Kelayakan Masuk Pelajar Jurusan Perubatan Mungkin
Diperketat – Subramaniam
KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin mengetatkan
syarat minimum bagi pelajar yang ingin mengikuti pengajian dalam bidang
perubatan pada masa akan datang.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam
berkata kajian dan perbincangan mengenainya telah diadakan dengan Kementerian
Pendidikan.
Katanya cadangan itu bertujuan memastikan
hanya pelajar yang benar-benar layak akan dipilih mengikuti jurusan perubatan
dan dalam jangka panjang, langkah ini boleh mengawal jumlah siswazah perubatan
baharu yang memasuki pasaran kerja.
"Sekarang, syaratnya (kelayakan masuk
minimum) ialah 4B. Kami mungkin menaikkannya kerana kebelakangan ini, banyak
pelajar mendapat lebih banyak A. Kami juga menguatkuasakan syarat ini bagi
pelajar yang ingin mengikuti jurusan perubatan di luar negara," katanya
kepada pemberita selepas majlis sambutan Thaipusam di Batu Caves, dekat sini
Jumaat.
Kini, terdapat 33 sekolah perubatan di
Malaysia, yang melahirkan kira-kira 5,000 siswazah perubatan setiap tahun,
hingga menyebabkan berlaku kebanjiran doktor baharu di pasaran kerja.
"Nisbah kami kini hampir mencapai seorang
doktor bagi setiap 600 penduduk dan dari segi latihan, Kementerian Kesihatan
memastikan setiap orang mendapat latihan secukupnya. Kami tidak akan bertolak
ansur tentang tahap latihan dan pendedahan," katanya.
Dr Subramaniam berkata kerajaan juga
membekukan pendaftaran sekolah perubatan baharu di negara ini dan permohonan
untuk menambah jumlah pengambilan pelajar bagi program masing-masing.
Terdahulu, Dr Subramaniam, yang juga timbalan
presiden MIC, berkata sambutan Thaipusam di Batu Caves tahun ini menarik
kira-kira sejuta pelawat sejak 10 hari lepas.
Katanya sebuah pasukan perubatan daripada
Kementerian Kesihatan, yang dibantu anggota Persatuan Bulan Sabit Merah dan St.
John Ambulance serta Jabatan Bomba dan Penyelamat, ditugaskan di tempat itu
untuk memberi bantuan perubatan kepada mereka yang memerlukan.
Hingga hari ini, kem perubatan di situ memberi
bantuan perubatan kepada 85 pengunjung ke majlis berkenaan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.