Kuala Lumpur: Pesakit paru-paru kronik, Tan Hong Sheng, yang juga murid
pertama dan paling lama menghadiri Sekolah Dalam Hospital (SDH) Serdang,
meninggal dunia, jam 12 tengah malam kelmarin.
Mendiang Hong Sheng, 11, yang turut dikenali sebagai Adam, yang menerima rawatan di Hospital Serdang sejak awal 2011, menjadi murid perintis SDH Serdang sebaik memulakan operasi mulai awal Julai tahun sama.
Mendiang Hong Sheng, 11, yang turut dikenali sebagai Adam, yang menerima rawatan di Hospital Serdang sejak awal 2011, menjadi murid perintis SDH Serdang sebaik memulakan operasi mulai awal Julai tahun sama.
Penyelia SDH Serdang, Azizah Abdul
Aziz, berkata kehilangan kanak-kanak itu amat dirasai kerana personaliti dan
keazamannya untuk meneruskan pelajaran, walaupun menghidap penyakit kronik dan
perlu menggunakan bantuan peralatan oksigen sepanjang masa.
Sikapnya yang peramah, bersemangat dan
sentiasa ceria, selain menjadikan sesi pembelajaran dalam kelas sebagai satu
cara untuknya melupakan kesakitan dan menjalani kehidupan normal sebagai murid.
KUALA
LUMPUR 27 Nov. - Setelah sekian lama bertarung nyawa melawan penyakit kronik
paru-paru, akhirnya Tan Hong Sheng, 11, iaitu pelajar paling lama menghadiri
Sekolah Dalam Hospital (SDH) Serdang meninggal dunia tengah malam tadi.
Hong
Sheng atau lebih dikenali sebagai Adam meninggal dunia kira-kira pukul 12
tengah malam selepas kira-kira dua tahun setengah menjalani rawatan di hospital
tersebut.
Dia yang
menggunakan topeng oksigen hampir sepanjang masa itu merupakan pelajar pertama
yang memasuki sekolah berkenaan sejak beroperasi pada Julai 2011.
Menurut
Penyelia SDH Serdang, Azizah Abdul Aziz, kesungguhan Adam untuk belajar
menjadi pembakar semangat kepada sembilan guru SDH untuk melaksanakan tugas
sebagai pendidik.
"Mengajar
pelajar yang sakit adalah pengalaman baharu kepada semua guru SDH. Melihat Adam
yang begitu semangat belajar walaupun terpaksa memakai topeng oksigen sepanjang
masa, menjadi pendorong utama kami," katanya.
Tambah
Azizah, sejak mengetahui kewujudan sekolah bersebelahan wad, Adam menjadi
pesakit pertama yang mahu ke kelas walaupun kesihatannya tidak mengizinkan.
"Guru-guru
bagi subjek utama seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik
adalah mereka yang mengajar Adam menggunakan alat bantuan mengajar termasuk
komputer tablet di katilnya," katanya.
Menurutnya,
Adam menghadiri kelas setiap Isnin hingga Jumaat bermula pukul 10 pagi hingga
pukul 12 tengah hari pada sesi pagi dan pukul 2 hingga pukul 4 petang bagi sesi
seterusnya.
"Setiap
hari, 15 minit sebelum kelas bermula, Adam akan menelefon bertanya siapa guru
yang akan datang pada hari itu.
"Malah,
pada hari cuti sekalipun, Adam akan menghubungi kami meminta kami datang
mengajarnya. Kehilangan Adam amat kami rasakan," katanya yang turut
memaklumkan subjek matematik merupakan kegemaran Adam.
Sementara
itu, Penaung Hati Nurani, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman turut
mengucapkan takziah kepada keluarga Tan atas pemergian Adam.
Beliau
berkata, semangat Adam akan terus subur dan menjadi ingatan bagi golongan
pendidik di SDH.
"Aktiviti
SDH banyak membantu Adam mengisi masanya sepanjang berada di hospital.
Kesungguhannya dan keceriaannya ketika belajar memang jelas terpancar, sehingga
terlupa mengenai kesakitan yang dialaminya," katanya.
