Total Pageviews

Thursday 26 January 2017

Komplikasi Semasa Berkhatan

KENYATAAN AKHBAR

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

KANAK-KANAK DARI SUNGAI BULOH YANG MENGALAMI KOMPLIKASI SEMASA 

BERKHATAN BERAMAI-RAMAI DI SURAU


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengesahkan satu lagi kes kanak-kanak yang mengalami komplikasi prosedur berkhatan baru-baru ini seperti yang dilaporkan beberapa akhbar bercetak dan media elektronik tempatan. Kes ini melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun yang telah menjalani prosedur berkhatan di surau berhampiran rumahnya dalam majlis berkhatan beramai-ramai pada 25 November 2016. Kanak-kanak tersebut dibawa ke Jabatan Kecemasan di Hospital Selayang 2 hari selepas itu, iaitu pada 27 November 2016 setelah ibubapa dinasihatkan membawa kanak-kanak tersebut untuk mendapatkan rawatan di Hospital Selayang. Ibubapa mendapati berlakunya pendarahan di kemaluan dan air kencing kanak-kanak tersebut mengalir keluar daripada lubang di bahagian bawah batang kemaluan (fistula korona), akibat kecederaan kepada saluran kencing. Setelah diperiksa di Jabatan Kecemasan Hospital Selayang, adalah didapati bahawa tiada pendarahan aktif di kemaluan seperti yang dilaporkan akhbar. Ibubapa telah diberi penjelasan oleh Pakar Pembedahan Urologi Kanak-kanak bahawa rawatan pembedahan seelok eloknya dilakukan setelah bengkak surut dan setelah saluran darah ke kepala kemaluan menjadi lebih lancar. Fistula korona tersebut akan 2 dirawat dengan pembedahan setelah tisu-tisu sekelilingnya sembuh. Kanak-kanak tersebut telah diperiksa secara rapi sekerap 3 kali sehari semasa di wad di Hospital Selayang. Namun begitu, ibubapa pesakit telah memutuskan untuk mendapat pendapat lain daripada pakar di hospital swasta dan telah menandatangani pelepasan keluar dari hospital atas tanggungan risiko sendiri (discharged at own risk). Pihak Hospital Selayang telah memberikan ibubapa catatan rujukan ringkas buat hospital swasta yang berkenaan bagi menjelaskan status pesakit, selain memaklumkan kepada ibubapa bahawa mereka boleh datang semula untuk mendapatkan rawatan susulan pada bila-bila masa. KKM sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kes ini. Seperti dimaklumkan sebelum ini, prosedur berkhatan ini meskipun merupakan prosedur yang ringkas, namun komplikasi daripada prosedur ini mungkin parah dan membawa padah kepada pesakit. Semua pengamal kesihatan yang menjalankan prosedur berkhatan adalah bertanggungjawab memastikan mereka mempunyai tahap kompetensi dan pengalaman yang mencukupi untuk menjalankan prosedur ini. Mereka diingatkan bahawa sebarang komplikasi yang terjadi adalah di bawah tanggungjawab masing masing pengamal kesihatan.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
8 Januari 2017



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.