Total Pageviews

Wednesday 7 June 2017

Barah bukan penamat hayat


Kanser adalah penyakit yang sungguh menakutkan, apatah lagi jika ia berlaku pada kanak-kanak kecil. Bagi kebanyakan orang, apabila didiagnosis menghidap kanser, ia seolah-olah petanda hukuman mati. Namun, kemajuan dalam bidang perubatan banyak mengubah persepsi negatif ini. Kemajuan paling menonjol adalah dalam bidang rawatan kanser kanak-kanak. Jika dulu peluang untuk sembuh adalah tipis, sekarang bagi sesetengah jenis kanser kanak-kanak seperti tumor Wilm’s dan kanser kelenjar, Hodgkin’s Lymphoma, peluang untuk sembuh adalah melebihi 90 peratus. Ini satu pencapaian memberangsangkan untuk penyakit yang satu ketika dulu tidak mampu diubati. Pakar Perunding Kanan Pediatrik, Hematologi dan Onkologi Pediatrik di Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Hishamshah Mohd Ibrahim berkata, kanser adalah penyebab kematian ketiga paling tinggi dalam kalangan kanak-kanak di hospital kerajaan di negara ini pada 2009. Peranan kanser dalam menyebabkan kematian semakin menonjol dari tahun ke tahun apabila status negara kita semakin maju. Apabila Malaysia semakin maju, pola penyakit juga akan berubah dengan lebih ramai rakyat kita menghidap penyakit kronik, termasuk kanser. Setiap tahun di Malaysia, dianggarkan 1,163 kanak-kanak menghidap kanser. Risiko untuk kanak-kanak berumur kurang 15 tahun mendapat kanser ialah satu dalam 867. Kanser paling kerap berlaku pada kanak-kanak berumur kurang dari lima tahun iaitu sebanyak 49 peratus, diikuti kanak-kanak berumur antara lima hingga 10 tahun iaitu 28 peratus dan selebihnya berumur antara 10 hingga 15 tahun.
“Kanak-kanak lelaki lebih banyak menghidap kanser berbanding perempuan pada nisbah 1.13:1.

“Jenis kanser kanak-kanak paling kerap berlaku di Malaysia ialah leukemia atau barah sel darah putih yang mencatat 43 peratus pesakit, diikuti barah otak sebanyak 18.1 peratus, barah kelenjar limfa iaitu 7.5 peratus, neuroblastoma sebanyak 5.9 peratus dan tumor sel benih pula mencatat 5.1 peratus.

“Barah buah pinggang mencatat 4.7 peratus, barah sarcoma (4.7 peratus), barah mata (4.3 peratus), barah tulang (3.1 peratus), barah carcinoma (1.6 peratus), barah hati (1.4 peratus) dan lain-lain (0.2 peratus),” katanya.

Hishamshah berkata, secara amnya jenis kanser di negara ini hampir serupa dengan di negara maju. Contohnya di Amerika Syarikat, kanser adalah penyebab utama kematian di kalangan kanak-kanak negara berkenaan. Tanda awal penyakit kanser kanak-kanak banyak bergantung kepada jenis kanser dihidapi. Antara tanda yang sering ditemui ialah demam berpanjangan serta berulang- ulang, pendarahan spontan pada gusi dan bawah kulit, keadaan pucat atau kurang darah merah, bengkak atau benjol di bahagian tertentu tubuh, sakit kepala serta muntah berterusan dan bagi anak kecil menghadapi keadaan mata juling dan reflek dikenali sebagai ‘white- eye’. Jika ibu bapa mendapati tanda itu ada pada anak mereka, segera dapatkan pemeriksaan doktor di hospital untuk pemeriksaan lanjut. Di hospital, doktor akan membuat pemerhatian lanjut selain menjalankan beberapa penyiasatan makmal tertentu untuk mendapatkan diagnosa.

Selepas dikenal pasti diagnosis dan peringkat penyakit, sesi perbincangan akan diadakan bersama ibu bapa pesakit untuk membincangkan protokol rawatan bersesuaian yang akan diperlukan pesakit. “Secara amnya, jika pesakit kanser datang pada peringkat awal sebelum kansernya merebak, peluang untuk sembuh adalah cerah. “Kejayaan mengubat penyakit kanser juga semakin meningkat daripada tahun ke tahun. Syaratnya ialah datang awal dan dapatkan keseluruhan rawatan disyorkan serta jangan berhenti separuh jalan.

“Rawatan penyakit kanser lazimnya menggunakan kombinasi pelbagai kaedah. Antara kaedah utama digunakan ialah pembedahan untuk membuang ketumbuhan kanser, ubat kemoterapi untuk menghapuskan sel kanser, rawatan radiasi untuk memusnahkan sisa sel kanser dan ubat jenis baru seperti Imatinib,” katanya.

