Total Pageviews

Saturday, 14 October 2017

Mereka yang bunuh negara ini akan dibunuh



Mereka yang membunuh negara ini akan dibunuh



DAVAO CITY:  Lebih 100 juta rakyat Filipina bakal menyaksikan negara yang lebih berdisiplin dan teratur  apabila Presiden dalam penantian Rodrigo Duterte berjanji untuk membanteras pelbagai kebebasan sosial.
The Wall Street Journal melaporkan Duterte yang terkenal dengan sikap kerasnya memberitahu pemberita di Davao bahawa beliau bakal mengisytiharkan perang ala Singapura terhadap perlakuan antisosial,  dengan mengharamkan amalan menghisap rokok dan minum alkohol di tempat awam, dan juga memandu laju atau memandu dalam keadaan mabuk.
Akhbar itu juga berkata, Duterte, 71,  juga mahu mengembalikan hukuman mati, yang dihentikan pada 2006, dan memberitahu bahawa beliau akan mengeluarkan arahan membenarkan anggota polis menembak mereka yang disyaki terbabit dalam jenayah terancang.
Katanya, ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka berada di luar rumah selepas arahan berkurung jam 10 malam akan didakwa kerana ‘kelalaian’, dan pemandu teksi diwajibkan membawa wang eceran bagi mengelakkan pemandu dikenakan tambang berlebihan.
Beliau juga berjanji bertindak tegas terhadap masalah pencemaran bunyi agar rakyat dapat tidur nyenyak pada waktu malam.
“Ini merupakan perkara yang saya hendak betulkan dari awal,” kata Duterte, yang akan mengambil alih jawatan presiden pada 30 Jun selepas Kongres mengesahkan keputusan pilihan raya.
Bakal berada di kerusi nombor satu itu selama enam tahun, Duterte mengakui bahawa memperbaik tingkah laku seharian dapat dicapai dalam beberapa minggu, manakala menghapuskan penjenayah dan pengedar dadah akan dapat dicapai dalam enam bulan, kata akhbar itu lagi.
“Mereka yang membinasakan kehidupan kanak-kanak akan dibinasakan; mereka yang membunuh negara ini akan dibunuh — semudah itu,” katanya, sambil berjanji mengembalikan hukuman mati untuk jenayah serius. Rukun tetangga akan dilengkapkan dengan senjata, kata beliau.
Hakikatnya, Duterte sebagai datuk bandar Davao selama tiga dekad, telah pun melaksanakan kebanyakan perkara tersebut.
Meskipun, misalnya pemandu teksi merungut kerana had laju 60 km sejam, kebanyakan warga di kota 1.5 juta jiwa ini kelihatan selesa dengan peraturan yang dikenakan beliau itu.
Duterte juga berjanji memperbaiki tingkah lakunya sendiri, yang sebelum ini dikritik keras ketika berlangsungnya kempen pilihan raya kerana membuat jenaka yang tak kena dan menyumpah seranah.
Beliau juga berjanji memastikan keberkesanan di sektor awam, dan menghentikan amalan rasuah apabila penjawat awam mengenakan bayaran untuk urusan yang menepati waktu bagi permit rasmi, dan menambah, beliau akan mengarahkan ketetapan, 72 jam bagi memproses dokumen rasmi.
“Orang ramai terpaksa menunggu untuk mendapatkan permit, sampailah mereka mati —  perkara ini perlu diubah,” katanya, seperti dipetik WSJ. – Sarawakvoice.com




No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.