Total Pageviews

Friday 10 February 2017

JANGKITAN ROTAVIRUS DI PUSAT REKREASI AIR PANAS ULU LEGONG

KLUSTER JANGKITAN ROTAVIRUS DI PUSAT REKREASI AIR PANAS ULU LEGONG BALING, KEDAH


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan pada 3 Februari 2017 jam 11.00 pagi, satu kejadian kluster acute gastroenteritis (AGE) disyaki Rotavirus telah dinotifikasi daripada Hospital Kulim melibatkan enam (6) kes terdiri daripada kanak-kanak berusia 2-11 tahun dari dua (2) keluarga yang tiada kaitan.

Kesemua pesakit mempunyai sejarah mengunjungi Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong, Baling, Kedah pada 30 Januari 2017. Kenyataan mengenai perkara ini telahpun dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, seperti yang dilaporkan oleh media massa beberapa hari yang lepas, Sehingga jam 12.00 tengahari, 6 Februari 2017 jumlah kumulatif kes AGE dengan sejarah pendedahan di pusat rekreasi tersebut adalah seramai 49 orang; iaitu 39 kes dari Kedah, enam (6) kes dari Pulau Pinang dan empat (4) kes dari Perlis.

Pesakit adalah berumur dalam lingkungan 10 bulan ke 63 tahun. Daripada jumlah ini, sebanyak enam (6) pesakit (12.2%) disahkan positif Rotavirus.

Kesemua pesakit dilaporkan dalam keadaan stabil dan tiada kematian. Sehingga hari ini, sebanyak 31 pesakit masih dirawat di hospital kerajaan dan swasta. Berikutan daripada kejadian ini, KKM telah mengambil langkah-langkah kawalan dan pencegahan serta-merta.

Di antaranya adalah :
· Menjalankan siasatan menyeluruh di tempat kejadian, meliputi bekalan air dan juga makanan di sekitar pusat rekreasi tersebut.
· Menutup lokasi tempat kejadian untuk sementara waktu bagi siasatan serta kerja-kerja pembersihan. Di samping itu, persampelan kesemua lapan (8) kolam air panas pelbagai suhu diambil untuk ujian Rotavirus. 2
· Menjalankan pengesanan kes secara aktif dan pasif serta mengeluarkan ‘alert’ kepada semua fasiliti kesihatan awam dan swasta di daerah dan negeri berdekatan lokaliti kejadian.

Ibu bapa disarankan membawa anak yang mengalami cirit birit dan pernah mandi manda di Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong, Baling, Kedah antara 25 Januari 2017 sehingga 3 Februari 2017, untuk mendapatkan rawatan dan nasihat doktor.

Rotavirus adalah sejenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan gastrousus. Gejala utama yang dialami oleh pesakit adalah cirit dan muntah teruk yang boleh menyebabkan dehidrasi (kurang air dalam badan).

Jika tidak dirawat segera, ia boleh mengakibatkan kematian. Penyakit ini biasanya dikaitkan dengan persekitaran dan pengendalian makanan serta minuman yang tidak bersih.

KKM ingin menasihatkan orang awam agar tidak membawa anak-anak yang mempunyai gejala AGE ke kolam rekreasi awam.

Ibu bapa juga dinasihatkan untuk memastikan anak-anak kecil tidak mandi di kolam dengan memakai lampin pakai buang. Lampin pakai buang yang telah digunakan hendaklah dibuang ke dalam tong sampah yang disediakan.

Orang ramai juga dinasihatkan agar mengambil makanan dan minuman yang bersih dan selamat. Pastikan basuh tangan setiap kali selepas menggunakan tandas, menukar lampin anak, sebelum makan dan sebelum menyediakan makanan dan minuman.

Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu ini, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau dapatkan maklumat dari laman sesawang http://www.moh.gov.my atau facebook KKM www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

8 Februari 2017

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.