Total Pageviews

Wednesday, 21 June 2017

MAKANAN SIHAT DAN SELAMAT UNTUK RAMADHAN SIHAT

MAKANAN SIHAT DAN SELAMAT UNTUK RAMADHAN SIHAT



Bulan mulia kembali lagi dan saat berbuka pasti menggembirakan setelah seharian berpuasa. Juadah Bazar Ramadhan pasti menjadi tumpuan selain gerai, restoran dan hotel-hotel yang menyediakan juadah berbuka puasa. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menasihatkan agar orang ramai sentiasa peka terhadap kesihatan mereka dan anggota keluarga mereka terutamanya dalam memilih makanan yang sihat dan selamat dari kejadian keracunan makanan. Pencemaran makanan boleh berlaku apabila makanan disediakan dalam keadaan tidak bersih atau dimakan melebihi 4 jam selepas disediakan yang disimpan pada suhu bilik.

Jadilah pengguna yang bijak dan mengutamakan kesihatan, kebersihan, keselamatan dan kualiti makanan sebelum menikmati juadah yang dibeli untuk berbuka puasa:

· Pilih makanan yang dijual oleh penjual yang mengamalkan kebersihan.

· Menegur penjual yang tidak mengamalkan kebersihan serta melaporkan premis yang kotor kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau Pihak Berkuasa Tempatan terdekat.

· Beli juadah hanya mengikut keperluan, bagi mengelakkan pengambilan kalori yang berlebihan. Untuk lebih mudah, sentiasa amalkan “suku suku separuh” dalam setiap hidangan yang diambil (Suku – nasi atau sumber karbohidrat yang lain, suku – sumber protein seperti ikan, dan separuh – sayur dan buah).

· Kurangkan membeli makanan yang bergoreng dan bergula, serta minuman manis.

· Beli pelbagai jenis buah-buahan bagi menggantikan kuih-muih yang manis.

· Pastikan sayur-sayuran dimasukkan dalam senarai makanan yang dibeli.

· Makanan yang hendak dimakan lewat malam atau semasa sahur hendaklah dipanaskan dengan sempurna. · Sentiasa amalkan “Lihat, bau dan rasa” sebelum menikmati makanan.

Para peniaga makanan untuk juadah berbuka puasa perlu sentiasa bertanggung jawab dengan mengamalkan kebersihan dalam pengendalian makanan selamat bagi memastikan makanan yang mereka sediakan tidak menyebabkan keracunan makanan. Semoga kita sentiasa sihat melalui pemilihan makanan sihat dan selamat sepanjang bulan yang mulia ini.

Sekian, terima kasih.

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
31 Mei 2017


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.