Total Pageviews

Wednesday 6 September 2017

Lambakan Doktor di Malaysia


Lambakan Doktor di Malaysia



Dakwaan kita mempunyai lebihan doktor itu tidak munasabah untuk dijadikan alasan mengurangkan pengambilan pelajar ke fakulti perubatan di universiti awam pada tahun ini. Tindakan mengurangkan pengambilan pelajar perubatan di universti awam adalah tindakan yang kurang rasional. Kerajaan cuba melepaskan tanggungjawab dan beban itu untuk mengurangkan perbelanjaannya.

Tetapi, ini akan menyusahkan pelajar cemerlang yang datang daripada keluarga miskin ataupun sederhana. Golongan ini tidak mampu menghantar anak mereka untuk meneruskan pelajaran dalam bidang perubatan di universiti swasta.

Pada masa yang sama pelajar yang kurang bijak tetapi mempunyai kemampuan kewangan pula dapat mengikuti kursus perubatan di universti swasta yang mula bercendawan di negara kita. Pada hakikatnya, graduan perubatan meningkat bukan kerana Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tetapi sebahagian besarnya daripada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Tindakan kerajaan mengurangkan tempat bagi kursus perubatan di universiti awam membuktikan ketidak prihatinan serta menindas pelajar cemerlang yang kurang berkemampuan. Selain itu, dasar seperti ini juga menggalakkan universiti swasta mengambil kesempatan untuk menaikkan lagi kos pembelajaran seperti yuran dan sebagainya pada masa depan.


Saya rasa amat simpati terhadap ratusan pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang tetapi tertipu dengan  tindakan kerajaan mengurangkan pengambilan masuk pada tahun ini secara mendadak. Kerajaan mengecewakan anak-anak kita yang mempunyai harapan besar. Cita-cita mereka hancur kerana kerajaan yang bersikap tidak adil.

Persoalannya sekarang ialah kenapa kerajaan tidak mengumumkan awal-awal lagi keputusan mereka untuk mengurangkan pengambilan pelajar di fakulti perubatan pada tahun ini? Bukankah ini bermakna kerajaan menganiaya anak-anak kita yang bertungkus lumus mambakar pelita?

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan hanya 418 pelajar yang layak diberi peluang mengikuti jurusan perubatan di IPTA pada tahun ini.  Beliau berkata tawaran tempat yang terhad itu bagi mengawal jumlah siswazah perubatan baharu dan mengelak berlakunya kebanjiran doktor baharu di pasaran kerja.

Seramai 1,163 pelajar yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 memohon jurusan perubatan tetapi hanya 418 tempat saja ditawarkan kepada pelajar cemerlang ini. Apakah nasib 745 pelajar cemerlang yang gagal mendapat jurusan perubatan itu terpaksa mengikuti kursus yang tidak diminati?

Jumlah pengambilan mahasiswa perubatan di IPTA semakin berkurangan setiap tahun sejak 2012. Pada 2011 pengambilan pelajar untuk jurusan perubatan adalah 983 orang, manakala pada 2012 pula dikurangkan kepada 875 orang. Jumlah itu menjadi lebih kecil lagi pada 2013 iaitu hanya 699 orang pelajar diambil untuk jurusan perubatan. Pada tahun ini hanya 418 pelajar sahaja.

Ternyata pengambilan pelajar jurusan perubatan semakin berkurangan di IPTA. Bagaimana pula di IPTS? Adakah jumlah pengambilan jurusan perubatan meningkat atau merosot setiap tahun? Perkara ini akan saya bangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Kebelakangan ini banyak IPTS menawarkan program perubatan. Ini berpunca daripada permintaan yang tinggi untuk jurusan tersebut. Pada masa ini wujud lebih 30 sekolah perubatan swasta di negara kita. Persatuan Perubatan Malaysia mendakwa 4,000 hingga 5,000 graduan perubatan dihasilkan setiap tahun. Menurut mantan Presidennya, Dr David Quek Kwang Leng, masalah lambakan doktor yang wujud di negara kita berpunca daripada kewujudan banyak Institusi Pengajian Tinggi yang menawarkan pelbagai kursus perubatan.

Justeru itu, bilangan IPTS merupakan punca masalah ini. Tetapi kerajaan pula mengurangkan pengambilan pelajar perubatan di IPTA. Perkara ini perlu dikaji semula dengan serta merta dan memberi peluang kepada anak-anak kita yang memiliki keputusan cemerlang mengikuti kursus pilihan mereka. Inilah keadilan terbaik yang patut diberikan kepada mereka yang layak. – 26 Ogos, 2014.



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.