Total Pageviews

Sunday 19 February 2017

Perangkap Lalat




Jurulatih cipta alat perangkap lalat






CHENDERIANG - Sekumpulan jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Sentosa, Chenderiang mencipta sebuah alat perangkap lalat bagi mengatasi masalah kehadiran haiwan itu di kawasan berkenaan.

Alat perangkap lalat yang dikenali sebagai Efficient Fly Trap (EFT) mampu mengurangkan bilangan lalat kira-kira 70 hingga 80 peratus.

Timbalan Komandan PLKN (Pengurusan), Kapten Sharulniza Tarmiji berkata, produk itu dihasilkan bermula pada 2012 selepas pihaknya mendapat aduan daripada pelatih yang tidak selesa dengan kehadiran lalat dalam kuantiti yang banyak.

Menurutnya, pada mulanya, pihak pengurusan kem berkenaan mengambil inisiatif dengan memasang lampu perangkap dan pelekat lalat, namun ia kurang berkesan untuk mengatasi masalah itu selain memerlukan kos yang besar.

“Ketika itu, kami (jurulatih PLKN) memikirkan bagaimana mahu untuk mengatasi masalah berkenaan dan idea spontan terdetik apabila melihat seekor burung yang dipelihara oleh salah seorang pekerja mati dalam sangkar dihurung lalat.

“Hasil pemerhatian kami, serangga itu boleh masuk ke dalam sangkar tetapi lalat tidak boleh keluar daripada sangkar dan banyak daripadanya mati,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.

Sharulniza berkata, berikutan itu, pihaknya cuba membina sebuah alat perangkap lalat berdasarkan pemerhatian mereka dan diletakkan di sekitar kawasan tumpuan lalat seperti di bahagian dapur basah di PLKN Sentosa, Chenderiang pada tahun yang sama.

Katanya, EFT yang dicipta itu dilihat berhasil apabila ia berjaya mengurangkan bilangan lalat kepada 70 hingga 80 peratus dengan memerangkap serangga itu apabila menggunakan alat tersebut.

“Alat ini (EFT) dibina dengan kos yang kecil selain jimat kerana tidak menggunakan sebarang elektrik ketika proses memerangkap lalat.

“Produk ini juga kami bawa ke Pertandingan Kreatif dan Inovatif (KIK) di peringkat Zon B dan peringkat ibu pejabat pada tahun lalu, alhamdulillah kami menang tempat ketiga,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga turut melakukan beberapa ujian keberkesanan alat itu di beberapa lokasi dan keputusannya amat positif dalam kalangan pengguna.

“Produk EFT ini akan dibawa bertanding ke peringkat Kementerian Pertahanan pada April ini dan dilihat mempunyai potensi untuk menang,” katanya.

Katanya, pihaknya juga kini dalam proses untuk mempatenkan produk yang dihasilkan itu bagi mengelakkan diciplak.


“Kini kami menunggu peruntukan daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) untuk patenkan alat ini,” katanya.








No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.