Kanser tidak kenal sesiapa…
Bekas Naib Canselor Meninggal Dunia
SERDANG: Bekas Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM)
Datuk Prof Radin Umar Radin Sohadi, 53, meninggal dunia di Hospital Serdang di
sini, Ahad.
Bernama melaporkan bahawa menurut anaknya, Mundzir, 27,
Allahyarham bapanya yang pernah menjalani pembedahan hati sebelum ini,
meninggal dunia akibat kegagalan fungsi hati pukul 4.15 pagi.
Beliau berkata Allahyarham pernah
menerima rawatan berkaitan kanser
beberapa kali di Hospital Kuala Lumpur serta Hospital Selayang sejak 2010, dan
dibawa pulang ke rumahnya di Taman Asa Jaya, Kajang, dari Hospital Serdang
beberapa minggu lepas.
Allahyarham yang dilantik menjadi
ketua pengarah Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang
pertama pada 2007 meletak jawatan sebagai naib canselor UPM Disember lepas
akibat masalah kesihatan.
Allahyarham juga pernah menerima
anugerah 'The Prince Michael International Road Safety Award' sebagai
pengiktirafan terhadap sumbangan dan inovasi beliau dalam kemajuan jalan raya
pada 2005.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan
di Masjid UPM sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam berhampiran masjid
itu pada pukul 11 pagi.
Allahyarham meninggalkan seorang
isteri dan lima anak.
Sementara itu, Menteri Besar Johor,
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan kematian Dr Radin Umar sebagai
satu kehilangan besar kepada negara.
"Beliau adalah penggerak di
kementerian pengajian tinggi ketika berkhidmat sebagai Ketua Pengarah,"
kata beliau.
Bagi Naib Canselor Universiti
Kebangsaan Malaysia, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin
berkata, Dr Radin Umar mempunyai kebolehan mengetengahkan bakat dalam diri
seseorang demi menjayakan pelan strategik pendidikan.
Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr
Mohd Fauzi Ramlan berkata universiti itu kehilangan seorang sahabat baik,
pemimpin dan mentor.
"Kami akan meneruskan legasi
kecemerlangan yang dilakukan beliau di UPM," katanya.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang turut pernah berkhidmat sebagai
Menteri Pendidikan Tinggi berkata, Dr Radin Umar adalah seorang ahli akademik
yang cemerlang, profesional dan berwibawa.
Naib Canselor dan Presiden Taylor
Universiti, Prof Datuk Dr Hassan Said yang mengenali Dr Radin Umar selama
bertahun-tahun berkata, Allahyarham berjaya memperkenalkan banyak strategi
untuk mengukuhkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi.
Prof Hassan yang sebelum ini
berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi menyifatkan Dr
Radin Umar sebagai pakar terkemuka dalam hal ehwal keselamatan jalan raya.
Dr Radin Umar yang mempunyai
pengkhususan dalam bidang kejuruteraan keselamatan jalan raya sebelum ini
dilantik oleh Kabinet untuk mengetuai lembaga siasatan bebas menyiasat
kemalangan bas di Cameron Highlands pada tahun 2010.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.