Sesetengah kanser seperti leukimia tidak memerlukan pembedahan dan dirawat secara lazimnya menggunakan ubat kemoterapi saja. Manakala, kanser dari jenis organ dan tisu seperti barah ginjal atau barah tulang pula mesti dibedah, selain diberi ubat kemoterapi. Rawatan radiasi pula diberi untuk sisa kanser yang tidak boleh dirawat sepenuhnya dengan kemoterapi dan pembedahan. Rawatan kanser tulang sekarang tidak memerlukan kaki atau tangan diamputasi jika dirawat pada peringkat awal. Dr Hishamshah berkata, memandangkan penyakit kanser kanak-kanak memerlukan rawatan rumit dan kompleks, kebanyakan pesakit perlu dirawat di hospital kerajaan atau hospital universiti tertentu.

Pengalaman di negara maju membuktikan kadar pulih dan kualiti penjagaan akan menjadi lebih baik dan terjamin jika diberikan di pusat rawatan khusus. Di Malaysia, pusat rawatan utama untuk kanak-kanak menghidap kanser adalah di Institut Pediatrik HKL yang juga pusat rujukan negara, manakala enam lagi hospital wilayah dikenal pasti menyediakan pusat rawatan pesakit khusus untuk kanser kanak-kanak. Hospital itu ialah Hospital Umum Kuching, Sarawak; Hospital Sultan Ismail, Johor; Hospital Pulau Pinang; Hospital Pakar Likas, Sabah; Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak; dan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu. 

Dengan tertubuhnya jaringan antara pusat rawatan di ibu negara dan hospital wilayah berkenaan di seluruh negara, pesakit kanser kanak-kanak diharap dapat dirawat lebih dekat dengan kampung halaman, keluarga tersayang dan rakan mereka.

“Selain jaringan hospital kerajaan, hospital universiti seperti Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) memberi perkhidmatan sama sejak dulu lagi kepada pesakit kanser kanak-kanak, terutama di Lembah Klang dan Kubang Kerian, Kelantan.

“Institut Pediatrik HKL menawarkan perkhidmatan melalui rawatan pesakit dalam, Unit Rawatan Harian dan Klinik Pakar Kanak-kanak.
“Hanya satu hospital pakar swasta memberi perkhidmatan rawatan pakar kanser kanak-kanak di negara ini tetapi kos rawatannya tinggi,” katanya.

Hishamshah berkata, walaupun rawatan moden di hospital kerajaan dan universiti mampu merawat sebahagian besar pesakit kanser kanak-kanak, pelbagai kaedah rawatan lain ditawarkan oleh pengamal perubatan alternatif atau tradisional. Ibu bapa dinasihatkan berwaspada jika dijanjikan kanser sembuh 100 peratus dengan rawatan yang samar-samar cara pengubatannya. Malah, harga untuk rawatan alternatif pula bukan murah dan kadangkala mencecah angka ribuan ringgit dan perlu pula datang berulang-ulang. Perlu diingat, ubat kemoterapi moden sebahagian besarnya berasal daripada tumbuh-tumbuhan tetapi diproses dan diambil intipatinya yang tulen untuk digunakan dalam dos yang terkawal. Cara rawatan pula digunakan oleh berpuluh ribu orang di seluruh dunia sejak berpuluh tahun lalu dan keberkesanannya juga dibuktikan melalui kajian saintifik.

“Banyak kejadian menyedihkan apabila pesakit mendapatkan rawatan alternatif tetapi tidak sembuh dan hanya datang ke hospital selepas penyakit melarat pada peringkat tidak boleh diubati lagi.

“Ada juga pesakit berhenti separuh jalan kerana kurang yakin dengan rawatan hospital untuk mendapatkan khidmat rawatan alternatif yang diragui keberkesanannya. Akhirnya, mereka kembali juga ke hospital selepas penyakit anak tidak sembuh.

“Oleh itu, ibu bapa dinasihatkan berbincang dulu dengan teliti bersama doktor pakar penyakit kanser sebelum membuat keputusan menerima apa jua jenis rawatan untuk anak mereka. 

“Bukti keberkesanan rawatan moden di hospital jelas boleh dilihat pada mereka yang sembuh, sama ada di luar negara atau tempatan, dan bilangan mereka juga semakin bertambah,” katanya.

Hishamshah berkata, kini bilangan pesakit kanser kanak-kanak yang sembuh bertambah dan dianggarkan pada 2006 saja seorang dalam 640 orang dewasa di negara maju adalah bekas kanak-kanak pesakit kanser.

“Kita di Malaysia juga tidak jauh ketinggalan. Ramai antara pesakit kanser kanak-kanak tempatan yang dewasa dan memasuki universiti, ada yang berkahwin dan seterusnya melahirkan anak yang sempurna sifatnya serta sihat.

“Mereka bekerja seperti orang lain dan menjadi anggota masyarakat yang menyumbang dan berjasa kepada negara. Perkembangan sedemikian sangat memberangsangkan dan memberi semangat kepada pesakit kanser baru.


“Selain itu, harapan dan jangkaan masyarakat kita dari segi keupayaan dan kecanggihan rawatan yang ditawarkan di hospital kerajaan semakin meningkat, selaras dengan kemajuan dalam bidang perubatan moden,” katanya.

Maklumat diperoleh menerusi Internet mendedahkan masyarakat Malaysia kepada kemajuan perubatan di negara maju dan berharap rawatan sama akan turut disediakan institusi tempatan.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.