Total Pageviews

Wednesday 6 September 2017

Beku 5 tahun tangani kebanjiran doktor

Lambakan Doktor di Malaysia 

Kementerian cadang pembekuan 5 tahun lagi tangani kebanjiran graduan perubatan



Bagi membendung lambakan doktor pelatih di negara ini, Kementerian Kesihatan mencadangkan lanjutan 5 tahun lagi ke atas pembekuan yang dikenakan ketika ini terhadap kursus perubatan baharu dan institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia kesinambungan daripada moratorium 5 tahun yang dikenakan kerajaan pada 2011, melarang pembukaan program perubatan baru di negara ini dan menggalakkan sekolah perubatan sedia ada memberi lebih tumpuan kepada kualiti.

Beliau berkata ini perlu bagi membendung kebanjiran doktor pada masa depan yang akan keluar dari 32 institusi tempatan dan lebih daripada 360 program perubatan di 36 buah negara, termasuk Myanmar, Republik Czech, Sri Lanka, Iraq, Rusia dan Ukraine.

Daripada jumlah 4,140 graduan perubatan yang diambil sebagai doktor pelatih pada 2015, sebanyak 2,195 dari universiti tempatan manakala baki 1,945 dari universiti luar negara.

Statistik menunjukkan trend ini semakin berkurangan secara beransur-ansur bermula 3 tahun lalu, dengan 4,991 graduan melapor diri sebagai doktor pelatih pada 2013, 3,860 pada 2014 dan 4,140 pada tahun lepas.

Ia berbanding 3,564 pada 2011 yang meningkat kepada 3,743 pada 2012.

"Setiap tahun, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam melantik antara 3,500 dan 5,000 graduan perubatan ke dalam perkhidmatan.

"Secara purata, jumlah latihan terkumpul dalam Tahun 1 dan Tahun 2 adalah antara 9,500 dan 10,300 doktor pelatih," Noor Hisham memberitahu The Malaysian Insider melalui emel.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 10,835 jawatan doktor pelatih di 44 hospital kerajaan di seluruh negara.

Bagaimanapun, menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), kira-kira 20% daripada doktor pelatih mengambil masa lebih tempoh 2 tahun yang ditetapkan untuk menamatkan latihan mereka, mewujudkan kekurangan ruang penempatan.

Akibatnya, ratusan graduan perubatan perlu menunggu hingga 6 bulan atau setahun untuk menerima penempatan, seperti dilaporkan The Malaysian Insider baru-baru ini.
Menurut laporan tahunan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) pada 2014, beberapa institusi tempatan menjalankan lebih satu program perubatan.

Noor Hisham berkata, kementerian juga berusaha ke arah melahirkan lebih ramai doktor pakar terlatih, isu yang dibangkitkan Presiden MMA Dr Ashok Philip.

Dr Ashok berkata, kekurangan doktor pakar di hospital kerajaan disebabkan ramai doktor memasuki sektor swasta.

Beliau berkata, penting untuk meningkatkan bilangan kemudahan kesihatan awam.

Noor Hisham, yang juga presiden MMC menegaskan, Kementerian Kesihatan menaikkan bilangan hospital yang menyediakan penempatan bagi doktor pelatih daripada 38 pada 2009 kepada 44 hospital pada 2015 dan akan terus berusaha meningkatkannya.

Beliau berkata, nisbah doktor kepada penduduk pada 2014 adalah 1:633, yang terdiri daripada 46,916 doktor berdaftar.

Kerajaan menyasarkan nisbah doktor kepada penduduk sebanyak 1:400 pada 2020.

Sumber - TMI



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.