Total Pageviews

Saturday, 5 August 2017

Doktor didakwa sebabkan kematian

Doktor didakwa sebabkan kematian


KUALA LUMPUR 12 Ogos – Seorang doktor pakar sakit puan mengaku ti­dak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan me­nye­babkan kema­tian menantu Tim­balan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Allahyarham Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, awal Jun lalu.
Ting Teck Chin, 36, didakwa menyebabkan kematian Syed Alman Zain, 44, di Pusat Pakar Pergigian Imperial, di Lot 62 & 64, Jalan Telawi, Bangsar di sini antara pukul 6 petang dan pukul 9.05 malam, 1 Jun lalu.
Tertuduh yang bertugas secara sambilan (locum) memberi perkhidmatan bius di pusat pakar tersebut didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abbas mencadangkan jaminan berjumlah RM20,000 dan peguam, Datuk K. Kumaraendran yang mewakili tertuduh tidak membantah jumlah tersebut.
Hakim Zainal L Salleh membenarkan tertuduh di­ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan mene­tapkan 17 Oktober ini untuk sebutan semula kes.
Syed Alman Zain adalah suami kepada anak sulung Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah meninggal dunia pada 1 Jun lalu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas mendapatkan rawatan pergigian di premis tersebut.
Sementara itu, Pusat Pakar Pergigian Imperial Sdn. Bhd., turut didakwa di sebuah Mahkamah Sesyen berlainan di sini atas sembilan pertuduhan berasingan berhubung kematian Allahyarham.
Bagaimanapun, pusat pakar itu yang diwakili Pengarahnya, Dr. Wong Yen Lin dan dinamakan sebagai Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas kesemua per­tuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad@Shaharudin.
Pusat tersebut sebagai pemegang­ lesen didakwa telah gagal memastikan individu-individu yang ber­khidmat untuk menjalankan prosedur radio­logi (orthopanto­mogram) dan per­­khid­matan anestesia (bius) secara IV Sedation ke atas Syed Alman Zain mempunyai kelayakan berbuat demikian.
OKS didakwa gagal menyediakan langkah-langkah perlu bagi menyelamatkan nyawa pesakit dengan tidak menyediakan oksigen sebagai perkhidmatan jagaan kecemasan asas. Selain itu, ia juga gagal mengemukakan kepada PPUM satu salinan semua rekod perubatan semasa Syed Alman Zain dipindahkan ke sana.
Malah, OKS turut didakwa gagal menyimpan dan me­nyenggara suatu daftar kakitangan, memastikan kehendak pelabelan ubat dipatuhi. Ia didakwa turut gagal mengambil langkah yang mencukupi untuk melindungi semua kakitangan profesional jagaan kesihatan dan persekitaran terhadap bahaya bio­logikal.
Pusat tersebut juga didakwa telah membuat peluasan fungsi yang menjejaskan standard perkhidmatan yang disediakan dengan melakukan prosedur anestesia ke atas Syed Alman Zain tanpa kelulusan Ketua Pengarah Kesihatan.
Selain itu, ia didakwa me­nggunakan premis secara berlawanan dengan lesen di­keluarkan iaitu menyediakan perkhidmatan anestesia ke atas Syed Alman Zain.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.