Total Pageviews

Monday, 8 June 2020

Komitmen hubungan jarak jauh

 

Komitmen hubungan jarak jauh

Nurul Husna Mahmud

nurul_husna@hmetro.com.my

 

https://www.hmetro.com.my/WM/2020/04/561469/komitmen-hubungan-jarak-jauh

 

KETIKA ini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan semua berkumpul seisi keluarga di rumah, tapi berbeza pula situasinya dengan wanita ini.

“Walaupun duduk berjauhan bukan bermakna saya mempunyai tiket untuk bergerak bebas.

“Saya tetap meminta izin dan mendahulukan pandangan suami sebelum melakukan apa-apa perkara,” kata Pegawai Dietetik (Dietitian) klinik kesihatan di Perak Nur Nadirah Khairuddin, 34, yang berkongsi tip ‘survival’ hubungan jarak jauh dengan suami tercinta Khairul Nizam Alais.

Kata Nur Nadirah, dia tidak pernah berasa ‘kosong’ dengan ketiadaan suami di sisi, selain suaminya juga tidak pernah berasa terlepas dalam aktiviti keluarga.

Amalan lain seperti solat berjemaah bersama suami dan anak-anak serta meluangkan masa berdua antara aktiviti dilakukan dalam menjaga hubungan perkahwinan itu sebaik berkumpul.

Kata ibu tiga cahaya mata itu, dia dan suami akur dengan komitmen kerjaya masing-masing yang menuntut pengorbanan besar termasuk waktu kualiti begitu terhad.

“Perkahwinan jarak jauh ini sebenarnya sudah bermula sejak 2016 ketika harga minyak dunia jatuh.

“Suami yang bekerja sebagai jurutera minyak dan gas terpaksa akur berpindah selepas syarikat membuat penstrukturan semula.

“Sebelum itu suami bekerja di Kuala Lumpur dan sanggup berulang alik dari Tanjung Malim ke Kuala Lumpur dengan menaiki komuter setiap hari untuk bersama keluarga.

“Apabila penstrukturan semula, dia diminta berpindah ke Terengganu untuk bekerja di pelantar,” katanya.

Lebih mencabar kata Nur Nadirah, ketika itu dia sedang sarat mengandung sementara anak kedua berusia lapan bulan, anak sulung juga masih kecil iaitu berusia satu tahun enam bulan.

Emosinya mudah terkesan kerana penat uruskan anak sendirian dan tuntutan kerjanya yang memerlukan dia mengadakan lawatan ke klinik kesihatan yang lain kerana tiada pegawai dietetik.

“Suami juga banyak mainkan peranan termasuk berkorban dengan menempuh perjalanan jauh setiap minggu dari Terengganu ke Tanjung Malim demi memberikan dorongan ketika saya dalam keadaan tertekan.

“Pada masa sama, suami sentiasa ada pada saat penting termasuk ketika saya mengalami kontraksi awal sebelum tarikh bersalin.

Sebaik sahaja suami tahu, dia yang ketika itu berada di laut terus memohon untuk pulang awal dengan menaiki bot.

“Perjalanan memakan masa hampir 12 jam untuk sampai ke rumah dipermudahkan dan suami ada ketika kelahiran anak ketiga,” katanya yang mengakui lebih sukar menangani anak-anak yang masih belum memahami situasi bapa mereka yang terpaksa tinggal berjauhan.

 

“Detik sukar saya termasuk memberi kefahaman sebaik mungkin kepada anak-anak mengenai ketiadaan bapa mereka. Anak sulung paling terkesan sebab dia membesar dengan bapa di depan mata.

“Mengatasi kekosongan itu, rutin malam diisi dengan panggilan video. Mereka akan cerita aktiviti seharian kepada suami yang secara tidak langsung dapat ikut perkembangan anak,” katanya yang turut menjelaskan pekerjaan suami kepada anak-anak.

Tambah Nur Nadirah, persekitaran terutama sokongan moral daripada keluarga sendiri dan mentua membuatkan hidupnya lebih teratur.

“Sepanjang tempoh PKP ini saya masih perlu bekerja kerana saya staf kesihatan.

“Saya ada klinik berjadual perlu diteruskan membabitkan kes ibu dan anak dalam keadaan mematuhi arahan penjarakkan sosial dan memakai penutup muka dan hidung ketika sesi kaunseling.

“Masalahnya anak-anak sebelum ini diletakkan di taska, tapi premis itu terpaksa ditutup kerana PKP. Mujurlah adik bongsu sanggup membantu,” katanya.

Malah Nur Nadirah turut mengakui bukan hanya mendapat sokongan keluarga, malah hubungan rapat dengan pengasuh, jiran dan rakan sekerja membuatkan Nur Nadirah lebih bersemangat menjalani kehidupan biar pun suami berjauhan.

 

https://www.hmetro.com.my/WM/2020/04/561469/komitmen-hubungan-jarak-jauh

 

.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.