Total Pageviews

Saturday 11 February 2017

Hasilkan kertas tanpa bahan kimia

Hasilkan kertas tanpa bahan kimia


Lelaki itu tekun mengayak campuran air dan pulpa di dalam sebuah besen di hadapannya dengan sejenis alat yang diperbuat daripada buluh.
Dia hanya berhenti apabila satu lapisan nipis berwarna putih atau gentian selulosa mula terbentuk di atas alat berkenaan.
Benoit Dudognan menunggu seketika, sebaik sahaja yakin tiada air yang mengalir, barulah dia meletakkan lapisan itu di atas meja berhampiran untuk dikeringkan.
Kertas atau washi dalam bahasa Jepun itu dihasilkan daripada pulpa tumbuh-tumbuhan seperti pokok malberi, buluh atau jerami.
Kertas jenis itu lazim digunakan untuk menghasilkan kraf tangan, buku, sijil serta penghadang pintu dan bilik di rumah-rumah tradisional Jepun.
Keistimewaannya menyebabkan ia turut diiktiraf sebagai Kraf Tangan Tradisional Jepun pada 1989 dan turut didaftarkan sebagai Warisan Turun-Temurun oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2014.
Latihan

Bagaimanapun, perubahan zaman menyebabkan seni penghasilan kertas secara tradisional atau nagashizuki yang dianggarkan berusia lebih 1,300 tahun itu semakin terpinggir di Jepun.
Dudognan yang menetap di Arles, Perancis merupakan satu-satunya warga asing yang mampu menguasai teknik itu di Eropah.
Ketika ini, hanya terdapat tiga komuniti yang masih menguasai teknik itu di Jepun iaitu di bandar Mino, wilayah Gifu; bandar Ogawa, wilayah Saitama dan bandar Misumi, wilayah Shimane yang menjadi tempat Dudognan menjalani latihan.
“Ia merupakan proses yang sukar dan rumit. Bayangkan, untuk menghasilkan gentian selulosa sahaja memerlukan latihan selama enam bulan bagi mendapat campuran yang tepat, itu belum proses-proses lain,” kata isterinya, Stephanie Allard, 42, yang kini menjadi pembantu Dudognan di bengkel milik mereka yang terletak di Arles.
“Teknik ini merupakan kunci kepada penghasilan kertas kerana ia membolehkan lapisan itu disusun memanjang, sekali gus memastikan ketahanannya. Ia sama sekali berbeza berbanding teknik penghasilan kertas di Eropah.”
Selepas dikeringkan, lapisan yang merupakan campuran air dan pulpa itu akan menghasilkan kertas yang mempunyai tekstur lembut, ringan dan tahan lasak.
Ia akan berubah warna mengikut ketebalan dan kelembapan bilik serta mampu bertahan sehingga 400 tahun.
Pasangan itu teruja untuk mempelajari teknik membuat kertas di Jepun selepas kilang kertas tempat Dudognan bekerja ditutup pada tahun 2009.
Salah seorang rakan mereka yang juga seorang ahli botani mendapati, pokok malberi yang digunakan untuk penghasilan washi turut ditanam di Camargue.
Namun, latihan yang dijalani Dudognan bersama isteri dan anak perempuan tunggalnya di sana menuntut pelbagai halangan dan cabaran.
Kuasai

Pada tahun 2011, mereka telah diarahkan pulang ke Perancis selepas kebocoran reaktor nuklear di Fukushima.
“Selepas keadaan pulih, barulah kami kembali ke sana untuk menyelesaikan latihan itu,” ujarnya.
Tambah Allard, sepanjang berada di sana, mereka turut mempelajari teknik untuk melukis di atas kertas, membuat hiasan dan cetakan.
Katanya, terdapat lima individu yang menguasai teknik itu di dunia dan empat daripadanya berada di Jepun.
“Seni dan kraf tangan tidak dapat dipisahkan di sana. Mereka melakukannya untuk banyak perkara yang tidak mempunyai nilai di pasaran,” katanya.
Beberapa abad lalu, di Misumi sahaja terdapat kira-kira 150 kilang percetakan kertas, namun jumlahnya berkurangan kepada empat pada hari ini.
Bagi mempertahankan seni itu, kebanyakan kilang kini turut dijadikan studio yang menjadi tarikan kepada masyarakat dan pelancong untuk mempelajari dan melihat teknik pembuatan washi.
“Di seluruh Jepun, ketika itu, terdapat hampir 68,000 pakar pembuat kertas. Namun sekarang, jumlahnya sekitar 250 orang sahaja. Separuh daripada mereka terpaksa menghentikan perniagaan kerana tidak mempunyai pelanggan,” kata Dudognan.
Dalam usaha menyokong industri kraf tangan tempatan terutamanya dalam menghasilkan kertas tradisional itu, mereka hanya menggunakan peralatan yang dihasilkan di Misumi.
“Pisau untuk meraut batang pokok malberi ini turut dibeli di Misumi. Alat daripada buluh yang digunakan untuk mengayak campuran air dan pulpa ini pun kami beli daripada seorang penduduk tempatan di sana,” katanya.
Pasangan itu bercadang untuk mengajar teknik tersebut kepada orang ramai, namun keutamaan mereka ketika ini ialah melengkapkan kemudahan di bengkel tersebut.
“Di Jepun, terdapat beberapa pakar yang mahir dengan teknik untuk membuat kertas washi. Di sini, hanya kami berdua dan satu-satunya di Eropah.
“Pokok malberi merupakan tanaman invasif. Jadi, kami tidak menanam pokok itu. Sesiapa yang memilikinya di halaman rumah mereka boleh menghubungi kami dan kami akan datang mengambilnya,” terang Stephanie.
Kejayaan menghasilkan kertas secara semula jadi tanpa sebarang bahan kimia dan bahan buangan itu membolehkan pasangan tersebut dianugerahkan trofi Unesco Biosphere Reserves pada tahun 2014.
Pada masa ini, mereka menjual kertas pada harga 40 euro (RM190) bagi setiap satu meter persegi.
Lazimnya, pelanggan-pelanggan mereka terdiri dalam kalangan pelukis, jurugambar, juruhias dalaman dan pengurusan muzium seperti Yayasan Van Gogh serta Yayasan Luma di Arles.
Paling membanggakan, pelanggan mereka juga merupakan warganegara Jepun yang kini bermastautin di Eropah.




No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.