM bagi membanteras
penjualan dan pengiklanan produk-produk dilarang di pasaran.
Datuk
Dr Noor Hisham Bin Abdullah
Ketua
Pengarah Kesihatan Malaysia
1
Oktober 2019
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.