Total Pageviews

Wednesday, 7 June 2017

Artis veteran kena kanser


DI kala tubuh merengkok menahan kesakitan, gemerlap kerlipan bintang tiada gunanya lagi melainkan memohon kepada Ilahi agar diberi semula kekuatan tubuh badan, kecergasan akal dan fikiran bagi menjalani kehidupan seperti biasa. Hati juga akan berbunga riang kala berhadapan ujian Ilahi apabila ada rakan taulan datang bertanya khabar meringankan beban yang ditanggung. Sehubungan itu, baru-baru ini, Persatuan Seniman Malaysia diketuai Presiden barunya, Harun Salim Bachik, melawat seniman dan seniwati yang kurang sihat dan masih terlantar di katil bertanyar khabar sambil menghulurkan sedikit sumbangan.

Mereka yang menerima kunjungan pada hari itu, Latifah Omar, 72, yang baru keluar dari Pusat Rawatan Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur; M Rajoli, 64, dan Kamal Pendek, 58, yang masih mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Hati juga akan berbunga riang kala berhadapan ujian Ilahi apabila ada rakan taulan datang bertanya khabar meringankan beban yang ditanggung.

Sehubungan itu, baru-baru ini, Persatuan Seniman Malaysia diketuai Presiden barunya, Harun Salim Bachik, melawat seniman dan seniwati yang kurang sihat dan masih terlantar di katil bertanyar khabar sambil menghulurkan sedikit sumbangan. Mereka yang menerima kunjungan pada hari itu, Latifah Omar, 72, yang baru keluar dari Pusat Rawatan Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur; M Rajoli, 64, dan Kamal Pendek, 58, yang masih mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Turut serta dalam rombongan ziarah itu, Timbalan Presiden Seniman, Shahriza Mahmud; Bendahari (merangkap Pengerusi Biro Kebajikan Seniman), Wafa Abdul Kadir; Timbalan Pengerusi Biro Kebajikan, Rena Tan; Penasihat Undang-Undang Seniman, Ghazali Datuk Hamid; Ahli Jawatankuasa Kecil Biro Keahlian, Zazly Majid, Adira Wahinnur dan Saddiq Raffali.
Latifah yang kini menetap menetap bersama anak bongsunya, Hashima Khairuddin, 25, di kawasan perumahan Program Perumahan Rakyat (PPR), Jalan Semarak menghidap pelbagai penyakit termasuk kencing manis, darah tinggi dan ulser dalam perut. Beliau yang terpaksa berjalan menggunakan tongkat baru dua minggu keluar dari hospital. Banyak makanan kegemarannya terpaksa dilupakannya termasuk kesukaan minum ais.

Filem terakhir lakonannya sebelum bersara dari bidang seni, Hati Batu (1967) dan Putus Sudah Kasih Sayang. Beliau sanggup mengundurkan diri dari dunia seni kerana keluarga dan anak yang ketika itu masih kecil memerlukan perhatiannya. Dalam nada perlahan, jelas Latifah, dia lebih selesa menjadi orang biasa daripada bergelar anak seni kerana tidak suka setiap tindak-tanduk dan pergerakannya diperhatikan masyarakat. "Kadang teringin hendak makan di gerai tepi jalan, tetapi segan kerana orang asyik pandang kita makan.

Hendak menelan pun terasa makanan tersekat di kerongkong. Waktu sihat dulu, selalu juga makan di luar dan ada yang masih perasan siapa saya. Bukan sombong cuma kekok apabila orang tidak putus memandang saya. "Sejak keluar hospital dua minggu lalu, sekarang dah boleh makan makanan pejal. Sebelum itu saya hanya makan bubur," katanya. Imbas kenangan zaman mudanya dulu, Latifah berkata apabila dia terkenang semula ketika aktif berlakon keletihan menjalar ke segenap urat kerana terpaksa menunggu lama menunggu di lokasi.

"Sudahlah letih, panas pula. Tetapi waktu itu saya tidak begitu terasa keperitannya kerana minat. Namun apabila teringat semula waktu itu, betapa banyak masa dihabiskan di lokasi. "Selepas berkahwin dan dikurniakan anak, saya ambil keputusan tumpukan kepada rumah tangga. Saya berhenti berlakon pada usia 28 tahun. "Meskipun saya tidak berlakon banyak filem, peminat terus mengingati saya," katanya. Kamal pula sudah dua minggu terlantar di HKL kerana masalah tulang belakang bengkok.

Sepuluh tahun lalu beliau terjatuh dan kesan kesakitan di belakang terasa sehingga sekarang. "Empat lima tahun kebelakangan ini kesakitannya semakin menjadi menyebabkan saya tidak senang duduk. Hendak bekerja pun susah. "Sebaik dimasukkan ke HKL, doktor menebuk belakang untuk memasukkan besi sepanjang enam inci. Rentetan daripada itu timbul pula penyakit lain. Saya juga ada masalah kencing berdarah. "Sekarang langsung tidak boleh berjalan dan sedang menjalani rawatan psikoterapi.