Dalam
pada itu, Ahli Jawatankuasa Hati Nurani dan guru SDH turut mengunjungi jenazah
Adam di rumah keluarganya di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
Bagi
Jawatankuasa Hati Nurani, pemergian Adam menjadi pendorong kepada usaha untuk
membuka lebih banyak kemudahan seumpama itu di seluruh negara.
Para
pendidik di SDH pula menganggap pengalaman seperti ini menjadi cabaran kepada
mereka dalam menggalas tanggungjawab mendidik kanak-kanak sakit seperti Adam.
Semangat luar biasa pelajar SDH
MENJADI
Tan Hong Sheng, 10, tidak mudah. Saat kanak-kanak lain berseronok bersama
rakan-rakan di sekolah, dia hanya bertemankan topeng oksigen yang perlu dipakai
24 jam dan berbumbungkan hospital.
Sejak
disahkan menghidap jangkitan paru-paru selepas beberapa bulan dilahirkan, Hong
Sheng kerap keluar masuk hospital. Namun, sejak bulan Jun tahun lalu, Hospital
Serdang, Selangor menjadi kediaman tetapnya sehingga kini.
Siapa sahaja
pasti tersentuh melihat keadaan anak kecil yang berasal dari Selayang, Selangor
itu. Tambah meruntun perasaan, dia tidak gemar dipanggil Hong Sheng malah mahu
orang sekeliling menggelarnya Adam. Di kepala katilnya tertera nama
'Melayu'nya, Adam Mohd. Hashim.
"Saya lagi
suka duduk hospital sebab cikgu selalu datang mengajar saya di wad. Papa juga
selalu datang dengan kakak dan nenek. Hujung minggu pula saya suka melayari
internet dan menonton televisyen," kepetahan Adam berbual membuatkan
individu di sekelilingnya kagum dengan semangat berjuang melawan sakit yang
dialaminya.
Selama menjadi
penghuni hospital tersebut untuk tempoh setahun setengah, Adam tidak pernah
tercicir dalam pelajaran. Pada awalnya, guru yang sering mengajarnya, Siti
Norashikin Mohamed Said, 47, mengakui kanak-kanak itu mengalami kesukaran untuk
memahami apa yang diajar.
"Peringkat
awal, asas matematik seperti darab dan bahagi pun Adam tidak boleh buat. Kini,
prestasinya selari dengan pelajar darjah empat di sekolah biasa. Mengajar Adam
tidak sukar kerana dia sentiasa bersemangat.
"Kadang-kadang
kalau kita bercuti atau ada urusan, dia akan telefon bertanya kenapa tidak
datang. Waktu mengajar pula dia akan fokus untuk setengah jam sahaja, lepas itu
bagi dia waktu sekejap untuk bermain atau berehat. Kemudian, saya sambung
semula hingga cukup dua jam," jelas Norashikin yang datang ke wad Adam
hampir setiap hari yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab guru Sekolah
Dalam Hospital (SDH).
Bagi Wan Nur Anis
Aina, 12, pelajaran yang dikutip selama berada di SDH Hospital Kuala Lumpur
(HKL) amat berharga. Meskipun disahkan menghidap kanser buah pinggang tahap
empat, ia sedikit pun tidak melemahkan semangat Anis mengejar cita-citanya
bergelar doktor pakar.
Selepas menjalani
pembedahan pada bulan Januari lalu, Anis berulang-alik bersama ibu bapanya dari
Segamat, Johor ke HKL setiap tiga minggu bagi menjalani rawatan kemoterapi.
Sebanyak 14 sesi kemoterapi perlu dijalani Anis dan diikuti rawatan susulan.
Ulang kaji pelajaran
"Tahun lepas saya tidak bersekolah selama setahun
dan banyak mendapat bimbingan guru-guru SDH di HKL dan mengulangkaji pelajaran
di rumah. Memang rindu untuk ke sekolah dan belajar bersama kawan-kawan tetapi
saya mudah terkena jangkitan kalau keluar rumah.
