Total Pageviews

Wednesday 6 September 2017

Lambakan Doktor di Malaysia



Lambakan Doktor di Malaysia




PETALING JAYA: Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok menggesa penyelesaian jangka panjang kepada masalah lebihan bekalan graduan perubatan di Malaysia.
Dilaporkan semalam kerajaan menawarkan kontrak pekerjaan kepada ribuan graduan perubatan, pergigian dan farmasi, seperti yang dicadangkan dalam Bajet 2017.
Seorang pegawai Kementerian Kesihatan berkata, sejak Disember lalu, 1,219 calon ditawarkan kontrak oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
Dalam satu kenyataan hari ini, Teresa berkata walaupun ia memberi kelegaan kepada graduan, terdapat 3 isu menjadi kebimbangan yang perlu kerajaan tangani dan selesaikan.
“Pertama, apabila perdana menteri mengumumkan skim kontrak tahun lepas di dalam pembentangan Bajet 2017, beliau menyebut tentang pengenalan skim ini, 2,600 graduan yang tidak dapat mencari penempatan sebagai doktor pelatih kini boleh bekerja di hospital secara kontrak.
“Ini bermakna sehingga hari ini, kurang daripada separuh graduan ditawarkan pekerjaan secara kontrak.
“Berapa lama lagi yang lain perlu menunggu?”
Teresa berkata terdapat juga persoalan sama ada graduan perubatan kontrak akan ditawarkan pekerjaan tetap pada akhir praktikal mereka.
“Pengumuman semalam mendedahkan tidak semua akan ditawarkan jawatan tetap.
“Oleh itu, soal doktor menjadi penganggur boleh menjadi masalah besar di Malaysia.
“Adakah adil bagi golongan muda yang bekerja keras selama 5 tahun berakhir sebagai penganggur kerana perancangan buruk kerajaan yang mengakibatkan lebihan bekalan graduan perubatan?”
Teresa berkata skim kontrak itu hanya satu langkah ad hoc kerana apa yang diperlukan adalah penyelesaian jangka panjang yang berkesan.
“Penyelesaian jangka panjang bermakna menangani punca sebenar dan utama – lebihan bekalan graduan perubatan. Tetapi tidak ada usaha untuk menangani isu ini. ”
Isu lebihan bekalan doktor dibangkitkan beberapa tahun lalu oleh Persatuan Perubatan Malaysia dan Majlis Perubatan Malaysia.
“Saya juga membangkitkan isu ini di dalam dan luar Parlimen, tetapi tindak balas kerajaan terhadap isu ini, yang patut dianggap sebagai krisis, lambat dan mengecewakan tanpa rancangan berkesan untuk menangani isu ini.
“Lebih buruk lagi, terdapat juga penafian awal akan wujudnya lebihan bekalan doktor.”





No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.