Total Pageviews

Wednesday, 7 June 2017

pesakit barah kahwin penuh meriah



Cinta tak luntur, pesakit barah kahwin penuh meriah


Ia ibarat seperti mimpi apabila Chris Clark, 41, pesakit kanser mencadang­kan kepada teman wanitanya, Charlotte, 30, mengenai perkahwinan itu selepas mengetahui penyakitnya tidak boleh diubati.

Dengan bantuan keluarga dan rakan-rakan, majlis perkahwinan yang hanya mengambil masa 10 hari dilaksanakan seperti apa yang pasangan pengantin ini impikan.

Sebelum itu, Charlotte menyiapkan buku skrap dalam talian mengenai impian perkahwinannya sebelum Chris ditimpa pe­nyakit, sekali gus membantu dia melaksanakan majlis perkahwinan dengan segera.

Menurut Chris, dia hanya mempunyai beberapa bulan untuk hidup selepas doktor di Hospital Warwick memberitau me­ngenai kanser perutnya itu.

Dia mula mengalami sakit ketika bercuti selain letih dan hilang selera makan. Selepas satu siri ujian, Chris yang juga seorang jurugambar disahkan menghidap kanser pering­kat kedua pada Julai 2012. Pasangan dari Offchurch berhampiran Leamington, Warwickshire itu mendapati penyakit dihidapi Chris tidak boleh diubati.

“Saya mahu berkahwin dengan Charlotte walaupun doktor memberitahu penyakit ini tidak boleh diubati,” katanya. Chris dan Charlotte duduk di bilik menunggu hospital selama lima minit. Dalam keadaan terkejut itu, Chris mengajukan soal perkahwinan kepada Charlotte. Beberapa minit selepas itu, dia terbaring di katil hospital menjalani ujian lain yang meletihkan. Keluarga dan rakan sudah dimaklumkan mengenai penyakit itu sebelum pasangan itu menyampaikan berita gembira pula.

Menurut Charlotte, pertunangan mereka tetap akan diteruskan namun persoalannya, ‘bila’. Selepas lamaran itu, Chris berpendapat mahu mengadakan majlis perkahwinan yang ringkas dan segera di pejabat pendaftar.

Tetapi ia bertentangan dengan apa yang Charlotte harapkan kerana selama enam bulan sebelum Chris jatuh sakit, Charlotte merancang impiannya untuk mengadakan perkahwinan di gereja luar bandar.

Dia sudahpun menyusun buku skrap di atas talian dengan senarai impian perkahwinannya, memperincikan segala yang dia mahu di tempat berlangsungnya perkahwinan serta bakal pengapit untuk mereka bentuk pakaian perkahwinan­nya.

“Kami bersama selama enam tahun tetapi me­ngambil masa yang agak lama untuk menentukan ikatan sebenar sedang­kan kami pasti untuk mengakhirinya dengan perkahwinan.

“Walaupun Chris tidak bercakap mengenainya, saya tetap menyimpan maklumat dan gambar impian perkahwinan saya di dalam tablet.

“Apabila kami memutuskan untuk berkahwin dalam tempoh 10 hari, ia umpama satu rahmat kerana persediaan yang saya lakukan sebelum ini membolehkan semua perkara dibuat dengan mudah.

“Kami bernasib baik kerana kebanyakan keluarga dan rakan mempunyai perniagaan yang terbabit dengan majlis perkahwinan.

“Abang Chris mengendalikan perniagaan khemah, rakan saya bekerja sebagai jurugambar dan penjual bunga. Ia seperti dirancang dengan baik.

“Saya membilang hari untuk majlis yang gilang gemilang,” kata Charlotte, pekerja sosial yang bertemu Chris di sebuah majlis perkahwinan.

Keluarga dan rakan serta peniaga tempatan bersatu hati mengadakan perkahwinan ajaibnya menjadi kenyataan dalam masa 10 hari.

Pasangan bahagia itu dikahwinkan dalam satu majlis di gereja St Gregory di Offchurch, Warwickshire pada 6 Oktober 2012.

Mereka dikelilingi 100 keluarga dan rakan termasuk anak-anak Chris, Connor, 20, Logan, 17, dan Sennen, 15, daripada perkahwinan sebelumnya. Meskipun cuma mempunyai notis seminggu untuk hadir ke majlis itu, kira-kira 300 jemputan hadir berkongsi hari bahagia pasangan itu di sebuah ladang kejiranan.

Selepas perkahwinan itu, Chris yang pernah berkhidmat dalam tentera laut memulakan tujuh rawatan kemoterapi.

Kanser yang jarang berlaku itu adalah penyakit keturunan dan dia tidak tahu risiko terbabit selepas menghidapinya.

Walau bagaimanapun, Chris tetap mencabar ramalan doktor yang memberitahu dia hanya mempunyai enam bulan untuk hidup.

“Kami berharap dan berdoa agar kanser itu tidak berkembang dan cuba untuk menjalani kehidupan yang normal.

“Kami berfikir ia mung­kin menjadi 10 kali lebih teruk berbanding sekarang. Chris berasa semakin baik dan dia mampu mengharunginya. Dia sumber inspirasi saya,” kata Charlotte.

Pada 30 Jun ini, Charlotte akan me­nyertai lebih daripada 4,000 wanita yang mengambil bahagian dalam ‘Race for Life’ 10 kilometer untuk mendapatkan dana RM1.9 juta bagi projek penyelidikan Cancer Research UK.

Meskipun Chris menerima rawatan yang berterusan, dia tetap setia menemani Charlotte ketika latihan larian.

Dia juga merancang untuk menjadi orang pertama yang bersorak apabila Charlotte melepasi garisan penamat dan melengkapkan laluan sejauh 10 kilometer di Stoneleigh Park, Kenilworth, Warwickshire.


“Saya amat berbangga dengannya dan apa yang dia lakukan kerana mampu melakukan semua­nya de­ngan mudah walaupun sibuk dengan kerjaya dan bimbangkan saya. Dia membuktikan keupayaannya sebagai seorang wanita,” kata Chris. 

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.