Saya tidak tahu berapa lama perlu mendapatkan rawatan di sini. Apapun terima masih kepada kawan-kawan yang datang melawat saya pada hari ini. "Doakan saya segera sembuh dan dapat berjalan macam dulu," katanya. Pelakon veteran serba boleh, M Rajoli walaupun dikatakan penyakit
kanser kelenjar yang dihidapinya tiga tahun lalu sudah sembuh namun beliau terus terlantar di katil. Beliau kini dijaga isteri pertamanya, Hashimah Md Din, 54, di rumah mereka di Keramat.

Jelas Hashimah, menurut doktor, tiada lagi ketumbuhan dalam kepalanya, tetapi mungkin kesan daripada kimoterapi dan ubatan beliau tidak boleh bergerak langsung lagi. "Sepatutnya Abang terpaksa menjalani rawatan kimoterapi sebanyak 10 kali, tetapi arwah emak Abang tidak mahu beliau meneruskan rawatan itu. Jadi Abang hanya menjalani rawatan kimoterapi empat kali saja. Menurut doktor tiada lagi ketumbuhan pada kepalanya, tetapi sehingga sekarang dia tidak boleh bergerak. "Segala keperluan makan minumnya saya yang uruskan. Abang juga pakai lampin pakai buang sepanjang masa.

Apabila anak balik kerja sebelah petang, kami mengangkatnya ke bilik air untuk memandikannya. "Adakala Abang kenal orang, masa yang lain dia tidak ingat siapa. Kadang apabila ada kawan datang melawatnya dia bercakap sepatah dua, kadang dia mendiamkan diri saja. "Masa mula jatuh sakit dulu, apabila tengok drama lakonannya dia ingat tempat penggambaran itu di mana sekarang. Dia kata penat berlakon," katanya. Tambah Hashimah, baru-baru ini, mereka anak beranak membawanya bercuti dengan menggunakan kerusi roda. "Sekarang Abang dah macam budak kecil.

Jika saya cuba dudukkan dia di atas katil pun, tak lama kemudian dia akan terbaring semula. Mujur ada kerusi roda, dapatlah kami membawanya menghirup udara luar sekali-sekala. Kasihan juga asyik terbaring di katil," katanya. Perkahwinan M Rajoli dan Hashimah, mereka dikurniakan empat anak dan kini ada enam cucu. Harun berkata, rombongan ziarah itu akan dilakukan dari semasa ke semasa. Bukan melawat yang sakit saja, malah kepada ahli Seniman yang sihat walafiat pun akan diadakan aktiviti khusus untuk mereka bagi merapatkan hubungan.

"Insya-Allah kami akan mengadakan Hari Keluarga Seniman. Kami juga akan meneruskan apa yang sudah dilakukan oleh barisan kepimpinan yang lalu seperti meneruskan skim bantuan galakkan kepada anak ahli yang cemerlang dalam pelajaran untuk terus menempa kejayaan pada masa depan. "Setiap anak ahli yang berjaya dalam pelajaran akan diberi RM150 hingga RM200 sebulan selama setahun. "Kami juga baru berurusan dengan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) supaya karyawan seni ada simpanan untuk masa depan.

"Seniman juga perkenalkan Insurans Senicare (Takaful Etiqa) yang diuruskan syarikat perunding insuran, CBS Group. "Apabila memerlukan rawatan atau terpaksa dimasukkan di hospital mereka tiada bimbang lagi kerana ada perlindungan insurans. "Insurans secara berkelompok ini bayarannya lebih murah dan Alhamdulillah ia mendapat sambutan ahli. Di samping itu, Seniman akan terus membantu sedaya yang boleh. Kepada artis baru, beringat dan berjimat cermat di kala sedang mengecapi kemewahan. Jangan boros berbelanja," katanya.

Dalam pada itu, ada pihak sudi menaja Seniman menerbitkan program khusus mengingati jasa dan budi seniman dan seniwati veteran. "Program itu masih dalam perancangan dan kami akan bertemu stesen televisyen untuk berbincang menjadikannya program televisyen. Jika tiada yang sudi membeli, Seniman akan memberinya kepada Arkib Negara untuk dijadikan sumber rujukan kepada generasi muda. "Seniman juga akan menerbitkan buku khas untuk mereka dan bakal diedarkan di sekolah dan pusat pengajian tinggi.

Biarlah kita buat sesuatu selagi hayat mereka masih ada. Hendak balas jasa pun, sekarang adalah masa terbaik, bukannya selepas tercacak dua batu nesan di pusara," katanya. Program musim pertama itu akan ditonjolkan 13 seniman dan seniwati - Latifah Omar, Datuk Ahmad Nawab, Datuk Sarimah Ahmad, Datuk Maria Menado, Mat Sentul, Wahid Satay, Momok Latif,Mariani Ismail, Datin Rosnani Jamil, Datin Umi Kalsom, Salmah Ahmad, R Ismail dan Kassim Masdor.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.