Total Pageviews

Saturday, 11 February 2017

Penggodam Curi Wang ATM Di Malaysia

Penggodam Curi Wang ATM Di Malaysia


LONDON — Firma keselamatan internet terkenal dari Rusia, Group IB, memberi amaran mengenai sekumpulan penggodam antarabangsa menyasarkan mesin tunai automatik (ATM) seluruh dunia.

Setakat ini, kelompok penjenayah siber itu berjaya ‘mencuri’ banyak wang tunai yang dikatakan telah dikeluarkan sendiri oleh ATM terbabit di banyak negara termasuk Malaysia sehingga menjadi viral menerusi media sosial.
Stesen penyiaran antarabangsa BBC melaporkan, siasatan Group IB mendapati, penggodam profesional berkenaan hanya menggunakan sejenis perisian khas yang mampu memaksa ATM sukarela ‘memuntahkan’ banyak wang.
Firma itu mengingatkan bahawa penjenayah terbabit aktif melakukan kegiatan mereka secara koordinasi melibatkan banyak ATM di premis bank ternama beberapa buah negara Eropah antaranya Poland, Sepanyol, Britain dan Rusia.
Penggodam berjaya memanipulasi sistem jaringan pusat bank mengakibatkan ATM tiba-tiba mengeluarkan wang sekali gus menyebabkan petugas bank terpaksa bergegas ‘menyelamatkan’ wang sebelum direbut ramai pelanggan.

Mesin ATM Gagal Berfungsi, Muntahkan RM10,000

Group IB melaporkan, setakat ini sudah 14 negara termasuk di benua Asia sudah menjadi mangsa serta ia dikendali dari pusat arahan jarak jauh untuk membolehkan banyak ATM diserang dan penggodam itu pula gagal dikesan.
Dua pengeluar ATM terbesar di dunia, Diebold Nixdorf dan NCR Corp. menyatakan bahawa mereka mengetahui siri serangan unik itu serta kini giat berusaha untuk mengurangkan ancaman kerosakan sistem dan jumlah kecurian.
Bagaimanapun Group IB tidak mendedahkan nilai kerugian ditanggung pihak bank terlibat malah firma itu enggan mengesahkan sama ada ‘orang dalam’ turut terlibat sebagai dalang subahat kegiatan jenayah komersial tersebut.
Pada 2013 lalu, lapan suspek berjaya diberkas pihak polis Amerika Syarikat selepas dikesan ‘mencuri’ sebanyak AS$2.4 juta (kira-kira RM10.7 juta) daripada hampir 3,000 buah ATM di sekitar bandar raya New York sahaja.
Siasatan lebih lanjut mendapati ada rangkaian penggodam global beroperasi di 24 buah negara berjaya ‘menyedut’ lebih AS$40 juta (kira-kira RM179 juta) melibatkan ribuan ATM pada tahun tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.