Program pembangunan keusahawan berasaskan produk penyelidikan bukan perkara
baharu dan ramai dalam kalangan mereka menempa kejayaan. Antara program yang
telah mula menampakkan hasil ialah Program Pembangunan Biousahawan Siswazah
FRIM-MTDC (FMBioSis) yang merupakan inisiatif Malaysia Technology Development
Corporation (MTDC) dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
Program FMBioSis diperkenalkan pada 2008 bagi mencungkil bakat keusahawanan
dalam kalangan siswazah yang sedang mengintai peluang menceburi bidang yang
mereka inginkan.
Bagi program pertama, sebanyak 10 syarikat terbitan telah diwujudkan dengan asas perniagaan mereka berdasarkan penyelidikan yang pernah dijalankan oleh saintis FRIM. Ini termasuk herba, makanan kesihatan dan penjagaan serta dandanan diri.
Dua syarikat yang mula menapak kukuh dalam pengeluaran produk hasil
penyelidikan FRIM menerusi program tersebut ialah Nature Profusion Sdn. Bhd.
dan Nourish Care Sdn. Bhd.
Nature Profusion dibangunkan oleh Pengarah Eksekutifnya, Wan
Sabariah Shuib dan telah enam tahun terlibat menghasilkan produk
pembersih serba guna berasaskan tumbuhan dan herba.
Pada dasarnya, usaha beliau tidak sebegitu mudah tetapi berbekalkan prinsip
tidak takut gagal dan semangat yang cekal, Wan Sabariah, 30, mampu membina
perniagaan tersebut dan menjadikan syarikatnya berdiri teguh sehingga ke hari
ini.
Menurut Wan Sabariah, berbekalkan minat mendalam, beliau berusaha gigih dan
menjadikan dirinya lebih matang dan berpengetahuan luas dalam bidang yang baru
diterokainya itu.
Selain itu, beliau lebih memahami potensi pasaran dengan menghasilkan
produk yang mempunyai permintaan, berkualiti dan menarik minat pengguna.
Menjadikan tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary sebagai idola,
beliau mengakui bahawa keberanian melibatkan diri dalam bidang perniagaan bukan
sahaja perlu memiliki kesungguhan, kesabaran dan bijak malah kejujuran dan
amanah dalam melaksanakan tanggungjawab juga perlu disemai dalam hati.
Malah katanya, menjadi satu cabaran besar untuk menerokai pasaran yang
banyak persaingan dengan nama-nama yang gah di pasaran.
Beliau yakin dengan produk keluaran syarikatnya yang membawa konsep
pembersihan rumah dan diri ke arah transformasi yang lebih bersih dan selamat.
Dengan sokongan rakan perniagaan dan melalui pembacaan serta kajian
mengenai produk yang ada di pasaran, beliau yakin produk pencuci serba guna,
Ciera yang berasaskan bahan aktif daripada tumbuhan seperti ekstrak lidah buaya
dan teh hijau boleh diterima ramai.
Ini kerana bahan utama yang digunakan itu tidak mempunyai kesan buruk
jangka panjang kepada kesihatan manusia atau alam sekitar.
Jelas graduan Universiti Malaysia Terangganu (UMT) itu, pengguna perlu
menyedari tahap kebersihan rumah selepas melakukan kerja-kerja tersebut.
Ini kerana, pembersihan rumah menggunakan pencuci konvensional mengundang
risiko akibat penggunaan bahan kimia yang terkandung di dalamnya.
Sementara itu, menurut Pengarah Teknologinya, Dr. Mastura Mohtar,
bahan aktif unik daripada ekstrak lidah buaya dan teh hijau bukan sahaja membersih
malah mengharumkan serta membasmi 99.9 peratus bakteria kebal dan rentan
antibiotik dengan lebih berkesan.
Bahan utama itu juga melindungi seisi keluarga daripada jangkitan kuman.
Jelasnya, FRIM dan MTDC amat membantu syarikatnya untuk berdiri teguh dalam
menyediakan platform yang selesa untuk memulakan perniagaan serta membantu dari
segi latihan perniagaan dan promosi produk secara berterusan.