"Namun, saya
berkeras untuk menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah pada
bulan September lepas kerana ingin merasai suasana seperti pelajar biasa
walaupun diasingkan daripada kawan-kawan," kongsi Anis yang pernah
mengimpikan untuk menyambung pelajaran ke Sekolah Sukan Bukit Jalil tetapi
terpaksa melupakan hasrat tersebut ekoran sakit yang dihidapi.
Ibu Anis, Siti
Noor Mohd. Zaid, 44, memberitahu dia dan suami, Wan Abdullah Wan Mohd. Noor,
40, tidak berfikir panjang untuk meletakkan anak mereka di bawah penyeliaan
SDH. Kata Siti: "Sekurang-kurangnya waktu Anis terisi dengan sesuatu yang
berfaedah dan tidak ketinggalan pelajaran.
"Pada
awalnya memang dia agak perlahan untuk menerima sesi pembelajaran yang
dijalankan di wad tetapi lama-kelamaan, dia dapat menyesuaikan diri dan mampu
menyiapkan latihan-latihan yang diberikan guru dengan cekap."
Sementara itu,
bergelar pendidik SDH, seseorang itu perlu memiliki pengalaman sebagai guru
sekurang-kurangnya empat tahun. Mereka yang memohon kemudiannya dipanggil bagi
menjalani sesi orientasi di wad bagi melihat sendiri suasana yang bakal
ditempuhi.
Tiada paksaan
Cabaran utama
sudah tentu terletak pada cara guru SDH mendekati pesakit. Aswaniza Shamsudin,
yang mula berkhidmat di SDH HKL sejak ia dibuka menyatakan, langkah pertama
yang perlu dilakukan ialah penguasaan sesi hati ke hati antara guru dan
pelajar.
"Tiada
paksaan belajar di SDH kerana semuanya memerlukan kebenaran ibu bapa dan kesediaan
pesakit untuk belajar. Apabila mereka disahkan doktor cukup kuat untuk menerima
pelajaran, guru-guru perlu bijak membentuk minat mereka dan mengawal emosi agar
suasana pembelajaran dapat dijalankan secara tenang.
"Saya masih
ingat waktu mula-mula mengajar di SDH HKL, saya diarahkan mengajar dua beradik
yang menjadi mangsa simbahan asid. Disebabkan itu, saya perlu ke unit kebakaran
dan memakai pakaian khas yang disediakan bagi mengelakkan sebarang jangkitan.
"Bayangkan,
selalunya di sekolah saya tengok pelajar yang lengkap fizikalnya, tetapi mereka
dalam keadaan yang sangat menyayat hati. Kali pertama berdepan dengan mereka,
saya terpaksa keluar bilik tersebut dan menangis kerana tidak sanggup melihat
kesakitan yang mereka alami.
"Saya
mengambil masa selama tiga bulan untuk menguasai emosi supaya dapat menjalankan
tanggungjawab seperti biasa. Begitu juga dengan situasi apabila ada dalam
kalangan pelajar kami yang meninggal dunia.
"Kes
kematian seorang pelajar perempuan akibat kanser masih berbekas dalam ingatan
saya. Semua guru SDH tidak dapat melupakan wajahnya yang tidak pernah lekang
dengan senyuman sehingga kami semua tidak tahu bagaimana dia menanggung
kesakitan tersebut," terpapar kesedihan pada wajah Aswaniza saat
menceritakan pengalaman tersebut.
Sharifah Haslina
Syed Abd. Hamid, 33, pula menjelaskan, pendekatan menerusi alat bantuan
mengajar seperti komputer, televisyen dan buku cerita menjadikan sesi
pengajaran lebih seronok dan mencabar kreativiti guru.
"Memujuk
pelajar di hospital untuk belajar memerlukan kesabaran tinggi. Namun, secara
jujurnya, saya akui semangat pelajar-pelajar SDH lebih tinggi berbanding
pelajar di sekolah biasa. "Cabaran yang dilalui guru SDH memang perit
tetapi selepas seminggu berkhidmat, saya mula menghargai kehidupan dan melihat
segala perkara di sekeliling sebagai satu kitaran perjalanan yang indah,"
luah Haslina yang mengajar bahasa Inggeris di SDH HKL.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.