Siapa sangka dalam tempoh sesingkat enam tahun, Nature Profusion Sdn. Bhd
berjaya mengembangkan empayar dan berjaya menebusi pasaran tempatan.
Buat masa kini, produk pencuci serbaguna telah berjaya memasuki pasaran
tempatan serta mendapat permintaan yang amat menggalakkan.
Malah, beberapa syarikat besar selain FRIM dan Universiti Sains Malaysia
turut menggunakan produk tersebut.
Dalam masa sama rangkaian produk pembersihan diri dijangka memasuki pasaran
dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Wan Sabariah berharap syarikatnya akan terus melakar nama
dalam menghasilkan lebih banyak variasi produk bukan sahaja berasaskan bahan
semula jadi sebaliknya turut menghasilkan produk organik.
Pada masa akan datang, beliau berharap syarikatnya akan meneroka pasaran
antarabangsa untuk pertumbuhan perniagaan yang lebih agresif dan membina
rangkaian perniagaan di dalam dan luar negara.
Wan Sabariah turut menasihati peniaga khususnya golongan muda yang berminat
untuk menceburi bidang perniagaan agar memupuk minat dalam bidang tersebut.
“Mereka jangan mudah putus asa dengan rintangan dan cabaran selain belajar
memahami kehendak pengguna dalam memastikan produk diterima pasaran’’ ujarnya.
Oleh itu, FMBioSis wajar dilihat sebagai satu usaha kerajaan melihat lebih
ramai graduan bergelar usahawan bioteknologi dengan memanfaatkan penggunaan
hasil penyelidikan FRIM.
Program tersebut antara lain bertujuan membangunkan graduan muda yang
berpotensi dibentuk sebagai usahawan bioteknologi dengan mengkomersialkan
teknologi penyelidikan tempatan.
Program FMBioSis juga boleh dianggap sebagai platform bagi pelajar yang
bercadang untuk bekerja sendiri pada masa hadapan.
Usaha melahirkan usahawan bertujuan memanfaatkan teknologi tempatan dan
aplikasi kaedah penyelidikan dalam menghasilkan inovasi, produk dan
perkhidmatan untuk memenuhi pasaran dalam bioteknologi industri.
Menurut Wan Sabariah, minatnya dalam bidang perniagaan tidak mungkin dapat
direalisasikan sekiranya tidak mendapat sokongan dan bantuan daripada pihak
FRIM dan kesediaan MTDC memberikan bantuan modal dalam bentuk geran.
Katanya, menerusi program selama setahun itu, beliau bukan sahaja berjaya
menubuhkan sebuah syarikat yang berdaya saing malah mempelajari selok- belok
perniagaan serta pengurusan sesebuah syarikat dan bagaimana memastikan produk
tersebut diterima.
Tambahnya, program FMBioSis yang kini diperluaskan di kebanyakan universiti
perlu disahut oleh golongan pelajar yang mempunyai impian untuk berjaya
terutamanya bagi mereka yang memasang cita-cita untuk menjadi seorang usahawan.
Pembelajaran yang ditawarkan amat berkesan dan secara menyeluruh daripada
mula kajian sehingga teknik memasarkan sesuatu produk.
“(Justeru), tawaran tersebut amat sayang dilepaskan oleh mana-mana pelajar
yang ingin menceburi bidang perniagaan,’’ kata Wan Sabariah.
Jelasnya, walaupun masih baru bertapak dalam industri, namun berkat
usahanya, beliau menerima pengiktirafan serta memenangi pelbagai anugerah
antarabangsa termasuk Ciptaan Terbaik untuk kategori Sanitasi atau Kebersihan
dari Persatuan Tandas Hong Kong (HKTA) dan Anugerah Pingat Perak Ekspo Reka
Cipta Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2009.
Baru-baru ini, syarikat itu juga telah dianugerahkan Persijilan Label Eko
SIRIM daripada SIRIM QAS International dan sijil halal daripada Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang sekaligus mampu mencetus peluang bagi
mengembangkan produk keluarannya.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh hubungi 03-62625776
atau layari www.ciera.my
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.